Followers

Monday, March 29, 2010

Kunjungi Karnival Pendidikan MARA 2010

Salam Ukhuwwah.

Kesempatan yang ada, peluang yang terbuka dan kemudahan yang tersedia kami rebutgunakan sebaiknya pada 28 Mac 2010 ke Terengganu Trade Centre (TTC). Hakikatnya, penglibatan kali ini diberi kepada 5 Ibnu Baitar dan sepuluh pemimpin Kelab Bimbingan dan Kaunseling (BDK) dan PRS sekolah. Tujuh putera dan tiga puluh puteri. Segalanya percuma. Pendedahan awal memungkinkan mereka berkemampuan mengenali peluang dalam dunia pendidikan lanjutan tinggalan alam sekolah peringkat menengah mereka penghujung tahun ini. Jika tidak banyak, sedikit pun tidak mengapa dari tidak mendapat apa-apa. Penyertaan yang mampu menjayakan falsafah dan peribahasa Melayu ' Jauh Perjalanan Luas Pemandangan '. Mulanya berbaring, meniarap, bergulingan, merangkak, bertatih, berdiri, berjalan dan berlari. Semuanya adalah revolusi kehidupan insan sebelum kenal erti kejayaan dalam penghidupan. Sakit jika terjatuh. Perit lagi jika terluka. Jika ada yang memahami, mereka akan mengubati dan membaluti luka-luka itu. Tetapi... jarang sangat kita jumpai mereka yang sudi dan ikhlas merawati. Itulah realiti diri... Buat mereka yang memahami kepayahan diri mengubati, ucapkanlah terima kasih. Katakanlah, saya kini sudah mengerti...

Saturday, March 27, 2010

Tarikh Penting Kemasukan Ke IPTA Tahun 2010

Salam Ukhuwwah.

Perhatian kepada semua pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) tahun 2009 yang memohon kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bagi tahun 2010, tarikh tutup permohonon dalam talian ialah pada 30 Mac 2010.

Pemohon lepasan SPM dan setaraf boleh membuat semakan panggilan temuduga mulai 7 April 2010, manakala pemohon lepasan STPM boleh membuat semakan mulai 14 April 2010 melalui laman  web http://upu.mohe.gov.my.

Bagi pemohon program pengajian pendidikan untuk Program Pengajian Lepasan STPM atau setaraf (Ijazah Pertama), semakan panggilan Ujian MedSI boleh dilakukan mulai 15 April 2010 melalui laman web http://www.mpm.edu.my

Bagi sebarang pertanyaan, pemohon boleh menghubungi talian am 03-8883 5801, 03-8883 5802 dan 03-8883 5858 atau e-mel upu@mohe.gov.my.

Tuesday, March 16, 2010

Tika Saya Berbicara


Salam Ukhuwwah.

Saya susun kesepuluh jari-jemari ini, lahirnya, cetusannya dan gerak nalurinya dari hati setelah minda terdetik berfikir sejenak. Bukan seketika yang masanya sangat terhad dan ruangnya sempit. Bukan kabur atau suram, tapi jelas. Kalau kiranya ada kedapatan saya tidak mampu penuhkan permintaan anak-anak murid atau orang yang berkepentingan memang sangat perlukan bantuan atau bimbingan.

Saya juga manusia biasa. Punyai perasaan, punyai keinginan, punyai ketidakcukupan, punyai kesilapan, punyai kesalahan. Tapi hati dan hasrat saya, saya ingin lihat anak-anak pelajar saya berjaya. Masa depan mereka dibimbing. Bukan bias berdasarkan gender. Bukan mementingkan rupa. Jauh sekali inginlebihkan kepada mereka yang berkepentingan. Saya ikhlas membantu.

Saya juga ada anak. Saya juga mengharapkan suatu hari nanti, anak saya akan dibimbing dan dibantu oleh guru-guru mereka. Saya cuba ikhlaskan diri. Bukan mencari nama. Bukan mencari kedudukan. Bukan mencari ganjaran. Dalam kehidupan ini, saya sudah miliki sedikit kelebihan yang ALLah pinjamkan. Syukur AlhamduliLlah.

Saya tidak faham karenah segelintir manusia. Kita kena faham. Kena sematkan dalam akal bahawa kita kena dahulukan orang yang terdahulu datang daripada kita. Jangan kita tunjukkan ego dan kesombongan kita. Jauh sekali, jangan mencaci pertolongan dan pemberian orang. Jangan menghina memperlekehkan pemberian orang.

