Followers

Thursday, June 30, 2011

Bengkel Rahsia Cemerlang Bahasa Arab Tingkatan Satu SMKA Wataniah

Salam Ukhuwwah

Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Wataniah melalui Panitia Bahasa Arab, Unit Bimbingan dan Kaunseling dan Program Maju Diri Tingkatan Satu SMKA Wataniah telah mengadakan BENGKEL RAHSIA CEMERLANG BAHASA ARAB TINGKATAN SATU SMKA WATANIAH TAHUN 2011 untuk memberikan pendedahan teknik-teknik untuk mempelajari Bahasa Arab dengan mudah. Pembelajaran Bahasa Arab memerlukan kepada pemahaman asas aspek bahasa, pengayaan kosa kata, penguasaan tatabahasa dan penggunaan praktikal Bahasa Arab dalam kehidupan seharian. Oleh itu, setiap komponen bahasa perlu digarap agar menjadi saling berkait antara satu sama lain bagi memudahkan penguasaan Bahasa Arab dalam tempoh masa yang singkat.

Peserta akan didedahkan dengan sembilan teknik belajar Bahasa Arab secara lebih efisien, diberikan motivasi kenapa mereka sepatutnya tidak melepaskan peluang menguasai Bahasa Arab di peringkat sekolah lagi, didedahkan dengan teknik merujuk kamus dan diberi peluang membentangkan tugasan sepanjang bengkel satu hari suntuk berlangsung.

Jika kita sering mengadu tentang kesukaran mempelajari Bahasa Arab, inilah peluang keemasan untuk kita mempelajari dan memperkemas semula asas Bahasa Arab sekaligus membaiki peluang anda untuk cemerlang dalam matapelajaran tersebut di dalam Penilaian Menengah Rendah ( PMR ) atau peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia ( SPM ) yang akan kita duduki nanti.

Bahasa Arab sangat penting. Ia adalah bahasa Al-Quran, bahasa Nabi, bahasa solat dan bahasa syurga. Ia juga adalah bahasa rasmi 23 negara Arab dan antara enam bahasa rasmi di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Dengan erti kata lain, ia sangat penting untuk kesejahteraan di dunia dan di akhirat. Dalam usaha memartabatkan kembali Bahasa Arab di SMKA Wataniah, usaha perlu dibuat, ikhtiar mesti dilaksanakan agar prestasi dan pencapaian terutamanya dalam mata pelajaran Bahasa Arab kembali dikagumi semua melalui keputusan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah ( PMR ) atau peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia ( SPM ). 

Tenaga pengajar adalah terdiri daripada konsultan terpilih Insan Sejahtera Centre ( ISC ) iaitu sebuah konsultan pendidikan yang berperanan membangunkan program-program akademik dan motivasi pelajar khususnya berkaitan mata pelajaran Bahasa Arab di peringkat sekolah menengah. Mereka juga akan dibantu oleh tenaga pengajar / pendidik di SMKA Wataniah.

Tarikh 27 Jun 2011, Isnin telah dipilih bagi melaksanakan program ini.
SMKA Wataniah Terbilang tahun 2015.




No comments: