Followers

Wednesday, March 3, 2010

Kaunselor Juga Manusia Biasa


Salam Ukhuwwah.

Sudah lama ingin saya coretkan luahan diri agar terembes segala panas yang membahang dan membakar diri. Kepayahan, kesusahan dan kesulitan terungkai dari membelit penerusan kepuasan bekerja. Juga kegembiraan berkala yang muncul dalam tawa dan senyuman pahit kepuraan. Masakan awan mampu menurunkan hujan jika air di sungai kekeringan dipunggah gerombolan cangkungan seharian.

Kejayaan Berbakti

Alhamdulillah. Pada 25 Februari 2010, Khamis, saya menerima satu khidmat pesanan ringkas (SMS) dari seorang rakan yang berkhidmat di MAIDAM Besut menyatakan permohonan Bantuan Persekolahan Untuk Anak Yatim Miskin SMKA Wataniah seramai 40 orang telahpun diluluskan. Pada 2 Mac 2010, Selasa, saya diminta untuk hadir ke pejabat MAIDAM Besut untuk berbincang tentang perolehan barangan keperluan seragam pelajar tersebut. Perbincangan dibuat dan persetujuan dicapai. Kami ke kedai pakaian dalam Pasar Jerteh dan ke Kedai Kasut BATA. Temujanji dibuat. Tuan kedai akan datang ke sekolah pada hari Ahad, 7 Mac 2010, jam 11.00 pagi untuk membuat ukuran saiz pakaian dan kasut. Setiap pelajar akan dapat satu uniform sekolah lengkap, kasut, stokin, beg sekolah dan baju bahagian dalam. Semua baru, mahal dan lengkap. Kasut sepasang harganya RM 49.90. Tahun lepas, permohonan saya dengan MAIDAM juga berjaya. Sebanyak 100 naskhah Al-Quranul Karim telah disumbangkan oleh MAIDAM. Setiap naskhah berharga RM20.00. Kini semuanya ditempatkan di Masjid As-Syakirin, masjid sekolah. Syukurlah. Ingin berbakti lagi jika khidmat ini diperlukan.

Hambatan Kerja

Tanyalah sesiapapun. Mana mungkin kita mampu menanggung pelbagai kerja dalam satu-satu masa. Mana yang nak kita utamakan, 1 pelajar atau 200 pelajar. Semua pasti akan jawab, tentunya 200 pelajar. Mudah sahaja jawapannya kan?. Jika saya berseorangan. Baca dengan berseorangan bukannya keseorangan. Saya sedang bekerja bersama 200 pelajar, tiba-tiba, kita didatangkan dengan 1 pelajar untuk dirungkaikan masalah yang membelitnya. Segera dan ditinggalkan bersama saya. Apa kata 200 pelajar lagi?. Mana satu nak saya utamakan?. Benda macam ni, nak kan kaunselor selesaikan. Ada juga peristiwa, 1 pelajar datang bersama keluarga untuk mohon masuk asrama. Baca satu ( 1 ), bukan 10 atau 100. Tapi Unit Asrama dah tak terima kerana perangai tak berapa elok. Masa tu, saya bersama 297 pelajar. Saya tolong ejakan, Dua Ratus Sembilan Puluh Tujuh orang pelajar. Bukan dengan 1 orang. Dapat panggilan telefon, minta saya tinggalkan program bersama 297 pelajar dengan segera. Serba salah dibuatnya. Tak kan tak tahu program besar begini berlangsung sepanjang hari. Unit saya yang anjurkan. Kes macam tu pun nak kan kaunselor yang selesaikan. Kita kalau banyak sangat nak jaga hati dan perasaan orang, kita akan jatuh sakit nanti. Tak bagus kalau banyak sangat berdiplomasi.

Kesihatan Terganggu

Tika berkesempatan dan punyai kelapangan, saya menjengah ke Klinik Dr. Hasbullah. Bawa anak yang sakit juga check paras kolesterol dalam badan saya. Masha ALlah, 6.01. Tingginya. Lepas ni, kena banyakkan puasa sunat, kurangkan makan makanan laut, organ dalaman, makanan manis, kena banyakkan bersenam, rehat cukup, tidur awal dan yang paling penting tiada stress.

Kerja Kita, Kita Yang Buat. Kerja Orang, Kita Yang Buat.

Biasa mendengar, hebat laungan, terangkat kebijaksanaan. Bukan motto, tapi celikan mata yang disogok untuk memperlihatkan kehebatan sangkaan. Bila gerbang dilepasi, bulan berlalu dan tahun merentasi. Pengalaman makin memberati timbangan diri. Sarat dengan tudingan dan kajian pencarian, kenapa Kerja Kita, Kita Yang Buat. Kerja Orang, Kita Yang Buat. Mata memerhatikan jarang benar yang membenarkan. Banyak salah yang dipersalahkan. Bila agaknya mata ini akan terbuka luas seantero binaan lingkungan pagar lindungan. Jawapannya ada pada kita.