Saya sentiasa ingat pesanan guru saya. PENTINGKAN YANG TERPENTING KERANA YANG TERPENTING LEBIH PENTING DARI YANG PENTING.

Doakanlah saya dan keluarga saya. InsyaALlah, zaujah saya akan masuk Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu pada 19 Mac 2010 dan akan menjalani pembedahan ( caesarian ) anak kami yang ketiga pada 21 Mac 2010. Cadangan namanya, Wan Muhammad Fawwaz Wajdi. Lelaki kerana sudah di ' scan ' sebelum ini. Anak adalah anugerah dan amanah ALLah. Kalau ada kesempatan, buatlah solat hajat dan doakanlah untuk saya. Itulah hasrat yang saya pinta dari mereka yang bersimpati. Dari mereka yang memahami. Dari mereka yang mengerti faham akan lanjutan landasan perjalanan diri ini.

Buat anak-anak murid Cikgu, Cikgu sentiasa doakan anda sentiasa berjaya dan menjadi orang berjaya dalam hidup. Pesanan Cikgu, ' Walau setinggi mana kita berada, jangan sekali-kali  kita lupa untuk menjenguk asal kita. Walau sejauh mana kita sudah berjalan, jangan sekali-kali kita lupa untuk menoleh ke belakang, asal mula kita '.

Terima kasih buat semua. Terima kasih.  

Monday, March 15, 2010

Lawatan Ke Karnival Pengajian Tinggi Negara 2010 ( Jom Masuk U ) di Kota Bharu

Salam Ukhuwwah.

AlhamduliLlah. Tahun ni SMKA Wataniah diundang lagi. Kami berkesempatan mengunjungi karnival ini pada 13 Mac 2010.  40 orang satu bas. Semuanya dari Tingkatan 5. Tahun lepas kami ke Universiti Malaysia Pahang ( UMP ), Gambang. Dewan yang sangat besar. dan luas lagi selesa Tapi tahun ni, teruk sangat. Dewan kecil, kawalan tidak terurus. Arah masuk pintu utama dengan 2 orang guard sahaja. Haluan masuk / keluar tidak terjaga. Merimaskan. Mungkin juga kerana ianya diadakan di pusat bandar. Tapi yang pastinya, orang Kelantan minat dan cintakan ilmu. Buktinya, saya juga pernah belajar di Maahad Muhammadi Lelaki suatu ketika dahulu. Saya sangat tahu keadaan ini. Bukan kerana kedua orang tua asalnya dari Kelantan. Tapi..... ramai pegawai besar di Putrajaya dan Kuala Lumpur asalnya mereka dari Kelantan. Ramai mahasiswa universiti, juga dari Kelantan. Kuatnya mereka menguasai ilmu. Seantero alam tahu cerita ini.

Kaum Hawa memang dah menguasai ilmu. Tahniah Tingkatan 5 Ibnu Qayyim

Orang kuat Kelab Bimbingan dan Kaunseling ( BDK ), Adilah dan Farahani

SMKA Wataniah turut diundang ke Karnival Pendidikan MARA di Kuala Terengganu pada 28 Mac 2010. Satu peluang keemasan buat pelajar SPM Tahun 2009 untuk dapatkan ilmu / pendedahan ke IPTA bawah kendalian MARA. Tapi kali ini, Unit Bimbingan dan Kaunseling akan beri peluang kepada pelajar dari Tingkatan 5 Tahun 2010 yang lain pula. Pemimpin Kelab Bimbingan dan Kaunseling ( BDK ) dan PRS tetap diutamakan.

Thursday, March 11, 2010

Majlis Sekalung Penghargaan SPM Tahun 2009

Salam Ukhuwwah.

Tahniah. SMKA Wataniah terbilang. Peningkatan dan lonjakan berlaku lagi dalam SPM Tahun 2009 yang telah diumumkan pada 11 Mac 2010. Pencapaian peratusan lulus keseluruhan bertambah. Seorang pelajar mendapat keputusan A dalam semua mata pelajaran.  Tahniah Izzah Ilyani. Enam lagi mendapat 8A. Program anjuran Jawatankuasa Projek Kecemerlangan SPM dan Unit Bimbingan dan Kaunseling. Tahniah. Perempuan semua tahun ni yang cemerlang. Lelaki entah ke mana. Jom Masuk U.

Paparan gambar menarik.

