Followers

Friday, August 31, 2012

Julai Itu Mengamit Kenangan


Salam Ukhuwwah.


Bagaimana saya harus mulakan kerana peristiwa ini sudah lama berlalu?. Ramai yang bertanya dengan pelbagai soalan tentang blog ini yang sudah sekian lama tidak di'update'. Saya pun serba salah dibuatnya. Kelmarin, dalam Majlis Sambutan Hari Raya SMKA Wataniah, saya dikunjungi Maryam Saidah, Izzah dan Nur Atiyah. Mereka kini balik bercuti dari Jordan dan Mesir. Saya agak terkesan dengan kata-kata Maryam Saidah, " Cikgu, saya dapat tahu perkembangan tentang Wataniah (SMKA Wataniah) banyak melalui blog cikgu ". Saya hargai kesungguhan antunna. Terima kasih kerana sering merujuk blog ini.

Ya, saya paparkan kembali peristiwa berlalu itu dalam Julai. Ada yang dianjurkan oleh Unit Bimbingan dan Kaunseling dan program sekolah yang pelbagai. Ada jua tikanya kesempatan itu tiada, maka paparannya terabai datri terakam di blog ini. Saya pohon maaf atas ketinggalan  itu.

1.  3, 4 & 5 Julai 2012 ( Selasa, Rabu & Khamis )
Perkhemahan Tahunan Unit Beruniform SMKA Wataniah Tahun 2012

Bukan semua pelajar terlibat. Lokasi pilihan kali ini di Kem Seri Keluang, Bukit Keluang, Kampung Raja. Cukup meriah sungguhpun hujan mencurah saban petang hari hingga Maghrib dan peserta bermalam bukan dalam khemah tapi di masjid dan dewan. Itulah cabaran. Saya kagum dengan Cikgu Ruslan Jali kerana atas kesungguhan beliau perkhemahan ini berjaya. Syabas cikgu. Juga komitmen terbaik dari cikgu-cikgu SMKA Wataniah. Peserta pun dalam kalangan pelajar yang bersahsiah terpuji.


2.  7 Julai 2012 ( Sabtu )
Jamuan Kesyukuran Rakan Sepengajian

Saya hargai atas kesudian penghulu program kami menganjurkan majlis makan-makan ni. Pilihan di Hotel Raudhah, Kota Bharu. Kesyukuran kerana Seminar Kaunseling Kerjaya Peringkat Negeri Kelantan di SMS Pasir Puteh dapat dilaksanakan dengan jayanya. Tahniah semua. Jua terima kasih buat pensyarah kami, DR Nadiyah Elias atas kesudian hadir sama meraikan majlis kami.


3.  10 Julai 2012 ( Selasa )
Hari Koperasi Sekolah

Hari ini tak ada sesi pengajaran dan pembelajaran. Seawal pagi acara dewan dengan bacaan perutusan. Kemudiannya disusuli dengan jualan di gerai. Ada juga pertandingan dan hadiah diberikan. Penglibatan pelajar senior yang kini berada di IPTA dalam negara dan luar negara turut hadir memeriahkan program. Terima kasih semua. Khususnya buat team koperasi sekolah, Ustazah Zakira, Ustaz Tuan Muhammad, Cikgu Wan Norhayati dan lain-lain yang saya tidak mampu mengingatinya.



4.  11 Julai 2012 ( Rabu )
Program Motivasi Adaptasi Potensi Cemerlangkan Diri

Hebat penceramah ini Ybhg. DR. Fahrol Rodzi bin Hanafiah, Motivator dari Mutiara Consultant Sdn. Bhd. Seawal jam 8.15 pagi - 01.30 petang berprogram. Sepanjang saya berkhidmat dalam bidang kaunseling, saya tak pernah terjumpa motivator sehebat ini. Sangat berkesan. Penyampaian berangkai dalam dua slot utama. Sesiapa yang hadir untuk slot pertama tak akan memahami jika tak ikuti slot kedua. Jangan mudah buat penilaian, persepsi dan tanggapan salah kerana koleksi ilmu, pengalaman dan kemahiran dengan skill yang menarik mampu memenangiskan (menitiskan air mata) khalayak.

Hari itu, ramai yang terkesan dan mengesat air mata. Ramai cikgu yang tumpah air matanya. Pelajar tak payah cakaplah. Maknanya penyampaian motivator ini sangat terkesan sehingga mampu menyentuh emosi hadirin. Saya tak nafikan ada sedikit penggunaan bahasa motivator itu agak kasar bagi kita sebagai pendidik. Tapi kita biarkan sikit cela itu dan kita ambil manfaat yang banyak. Bayaran RM 1000.00 itu sangat berpadanan dengan pengisian bermanfaat. 