Bila Sudah Lama, Tawar Berakar Pasti Muncul

Seseorang kaunselor hanya boleh berada di sekolah lima tahun sahaja. Katanya, bimbang takut tawar dan tidak berfungsi nanti ilmu yang ada pada diri.  Pertukaran kaunselor wajib dilakukan. Maka saya pun dipindahkan ke tempat baru. Kena bergerak. Mesti berpindah. Tiada rayuan boleh dibuat. Kalau dibuat pun, mana ada orang nak dengar. Ramai kawan saya yang bila berpindah dan berada di tempat baru, mereka rasa terpukul. Ya ALlah,  bagaimana dengan rakan yang lain. Ada sampai dah 20  tahun bertapak. Ramai lagi yang 15 tahun bermukim.  Banyak lagi yang 10 tahun ke atas berlegar. Siapa adil dalam soal ini?. 

Bias Gender

Di manakah kaum lelaki?. Cikgu pun kurang. Pelajar pun lagi tak ramai.

Guru Cemerlang

Ada suara yang membinggitkan telinga. Bukan marah tapi..... dengki agaknya. Oh ya!, dengki ni ada sejak Nabi Adam lagi. Kisah Qabil dan Habil kan. Ingat lagi... Nak juga saya buka sejarah. Awal Januari 2008, saya dipanggilmasuk ke dalam bilik Pengetua, Tuan Haji Sahamudin. Pengetua di tempat lama. Sayang sangat untuk tinggalkan tempat tu. Ingat kan nak kena marah lagi. tak rupanya. Ingat lagi perkataannya. " Saya nak cikgu isi borang Guru Cemerlang tahun ni. Saya yang buat penilaian. Bukan Nazir. Orang macam cikgu patut minta. Borang boleh dapatkan dengan GPK Pentadbiran  ". Mungkin tahun itu, saya tak ada rezeki kerana menerima nasihat yang tidak tepat dari seseorang. Beberapa bulan berikut, saya terima berita gembira, Saya dapat Anugerah Perkhidmatan Cemerlang ( APC ) bagi tahun 2007. Syukur AlhamduliLlah. APC bukan syarat nak isi borang Guru Cemerlang pun. 5 tahun dalam perkhidmatan awam, saya dah dapat APC. Lagi berita gembira menjelma, pertengahan tahun 2009, saya diminta oleh Pengetua untuk isi lagi borang tersebut. Kali ini, Nazir yang akan datang. Tak apa. Saya sahut cabaran. Pengetua menyokong penuh permohonan kali ini. Lagi pun, kalau tak dapat pun, bukannya akan rugi apa-apa. AlhamduliLlah, pada 5 Januari 2010, saya menerima panggilan dari Jemaah Nazir membawa khabar gembira. Permohonan saya diluluskan setelah Nazir datang ke sekolah. Penilaian dah dibuat. Katanya, hanya tunggu surat dari Bahagian Sumber Manusia, KPM. AlhamduliLLah, tahun ke-7 dalam perkhidmatan, saya dah bergelar " Guru Cemerlang ". Ya ALlah, doa hamba-Mu ini telah engkau makbulkan Ya ALlah.

Kehilangan Ibu Tercinta

Ya ALlah. Hamba-Mu ini menadah tangan mengadu kepada-Mu ya ALlah. Sesungguhnya dunia hamba-Mu ini telah hilang serinya. Dalam saat kasih dan sayang diperlukan, ibu pergi mengadap-Mu ya ALlah. Iman kental terasa tergugat. Hidup bagaikan di awangan. Hidup tiada arah bimbingan. Payahnya kian terasa. Ya ALlah tempatkanlah ibuku dalam Syurga-Mu ya ALlah. Pertemukan kami nanti dalam Syurga-Mu ya ALlah. Tiada perkataan yang boleh hamba-Mu ini gambarkan tentang kehilangan ini. Jadikanlah hamba-Mu ini dari kalangan orang yang sabar Ya ALlah. Amin... Kini sudah 9 tahun ibu pergi. Ibu... Setiap kali Jumaat tiba, anak-anakmu pasti akan singgah di satu kawasan yang luas, menyampaikan salam keluarga dan kalungan doa yang kami bawa. Ibu... sungguhpun engkau di dunia roh, kami di dunia fana', tapi... kami dapat rasakan, hangatnya perhubungan, eratnya kasih sayang, yang telah engkau berikan. Terima Kasih Ibu.....

Rakan Seperjuangan

Saya berterima kasih kepada Cikgu Noor Zuraida. Saya panggil Kak Noor. Dia lebih senior dari saya. Banyak pengalaman dikongsi. Kerja bimbingan kaunseling dimantap bersama. Banyak memahami keadaan. Rajin bekerja. Saya dapat gandingan yang baik. Syukurlah. Program diatur dilaksana ikut rencana yang direncana sebagai merencana. Tapi bilik kami sempit. Hebat mana bekerja, kewangan peruntukan sedikit dan bilik pun sempit. Kami cuba mengubah, Bilik Kaunseling bukannya tempat orang yang ada masalah atau tempat orang yang langgar disiplin. Paradigma ini yang kami usaha untuk ubah. Kini, nampak kian berjaya. Kami amalkan konsep  " friendly ". Jangan banyak sangat diplomasi. Yang Benar kena kata Benar. Yang Salah kena kata Salah. Terima Kasih Kak Noor. Jangan sekali-kali isi borang tukar tahun ini.
Post a Comment