Wednesday, March 10, 2010

Kejohanan Olahraga MSSD Besut Kali Ke-41 Tahun 2010

Tahniah SMKA Wataniah.

Kita sentiasa hebat. Kejohanan diadakan pada 7 hingga 10 Mac 2010 bertempat di Stadium Mini Kampung Raja.


Majlis Sambutan Maulidur Rasul SMKA Wataniah 1431H / 2010M

Salam Ukhuwwah.

Badan Dakwah dan Rohani ( BADANI ) telah menganjurkan Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Sekolah SMKA Wataniah 1431H / 2010M pada 10 Mac 2010 ( Rabu ). Program tahunan sekolah. Program yang cukup meriah dan mendapat sambutan yang baik dalam kalangan warganya. Matlamat diadakannya adalah sesuai dengan tema program " Kini Ku Lafazkan Cinta Untuk Mu Rasulullah ".
Pengisian program seperti perarakan, pertandingan nasyid, pertandingan kain rentang terbaik, pembarisan terbaik, persembahan sajak, forum agama, pentomen, Tokoh Maulidur Rasul dan Jamuan Makan Tengah Hari berlaukkan Gulai Kari Lembu. Tahniah.


Majlis Penyampaian Watikah Pengawas Sekolah SMKA Wataniah Tahun 2010 - 7 Mac 2010



Anak Adalah Anugerah dan Amanah ALlah

Friday, March 5, 2010

Kenangan Tidak Terjangkau Lagi

Berita Program Bahasa Arab SMKA Wataniah dalam Utusan Malaysia


Sumber  :  http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0305&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm

Tip cemerlang Bahasa Arab
* Antara keistimewaan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) berbanding sekolah lain ialah ia menawarkan Bahasa Arab kepada semua pelajarnya.
Ini bermakna, semua subjek yang diajar di sekolah-sekolah lain turut diajar di SMKA. Sehubungan itu, Bahasa Arab adalah subjek trade mark SMKA. Jika pelajar tidak boleh menguasai subjek ini, maka keistimewaan tersebut tidak membawa makna.
* Bahasa Arab adalah bahasa al-Quran dan al-hadis. Kedua-dua ini adalah sumber utama dalam menjalani kehidupan sebagai khalifah di muka bumi.
Bahasa Arab juga bahasa rasmi solat lima waktu. Ia juga bahasa rasmi 23 negara Arab dan antara enam bahasa rasmi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.
* Menguasai Bahasa Arab bererti anda mudah memahami al-Quran dan al-hadis. Jika anda mudah memahami al-Quran dan al-hadis, sudah pasti anda juga akan mudah mengkaji apa jua bidang yang diceburi.
Inilah rahsia ilmuwan Islam terdahulu seperti Ibnu Sina (perubatan), al-Khawarizmi (matematik) dan lain-lain.
* Sepatutnya, subjek Bahasa Arab menjadi pemangkin kepada kecemerlangan subjek-subjek lain. Adalah amat sukar diterima jika para pelajar SMKA tidak mampu menguasai bahasa al-Quran dan tidak mampu memperoleh A dalam PMR dan SPM.
Adalah diharapkan lepasan pelajar SMKA dapat merujuk al-Quran dan al-hadis dalam apa jua bidang yang diceburi.
* Antara SMKA yang telah mengadakan program B Arab PM (penting & mudah) adalah:
SMKA Nurul Ittifaq Besut, Terengganu (Julai 09)
SMKA Krian, Gunung Semanggol, Perak (Ogos 09)
SMKA Igan, Mukah, Sarawak (Okt 09)
SMKA Sharifah Rodziah, Melaka (Okt 09)
SMKA Wataniah, Besut, Trengganu (Feb 10)
SMKA Slim River, Perak (Feb 10)
Program : Bengkel B Arab PM
Tarikh : 6 Mac 2010 (Sabtu)
Masa : 8.30 pagi -1 tengah hari
Peserta : Pelajar tingkatan 1,2,
Masa : 2000 malam -2200 malam
Peserta : Guru-guru B Arab SMKA, KAA, j-QAF berhampiran dijemput hadir.
(Hubungi Ustaz Rosli 019-4138787 untuk kehadiran)
Tarikh : 7 Mac 2010 (Ahad)
Masa : 8.30 pagi - 1 tengah hari
Peserta : Pelajar tingkatan 3
Tempat : SMKA Irshad, P.Pinang