5.  11 & 12 Julai 2012 ( Rabu & Khamis )
Kursus Pelajar Rakan Masjid SMKA Wataniah

Kami memilih Masjid Ulul Albab Seberang Jerteh atau lebih dikenali dengan nama Masjid Kayu untuk jayakan kursus ini. Seramai 20 pelajar lelaki Tingkatan 2 dipilih. Program dua hari satu malam dibiayai sepenuhnya oleh MAIDAM. Pengisian program ke arah bermatlamatkan pendidikan praktikal agar diri pelajar sentiasa terpaut dengan masjid. Anjuran bersama Badan Dakwah, Rohani & Imarah Masjid (BADANI) dan Unit Bimbingan dan Kaunseling. Saya rakamkan penghargaan dan terima kasih buat Ustaz Ahmad Zaki, Ustaz Tuan Muhammad dan Ustaz Kasim atas kesudian hadir menjenguk kami berprogram. Saya juga hargai peranan Pengerusi Masjid, Tuan Haji Ayub Jusoh. Penutupan program dibuat oleh Ustaz Tuan Azri dari Pejabat MAIDAM Jerteh. 


6.  12 & 13 Julai 2012 ( Khamis & Jumaat )
Kem Bestari Solat Pelajar Tingkatan 2

Semua pelajar Tingkatan 2 sasarannya. Berlokasikan asrama dengan pengisian aktiviti bimbingan kerohanian dan motivasi. Jadual padat tapi bermakna. Kerjasama terakam bersama Jawatankuasa Program Kecemerlangan Tingkatan Dua dan Unit Bimbingan dan Kaunseling.  Kesungguhan Cikgu Rohana Che Abas saya kagumi dengan kepayahan beliau akhirnya terlaksana kerana kerja baik ini Allah akan sentiasa merestuinya.


7.  14 Julai 2012 ( Sabtu )
Program Latihan Temuduga dan Penyediaan Resume

SMKA Wataniah diminta menghantar 40 pelajar ke MRSM Kota Putra untuk penyertaan program berguna ini. Semuanya dari Tingkatan Lima. Anjuran Universiti Multimedia (MMU), universiti tadbiran Telekom. Terima kasih buat Basyir dan Syafiqah Zahadi kerana komitmen berterusan anda berdua, sasaran keperluan penganjur untuk 40 peserta terlaksana. Syabas. Andalah pemimpin masa depan. Amin. Saya di Kota Bharu waktu itu sepanjang hari hingga malam. Terima kasih kerana membantu saya.


8.  17 Julai 2012 ( Selasa )
Kempen Kibar Jalur Gemilang Sempena Sambutan Bulan Kemerdekaan Ke-55

Perhimpunan rasmi di awal pagi Selasa untuk menjayakan Bulan Kemerdekaan tahun ini kali ke-55. Disempurnakan oleh Tuan Pengetua dengan kibaran bendera Jalur Gemilang megah membuktikan kami sayangkan negara ini.


9.  17 Julai 2012 ( Selasa )
Mesyuarat Agung Koperasi Sekolah Kali Ke-8

Mesyuarat ini dikendalikan oleh Tuan Pengetua dengan dihadiri oleh pelajar terpilih sebagai ahli. Kali ini ianya diadakan di Dewan Haji Abdul Latif bermula jam 11.00 pagi hingga 1.30 petang.  Tahniah. Selamat Bermesyuarat. Semoga Koperasi SMKA Wataniah terus gemilang.


10.  19 Julai 2012 ( Khamis )
Kursus Pembimbing Rakan Sebaya (PRS)

Telah lama mengatur. Juga sekian lama merancang dan akhirnya kursus ini berjaya diadakan melibatkan penyertaan ahli PRS SMKA Wataniah dan ahli PRS SMK Tengku Mahmud. Sekalipun hanya dapat diadakan di Dewan Makan Asrama Putera, namun matlamat program tersusun disudahkan dengan sebaiknya. Program bermula seawal pagi hingga jam 3.00 petang. Ya, kita rancang untuk program lain kali pula. Tahniah Cikgu Noor Zuraida dan Cikgu Maizatul.


11.  19 Julai 2012 ( Khamis )
Majlis Temu Murni Pelajar SPM

Seramai 70 orang pelajar terpilih. Program diuruskan oleh Jawatankuasa Program Kecemerlangan SPM yang diketuai oleh Cikgu Rashid. Hampir semua ibu bapa/penjaga yang hadir. Matlamatnya untuk kecemerlangan dan masa depan anak-anak kerana peperiksaan SPM sudah dekat. Maka tibalah pula giliran guru-guru SPM untuk mendekati penjaga anda. Harapannya pendekatan ini akan mampu menyedarkan anak-anak yang masih lagi mamai dibuai mimpi. Tidak khabar bahawa SPM penentu masa depan akademik kita. Buktikan kita boleh. 


Terima Kasih semua.