Followers

Saturday, April 3, 2010

Saya Juga Ingin Berpesan

Salam Ukhuwwah.

Beberapa hari yang lalu, saya didatangi oleh beberapa orang pelajar. Ada juga yang menelefon bertanyakan satu soalan mudah. Tapi jauh hitungannya. Payah perkiraannya. Jenuh mencari jawapan. Telahan agakan saya sebelum ini, ternoktah bilamana ada yang sudi bertanya. Saya sudah bersedia. Saya telah lama menanti. Akhirnya kata mereka, " Cikgu, apa pendapat cikgu kalau saya hendak melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di luar negara? ".

Tidak Menghalang

Kita kena faham kedudukan kewangan keluarga kita. Jika kita mendapat tajaan kerajaan seperti JPA atau MARA atau mungkin tajaan/biasiswa pihak yang berkepentingan. Anda lah manusia yang paling rugi jika tidak menerimanya. Dari puluhan ribu yang cemerlang dalam pelajaran, kita salah seorang yang berjaya ditawarkan biasiswa. Sebenarnya kitalah manusia paling beruntung. Pertama, cemerlang dalam peperiksaan. Kedua, berjaya mendapat tajaan menyambung pelajaran. Inilah bukannya persoalan bagi perbincangan ini. Saya gusarkan, jika anda sudah kurang berkemampuan untuk berjaya cemerlang dalam peperiksaan peringkat SPM. Contoh mudah, hanya dapat 6A sahaja. Subjek Sains Tulen hanya dapat Gred B, tetapi beria-ia untuk menyambung pelajaran dalam bidang perubatan. Luar negara pula. Fikirkanlah...

Unjurkan Perkiraan

Saya dapat mengesan dua syarikat yang tak akan saya sebut nama keduanya, giat dan aktif mencari pelajar untuk menawarkan tempat ke luar negara terutamanya dalam bidang perubatan dan pergigian. Kita kena faham dan wajib tahu. Jangan kita mudah ditunduki dengan maklumat yang tidak tepat. Satu-satu perniagaan bermatlamatkan keuntungan. Mana ada orang buka kedai tapi tidak mahu untung besar atau untung kadar ciput sahaja. Hebat mempromosi, jenuh dan rancak mengiklan, tujuannya adalah untuk mencari pelanggan. Bila dapat ramai pelanggan maka di situlah punca keuntungan. Makin ramai sertai, maka banyaklah untungnya. Bukan tujuan saya berkata begini untuk menyekat rezeki orang. Niat saya tidak adapun ke arah itu. Cuma saya sekadar ingin berpesan kepada anak-anak didik di SMKA Wataniah. Beringatlah!!!.

Jika Kita Kaya

Ketahuilah. Kos belajar di luar negara sangat besar. Lima atau enam tahun di sana, memerlukan wang yang besar. Cubalah kira kan kosnya. Tambang kapal terbang dah RM 1500.00 sehala. Makan minum dan tempat tinggal, mahu RM 500.00 sebulan. Itu tidak termasuk kos yuran pengajian. Anda dijanjikan setahun untuk buktikan yang anda berjaya mendapat CGPA 3.00 dan ke atas. Baru BOLEH/LAYAK memohon tajaan/biasiswa JPA. Ingat perkataan BARU. Belum tentu dapat kan?. Dan..... bayangkan jika anda tak dapatpun CGPA 3.00 setelah setahun belajar di luar negara dengan tanggungan sendiri ( sila baca dengan tanggunggan ibu bapa anda ). Bagaimanakah nasib anda nanti?. Sila jawab sendiri...

Yuran Pengajian

Siapa akan tolong bayar yuran pengajian kepada kita?. Saya pernah mendapat tahu, jika seseorang pelajar melanjutkan pelajaran atas tajaan JPA ke Russia dalam bidang perubatan, maka kerajaan terpaksa membelanjakan RM 1 juta keseluruhan kos pengajian pelajar tersebut sehingga tamat belajar termasuk tiket kapal terbang, makan minum dan tempat tinggal. ( Jika saya tersalah maklumat ini, pohon betulkan ). Dah lama saya dengar maklumat ini bila hadir satu program pendidikan. Jika kita pergi ke luar negara atas tajaan sendiri, tak tahulah saya nak kata apa. Anda memang hebat!.

Jangan Bila Terhantuk Baru Terngadah

Pesan orang tua-tua, " Beringat sebelum kena, jika terkena pasti menyesal tak sudah ". Masa itu, segalanya sudah terlambat. " Terlajak perahu boleh diundur, terlajak tindakan, timbul sesalan berpanjangan ". " Hidup ini sangat indah. Lakarilah sejarah kehidupan dengan panorama keindahan ". Jangan kita lakari kehidupan dengan contengan masalah yang sengaja kita ada-adakan. Jangan sesekali malu untuk bertanya. Malu bertanya, anda akan tersesat arah. 

Sekian. Jumpa lagi di lain bicara.
Post a Comment