Thursday, March 4, 2010

Sikap kawan di tempat kerja mempengaruhi tahap motivasi kerja kita


Sumber  :  http://www.imotivasi.com/motivasi-kerja/sikap-kawan-di-tempat-kerja-mempengaruhi-tahap-motivasi-kerja-kita.html

Kawan di tempat kerja boleh mempengaruhi tahap motivasi kerja.
Bila kita dekat dengan orang yang rajin, bersemangat serta suka dengan kerja yang dilakukannya, serta merta kita juga akan terjangkit tabiat yang sama. Kesannya, kita akan turut jadi bermotivasi seperti dia.
People see, people do.
Apabila kita selalu berada dekat dengan orang yang malas bekerja, melaksanakan tugasan seadanya dan kurang ada inisiatif untuk memajukan diri, kesannya kita akan turut terjangkit perkara yang sama. Kita akan selesa dengan sikap seperti dirinya, maka kita juga akan jadi malas bekerja, suka melaksanakan tugasan seadanya dan kurang ada inisiatif untuk memajukan diri dalam bidang kerja sekarang ini.
Untuk menikmati keseronokan bekerja, Anda perlu berkawan rapat dengan orang suka dengan kerjanya. Elakkan berkawan dengan orang yang selalu mengomplen-ngomplen pasal kerjanya, mengomel-ngomel dan menampakkan kemalasan sebab Anda akan terjangkit perkara yang sama. Sampai bila pun Anda tak akan dapat merasai motivasi kerja.
Sikap orang lain boleh mempengaruhi kita tanpa kita sedari. Nak cemerlang dalam bekerja, kita kena dekat-dekatkan diri dengan orang yang cemerlang sikapnya, yang ada motivasi kerja. Barulah kita merasa ada dorongan motivasi ketika bekerja sebab kita nampak kawan kita sendiri bersemangat bekerja di depan mata kita.

Wednesday, March 3, 2010

Naik Tol? Naik Elektrik? Cuaca panas, orang panas

Sumber  :  http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0303&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_10.htm


Naik Tol? Naik Elektrik? Cuaca panas, orang panas
Oleh  :  Zaini Hassan


DENGAR kata tol nak naik lagi? Tarif elektrik pun? Benarkah? Rakyat sudah cukup terbeban dengan apa yang mereka tanggung sekarang. Jika hidup di bandar semuanya wang. Kadangkala wang dihabiskan begitu sahaja tanpa sedar. 

Cukai itu dan ini, caj itu dan ini, parking sini dan sana hingga masuk tandas pun wang.

Roda kereta masuk lubang (yang bercambah-cambah atas jalan di KL) pun kena wang. Rim kereta bengkok kena tukar atau baiki. Di kedai tayar, pekedai letak harga ikut suka dan itu tidak masuk cukai perkhidmatan dan kerajaan lagi. Bukan salah pemandu yang membayar road tax apabila rimnya bengkok, tetapi salahnya ialah kepada majlis perbandaran yang tidak tampal lubang itu.

Pergi makan di restoran sekarang pun kena cukai yang bukan-bukan. Minggu lepas, saya dan dua rakan makan di sebuah restoran, makan bukan apa sangat - tapi cajnya melampau, cukainya dalam resit RM10! Tak masuk akal.
Berkereta untuk ke tempat kerja setiap hari seperti berperang. Jalan sesak teruk sangat. Oleh kerana jalan kerajaan atau jalan percuma terlalulah sesak, pemandu lazimnya cari jalan lain iaitu dengan masuk pintu tol. Maka kenalah bayar tol.

Setiap hari saya membayar RM5.20 pergi balik dari Shah Alam ke Kuala Lumpur melalui Tol Pantai. Memanglah selesa dan cepat. Tapi kerana sudah bosan menggunakan lebuh raya Persekutuan, maka terpaksalah bayar tol.

Tol adalah satu keperluan untuk penduduk bandar. Wang yang mereka belanjakan setiap bulan untuk tol terlalu banyak. Itu tidak kira lagi jika perjalanannya banyak berulang-alik. Setiap kali bayar tol, jika secara Smart Tag wang habis tak terasa. Jika bayar di pondok tol, hati sakit kerana kita yang berkata ‘terima kasih’ kepada pekerja tol yang menolong mengambil duit kita. 

Dia tak kata apa-apa pun – adalah seorang dua ucap terima kasih kat kita.

Namun perjalanan ke destinasi terpaksa diteruskan. Kerja untuk mengisi perut dan menampung wang tol terpaksa dicari. Selagi hayat dikandung badan, itulah rutinnya.

