Followers

Saturday, April 17, 2010

Tidak Tertanggung Rindu Ini

Mengingati tarikh ini, 16 April dan 17 April pasti akan menjengah rasa pilu, berombak syahdu dan titisan air mata hiba. Siapa tahu?. Siapa dapat meneka?. Rasa kehilangan yang berpanjangan tidak akan ketemui noktah kepastian.

Masa kan berlalu. Mana mungkin dapat diputarkan roda masa. Sembilan tahun terasa cepat beransur pergi. Masih mengingati dan tidak akan lupa sampai bila-bila.

Pada tika ini, tangan ini menadah ; " Ya Allah, hati ini terlalu rindu, diri ini terlalu sepi, hidup terasa kosong tak berisi. Hebatnya erti kasih dan makna rindu. Ya Allah, Engkau ampunkan dosa ibuku, ya Allah. Hari ini telah sembilan tahun ibu hamba-Mu ini pergi. Ya Allah, pertemukanlah kami nanti dalam syurga-Mu ya Allah. Tempatkanlah ibuku bersama " golongan yang telah Engkau janjikan ".

Pada hari ini, genap masa dan cukuplah hitungan hari berlalu, sembilan tahun ibu meninggalkan kami.

Ibu, depan mata ini sentiasa melihat. Payahnya hidup ibu. Balik dari kebun, kekadang menoreh getah, ada tikanya mengangkut buah kelapa sawit, seringkali menjunjung pisang dan ubi untuk jajaan jualan.  Banyak masa juga " mencari arang ". Satu guni enam ringgit masa itu. Berpanasan bahang api. Kaki kehitaman. Susahnya mencari duit untuk saraan keluarga. Hidup kita susah ibu.

Ibu, anak-anak ibu tidak pinta untuk dilahirkan dalam kemiskinan. Siapa mahu hidup ini susah dan dihina orang. Semua itu kerana satu perkataan, jauh mendalam siratan  maknanya, miskin. 

Pada masa itu, ibu selalu berpesan, " Anak-anak, belajarlah bersungguh-sungguh kerana pelajaranlah mampu mengubah kehidupan kita ". Ibu bukan pakar motivasi. Juga bukan konsultan dibayar. Tapi itulah ibu. Kata-katanya menyentuh jiwa, sangat menyentap perasaan dan memotivasikan tindakan.

Terngiang-ngiang kata doktor, ibu anda seorang yang terlalu banyak berfikir. Stresnya tinggi. Tekanan hidup sangat hebat. Tiada cukup rehat. Itulah puncanya ibu anda terkena stroke dan heart attack.

Takut sangat bila mendengar, RM 24,000.00 diperlukan untuk pembedahan. Ibu bertambah runsing. Anak-anak tiada keruan. Di mana hendak dicari nilai itu. Banyaknya. Kita orang miskin. Kita tidak mampu. Kos pembedahan katanya. Akhirnya, belum sempat hidup diteruskan, ibu pergi untuk penghidupan abadi. Tidak sanggup melihat kesakitan ibu. Tidak tertanggung derita ibu.

" Ya Allah, jika kehidupan ibu lebih baik, maka panjangkanlah dan sihatkanlah ibu. Jika pemergian adalah terlebih baik di sisi-Mu, kami redha ya Allah. Kami redha ya Allah ".

Ibu, saya berjanji akan menjaga amanah ini sebaiknya. Adik-adik adalah kesayangan saya. Meskipun masa sudah mengubah sayang mereka tapi kasih tetap dalam jagaan berpanjangan. " Buat adik-adik, Wan Mohd Rozi, Wan Hazimah dan Wan Mohd Zaidi, ingatlah bahawa ibu kita telah pergi ". Kasih ibu tiada pengganti.
Ingatlah!, setiap hari adalah Hari Ibu.
Post a Comment