Minggu lalu, kita semua gelisah – sudahlah tidur malam rimas kerana cuaca panas akibat peralihan monsun – dengar kata tarif elektrik pula nak naik. Lagi panaslah kita. 

Beritanya disiarkan dalam akhbar mengatakan menterinya akan membawa cadangan itu ke dalam Kabinet. Namun, dalam mesyuarat Kabinet minggu lalu, dengar kata cadangan itu ditangguhkan.

‘‘Ditangguhkan?” Mungkinkah kerajaan bertimbang rasa kerana ramai yang pakai aircond dalam musim panas ini. Maka, tidak adillah tarif itu dinaikkan sekarang.

Apa pun cadangan itu masih ditangguhkan. Lambat-laun ia akan naik juga. TNB memberi alasan macam- macam - kos mereka meningkat. Harga dunia arang batu naik, harga gas naik dan macam-macam lagi naik.

Begitu juga dengan tol. Kerajaan memberi alasan terikat dengan perjanjian konsesi. Dikhabarkan jika kerajaan tidak naik ikut masa yang ditetapkan (tiga tahun sekali) maka kerajaan terpaksa tanggung pampasan yang besar kepada pemegang konsesi.

Ikut perjanjiannya tol kena naik setiap tiga tahun sekali. Jika kerajaan tidak naikkannya, mungkin atas alasan politik atau desakan rakyat, maka kerajaan terpaksa tanggung RM200 juta setahun atau RM600 juta bagi tiga tahun pertama. Jika tahun ke-4 tidak naik juga kerajaan terpaksa tanggung RM400 juta setahun atau RM1.2 bilion bagi tempoh tiga tahun itu. Jika tahun ke-7 tidak juga naik ia akan menjadi RM600 juta atau RM1.8 bilion untuk tiga tahun itu. 

Memanglah jika dikaji betul-betul syarikat PLUS juga kepunyaan kerajaan secara tidak langsung. Bak kata orang, ‘keluar poket kanan, masuk poket kiri’. Tetapi itu semua tidak dikira. PLUS terus mencatatkan keuntungan berbilion-bilion.

Namun, itulah alasannya sehinggalah Menteri Kerja Raya ketika itu, S. Samy Vellu diberi jolokan Samy Tol kerana mahu menjaga kepentingan kerajaan bagi mengelakkan ia membayar pampasan yang besar itu.

Kini Shaziman pula kena menghadapinya. Jangan nanti dia pun orang panggil Shaziman Tol sudahlah. Terma perjanjian itu jika tidak silap akan berkuat kuasa sehingga pada 2038. Ada 28 tahun lagi.
Apapun kerajaan berada dalam dilema. Tak naik pun tak boleh, naik pun tak kena. Jadi semuanya serba tak kena.

Penduduk yang tinggal di Puncak Alam dan kawasan perumahan sekitarnya, ikut Jalan Batu Arang dari Shah Alam memberitahu saya mereka amat bengang kerana jalan untuk ke Shah Alam terlalu sesak setiap pagi.

Namun semuanya lega apabila akhbar Utusan Malaysia menyiapkan berita baru-baru ini bahawa satu jalan susur akan dibuat di simpang tiga berhampiran Lebuh Raya Guthrie. Mereka cukup gembira dan bersyukur. Tapi mereka kemudian difahamkan susur yang tengah dibuat itu bukannya percuma. 

Mereka akan dikenakan tol? Hati yang sejuk dikhabarkan bergelora kembali. 

Semalam, keluar satu lagi berita gembira? Kerajaan akan membuat satu lagi lebuh raya untuk kemudahan rakyat jelata dari Banting ke Taiping. Akhbar The New Straits Times menyediakan petanya sekali. Ia akan menjadi laluan alternatif kepada Lebuh Raya Utara-Selatan PLUS. Harga projek dianggarkan antara RM5 bilion dan RM6 bilion.

Setakat ini tidak pasti ia akan bertol atau tidak. Tapi seorang pegawai di Kementerian Kerja Raya memberitahu saya: ‘‘Eh... mestilah bertol”.

Namun, sekali lagi semua berita ini ada suka, ada duka. Berita pembangunan seperti itu boleh juga menjadi backfire atau makan tuan jika tidak ditangani dengan betul. Terutama jika rakyatnya akan menghadapi pilihan raya. Jika kerajaan itu kuat dan perkasa, dan rakyatnya mempunyai perkapita yang tinggi mungkin tidak menjadi masalah, tapi jika tidak...?

Rakyat sebenarnya gelisah dengan berita seumpama ini. Saya masih teringat apabila kerajaan menaikkan harga petrol sebanyak 78 sen daripada RM1.92 kepada RM2.70 pada Jun 2008. Saya kebetulan berada dalam sidang akhbar itu. Kami semua ‘terkejut beruk’ kerana naiknya terlalu tinggi.

Apa sekalipun, kita sudah lupa itu semua. Setiap hari kita mesti mengisi minyak untuk menghidupkan kenderaan masing-masing. Hidup harus diteruskan. Wang harus dicari bagi menampung keperluan termasuk membayar tol, isi minyak dan membaiki rim yang bengkok!

Ceramah Kerjaya dan Hala Tuju Selepas SPM

Salam Ukhuwwah.

Program ini diadakan khusus untuk pelajar Tingkatan 5, calon SPM tahun 2010 pada 2 Mac 2010, Selasa, jam 11.00 pagi hingga 1.00 petang. Bertempat di Dewan Haji Abdul Latif, SMKA Wataniah. Disampaikan oleh Encik Mohd Ridhwan bin Shukri, Pensyarah Sekolah Hospitaliti, Management and Science University ( MSU ).
Dianjurkan bersama oleh Unit Bimbingan dan Kaunseling & Jawatankuasa Projek Kecemerlangan SPM.

Majlis Letak Kerja dan Penetapan Target PMR SMKA Wataniah Tahun 2010

Salam Ukhuwwah.

Majlis Letak Kerja dan Penetapan Target PMR SMKA Wataniah Tahun 2010 telah diadakan pada 1 Mac 2010, Isnin, Jam 2.00 petang bertyempat di Dewan Makan ASPURI. Anjuran Projek Kecemerlangan PMR SMKA Wataniah. Dilancarkan oleh Hajjah Che Dayang binti Che Sulaiman, Pengetua SMKA Wataniah.

Kaunselor Juga Manusia Biasa


Salam Ukhuwwah.

Sudah lama ingin saya coretkan luahan diri agar terembes segala panas yang membahang dan membakar diri. Kepayahan, kesusahan dan kesulitan terungkai dari membelit penerusan kepuasan bekerja. Juga kegembiraan berkala yang muncul dalam tawa dan senyuman pahit kepuraan. Masakan awan mampu menurunkan hujan jika air di sungai kekeringan dipunggah gerombolan cangkungan seharian.

Kejayaan Berbakti

Alhamdulillah. Pada 25 Februari 2010, Khamis, saya menerima satu khidmat pesanan ringkas (SMS) dari seorang rakan yang berkhidmat di MAIDAM Besut menyatakan permohonan Bantuan Persekolahan Untuk Anak Yatim Miskin SMKA Wataniah seramai 40 orang telahpun diluluskan. Pada 2 Mac 2010, Selasa, saya diminta untuk hadir ke pejabat MAIDAM Besut untuk berbincang tentang perolehan barangan keperluan seragam pelajar tersebut. Perbincangan dibuat dan persetujuan dicapai. Kami ke kedai pakaian dalam Pasar Jerteh dan ke Kedai Kasut BATA. Temujanji dibuat. Tuan kedai akan datang ke sekolah pada hari Ahad, 7 Mac 2010, jam 11.00 pagi untuk membuat ukuran saiz pakaian dan kasut. Setiap pelajar akan dapat satu uniform sekolah lengkap, kasut, stokin, beg sekolah dan baju bahagian dalam. Semua baru, mahal dan lengkap. Kasut sepasang harganya RM 49.90. Tahun lepas, permohonan saya dengan MAIDAM juga berjaya. Sebanyak 100 naskhah Al-Quranul Karim telah disumbangkan oleh MAIDAM. Setiap naskhah berharga RM20.00. Kini semuanya ditempatkan di Masjid As-Syakirin, masjid sekolah. Syukurlah. Ingin berbakti lagi jika khidmat ini diperlukan.

Hambatan Kerja

Tanyalah sesiapapun. Mana mungkin kita mampu menanggung pelbagai kerja dalam satu-satu masa. Mana yang nak kita utamakan, 1 pelajar atau 200 pelajar. Semua pasti akan jawab, tentunya 200 pelajar. Mudah sahaja jawapannya kan?. Jika saya berseorangan. Baca dengan berseorangan bukannya keseorangan. Saya sedang bekerja bersama 200 pelajar, tiba-tiba, kita didatangkan dengan 1 pelajar untuk dirungkaikan masalah yang membelitnya. Segera dan ditinggalkan bersama saya. Apa kata 200 pelajar lagi?. Mana satu nak saya utamakan?. Benda macam ni, nak kan kaunselor selesaikan. Ada juga peristiwa, 1 pelajar datang bersama keluarga untuk mohon masuk asrama. Baca satu ( 1 ), bukan 10 atau 100. Tapi Unit Asrama dah tak terima kerana perangai tak berapa elok. Masa tu, saya bersama 297 pelajar. Saya tolong ejakan, Dua Ratus Sembilan Puluh Tujuh orang pelajar. Bukan dengan 1 orang. Dapat panggilan telefon, minta saya tinggalkan program bersama 297 pelajar dengan segera. Serba salah dibuatnya. Tak kan tak tahu program besar begini berlangsung sepanjang hari. Unit saya yang anjurkan. Kes macam tu pun nak kan kaunselor yang selesaikan. Kita kalau banyak sangat nak jaga hati dan perasaan orang, kita akan jatuh sakit nanti. Tak bagus kalau banyak sangat berdiplomasi.

Kesihatan Terganggu

Tika berkesempatan dan punyai kelapangan, saya menjengah ke Klinik Dr. Hasbullah. Bawa anak yang sakit juga check paras kolesterol dalam badan saya. Masha ALlah, 6.01. Tingginya. Lepas ni, kena banyakkan puasa sunat, kurangkan makan makanan laut, organ dalaman, makanan manis, kena banyakkan bersenam, rehat cukup, tidur awal dan yang paling penting tiada stress.

Kerja Kita, Kita Yang Buat. Kerja Orang, Kita Yang Buat.

Biasa mendengar, hebat laungan, terangkat kebijaksanaan. Bukan motto, tapi celikan mata yang disogok untuk memperlihatkan kehebatan sangkaan. Bila gerbang dilepasi, bulan berlalu dan tahun merentasi. Pengalaman makin memberati timbangan diri. Sarat dengan tudingan dan kajian pencarian, kenapa Kerja Kita, Kita Yang Buat. Kerja Orang, Kita Yang Buat. Mata memerhatikan jarang benar yang membenarkan. Banyak salah yang dipersalahkan. Bila agaknya mata ini akan terbuka luas seantero binaan lingkungan pagar lindungan. Jawapannya ada pada kita.

Bila Sudah Lama, Tawar Berakar Pasti Muncul

Seseorang kaunselor hanya boleh berada di sekolah lima tahun sahaja. Katanya, bimbang takut tawar dan tidak berfungsi nanti ilmu yang ada pada diri.  Pertukaran kaunselor wajib dilakukan. Maka saya pun dipindahkan ke tempat baru. Kena bergerak. Mesti berpindah. Tiada rayuan boleh dibuat. Kalau dibuat pun, mana ada orang nak dengar. Ramai kawan saya yang bila berpindah dan berada di tempat baru, mereka rasa terpukul. Ya ALlah,  bagaimana dengan rakan yang lain. Ada sampai dah 20  tahun bertapak. Ramai lagi yang 15 tahun bermukim.  Banyak lagi yang 10 tahun ke atas berlegar. Siapa adil dalam soal ini?. 

Bias Gender

Di manakah kaum lelaki?. Cikgu pun kurang. Pelajar pun lagi tak ramai.

Guru Cemerlang

Ada suara yang membinggitkan telinga. Bukan marah tapi..... dengki agaknya. Oh ya!, dengki ni ada sejak Nabi Adam lagi. Kisah Qabil dan Habil kan. Ingat lagi... Nak juga saya buka sejarah. Awal Januari 2008, saya dipanggilmasuk ke dalam bilik Pengetua, Tuan Haji Sahamudin. Pengetua di tempat lama. Sayang sangat untuk tinggalkan tempat tu. Ingat kan nak kena marah lagi. tak rupanya. Ingat lagi perkataannya. " Saya nak cikgu isi borang Guru Cemerlang tahun ni. Saya yang buat penilaian. Bukan Nazir. Orang macam cikgu patut minta. Borang boleh dapatkan dengan GPK Pentadbiran  ". Mungkin tahun itu, saya tak ada rezeki kerana menerima nasihat yang tidak tepat dari seseorang. Beberapa bulan berikut, saya terima berita gembira, Saya dapat Anugerah Perkhidmatan Cemerlang ( APC ) bagi tahun 2007. Syukur AlhamduliLlah. APC bukan syarat nak isi borang Guru Cemerlang pun. 5 tahun dalam perkhidmatan awam, saya dah dapat APC. Lagi berita gembira menjelma, pertengahan tahun 2009, saya diminta oleh Pengetua untuk isi lagi borang tersebut. Kali ini, Nazir yang akan datang. Tak apa. Saya sahut cabaran. Pengetua menyokong penuh permohonan kali ini. Lagi pun, kalau tak dapat pun, bukannya akan rugi apa-apa. AlhamduliLlah, pada 5 Januari 2010, saya menerima panggilan dari Jemaah Nazir membawa khabar gembira. Permohonan saya diluluskan setelah Nazir datang ke sekolah. Penilaian dah dibuat. Katanya, hanya tunggu surat dari Bahagian Sumber Manusia, KPM. AlhamduliLLah, tahun ke-7 dalam perkhidmatan, saya dah bergelar " Guru Cemerlang ". Ya ALlah, doa hamba-Mu ini telah engkau makbulkan Ya ALlah.

Kehilangan Ibu Tercinta

Ya ALlah. Hamba-Mu ini menadah tangan mengadu kepada-Mu ya ALlah. Sesungguhnya dunia hamba-Mu ini telah hilang serinya. Dalam saat kasih dan sayang diperlukan, ibu pergi mengadap-Mu ya ALlah. Iman kental terasa tergugat. Hidup bagaikan di awangan. Hidup tiada arah bimbingan. Payahnya kian terasa. Ya ALlah tempatkanlah ibuku dalam Syurga-Mu ya ALlah. Pertemukan kami nanti dalam Syurga-Mu ya ALlah. Tiada perkataan yang boleh hamba-Mu ini gambarkan tentang kehilangan ini. Jadikanlah hamba-Mu ini dari kalangan orang yang sabar Ya ALlah. Amin... Kini sudah 9 tahun ibu pergi. Ibu... Setiap kali Jumaat tiba, anak-anakmu pasti akan singgah di satu kawasan yang luas, menyampaikan salam keluarga dan kalungan doa yang kami bawa. Ibu... sungguhpun engkau di dunia roh, kami di dunia fana', tapi... kami dapat rasakan, hangatnya perhubungan, eratnya kasih sayang, yang telah engkau berikan. Terima Kasih Ibu.....

Rakan Seperjuangan

Saya berterima kasih kepada Cikgu Noor Zuraida. Saya panggil Kak Noor. Dia lebih senior dari saya. Banyak pengalaman dikongsi. Kerja bimbingan kaunseling dimantap bersama. Banyak memahami keadaan. Rajin bekerja. Saya dapat gandingan yang baik. Syukurlah. Program diatur dilaksana ikut rencana yang direncana sebagai merencana. Tapi bilik kami sempit. Hebat mana bekerja, kewangan peruntukan sedikit dan bilik pun sempit. Kami cuba mengubah, Bilik Kaunseling bukannya tempat orang yang ada masalah atau tempat orang yang langgar disiplin. Paradigma ini yang kami usaha untuk ubah. Kini, nampak kian berjaya. Kami amalkan konsep  " friendly ". Jangan banyak sangat diplomasi. Yang Benar kena kata Benar. Yang Salah kena kata Salah. Terima Kasih Kak Noor. Jangan sekali-kali isi borang tukar tahun ini.

Tuesday, March 2, 2010

Bengkel Rahsia Cemerlang Bahasa Arab SMKA Wataniah Tahun 2010

Salam Ukhuwwah

Terima Kasih buat semua pelajar Tingkatan 1 dan Tingkatan 2. Program ini telah mengumpulkan hampir 300 pelajar pada 1 Mac 2010. Juga Syukran Jaziilan buat Ustaz Zakaria dan Ustaz Khairi atas kejayaan melaksanakan program ini. Lain kali kita jemput lagi.

Doa apabila terganggu dan terkejut ketika tidur atau rasa kesepian


 
Maksudnya:
Aku memohon perlindungan dengan kalimah-kalimah Allah yang sempurna daripada kemurkaanNya dan azabNya, daripada kejahatan hambaNya dan daripada hasutan syaitan-syaitan dan daripada syaitan mendekatiku.