Followers

Tuesday, July 9, 2013

Orang Susah Berbicara, Orang Miskin Berkata-kata...Berilah Peluang Kepada Mereka?.

Salam Ukhuwwah.

Sebelum saya tuturkan hasrat bicara saya kali ini, saya ingin mengambil peluang untuk mengucapkan “Selamat Berpuasa Bulan Ramadan, Bulan Rahmat Bulan Berkat. Alhamdulillah kita temui lagi Ramadan kali ini. Rebutlah peluang untuk beribadah sebanyaknya di dalamnya”.

Saya masih dapat mengheret kembali ingatan saya ke tahun 1985. 28 tahun yang lalu. Ianya sudah lama berlalu meninggalkan saya. Tahun peperiksaan Penilaian Darjah Lima saya. Juga pertama kali dapat mengikuti program lawatan bermaklumat atau program lawatan sambil belajar. Saya terpanggil untuk menyertai rombongan tersebut setelah diberi penerangan oleh Cikgu Rohana dan Cikgu Ramlah, asal dari Pasir Panjang dan Hiliran, Kuala Terengganu. (Saya tak pasti sama ada cikgu masih ada lagi?). Destinasi pertama adalah Muzium Negeri di Bukit Cherong Lanjut, berhadapan sekolah Grammar sekarang. Seterusnya, shopping di Bumi Supermarket. Sekarang ni dah tiada supermarket ini. Terletak berhampiran Hotel Seri Malaysia, Kuala Terengganu. Sekarang dah jadi KFC dan Pizza Hut. Last sekali ke Pantai Pandak Chendering, Kuala Terengganu. Saya tertarik kerana pantai ini tersangat indah dan ianya adalah antara lokasi utama filem “Sesejuk Air Mata Ibu” tahun 1981. Kalau tanya budak-budak sekarang, pasti mereka tak akan tahu sebab ianya cerita lama. 

Apabila saya pulang ke rumah, lantas memaklumkan hasrat untuk menyertai program tersebut kepada ibu (kini ibu tiada lagi). Yuran hanya RM5.00 tapi makan sendiri tidak termasuk dalam yuran. Ibu mengizinkan tapi meminta saya bagitahu hasrat kepada ayah. Takut sangat-sangat untuk minta izin dengan ayah sebab ayah garang. Sebab takut ayah tak izinkan. Sebab keluarga kami miskin dan ayah tak mampu. Dan bila malamnya, saya nekad membuka mulut dan jawapannya, seperti dijangkakan. Ayah tidak izinkan kerana tiada duit. Waktu itu ayah bekerja sebagai penoreh getah. Mengambil upah menoreh getah orang dan sedikit kebun sendiri.

Saya rasa kecewa sangat. Hajat kita tak kesampaian. Dan malam itu aku tidur bertemankan air mata. Ibu (tidak mahu menulis dengan menggunakan perkataan “arwah ibu” kerana saya dapat rasakan ibu sentiasa hidup dan berada di sisi saya sampai bila-bila) datang memujuk. Tapi apalah kudrat seorang isteri untuk membenarkan setelah ayah berkeras tidak mengizinkan saya turut serta.

Sebab nak sangat ikut serta, saya terfikir untuk membelah tabung simpanan. Diperbuat dari buluh. Tak tahu macam mana idea itu boleh datang. Dapatlah dalam RM12.60. Besar sangat nilai itu pada tahun 1985. Saya bagitahu kepada ibu tindakan saya itu, ibu sekadar mengingatkan supaya menyimpan baki lebihan wang simpanan itu. Saya dah memang takut untuk bersemuka dengan ayah sekali lagi tetapi hanya melalui perantaraan ibu hasrat disampaikan. Esok awal-awal pagi ayah seperti sediakalanya membekalkan aku 30 sen duit belanja sekolah. 10 sen untuk tambang bas pergi sekolah, 10 sen untuk tambang pulang dan 10 sen lagi untuk aku belanjakan. Tapi biasanya aku simpan masuk tabung. Sebab hampir setiap hari aku membawa bekal nasi dan air ke sekolah. Sekolah Kebangsaan Bukit Perah, Ajil, Hulu Terengganu.

Aku masih ingat lagi, ayah memegang ubun-ubun kepala aku dengan menggunakan tangan kanannya. Kata ayah “Noor, bukan ayah tak wi gi ko Teganu (rombongan lawatan ke bandar Kuala Terengganu), tapi ayah tak dok pitis. Kita nak makan pun betengak (berjimat). Dah kalu mung nak gi juga, ayah wi gi lah”. Sukanya aku waktu tu. Cara ayah buat kepada saya macam tu, saya praktikkan kepada anak-anak saya sekarang bila bercakap dengan mereka. Sangat terkesan dan menyentuh jiwa anak-anak. Terima kasih ayah, juga terima kasih mek (ibu).

Sampai masanya, saya turut serta program lawatan tersebut yang diatur pasca peperiksaan Penilaian Darjah Lima. Itulah kali pertama saya ke bandar Kuala Terengganu sedangkan jarak dari rumah hanyalah 30km. Saya hanyalah anak kampung dari keluarga miskin. Ayah hanya ada motosikal Honda Cup buruk yang digunakan untuk ke kebun, ke masjid dan ke mana-mana. Mana mungkin untuk membawa saya bersiar-siar ke bandar. Saya redha ya Allah atas ketentuan-Mu. Motivasi ini saya jadikan inspirasi untuk mendapat Ijazah Kelas Pertama pengajian saya di UPM, tapi tak kesampaian kerana ibu pergi dulu sebelum pengajian aku tamat. Dan aku bagaikan orang gila berbulan-bulan lamanya. Cita-cita aku terkubur. Itu kisah lama aku dulu. Tapi sekarang aku dah bayar balik hajat aku itu dan aku puashati. CGPA aku kini 3.80. Syukur ya Allah.

Orang lain bawa wang belanja yang banyak. Tapi aku?, ibu dengan stail setianya bekalkan aku dengan satu tupperware nasi berlaukkan ikan goreng dan air kosong. Juga merasa RM2.00 sebagai duit poket. Terima kasih Mek!. Sukanya kita bila kita dapat sertai program dan kunjungi tempat yang dijadualkan. Sekarang ini, jika melalui kawasan itu, saya akan bercerita kepada anak-anak tempat-tempat lawatan saya pada waktu itu. Kali pertama menyertai rombongan sekolah. Dan saya akan kenanginya sampai bila-bila sebab ianya adalah sejarah peribadi saya. Juga kini sedang merancang, mungkin sekali untuk membawa keluarga makan makanan bekal berwajahkan keindahan Pantai Pandak Chendering seperti tahun 1985 lalu.

Kini... aku Allah pinjamkan seketika jawatan sebagai Guru Kaunseling. Ada ketikanya diizinkan untuk merancang program rombongan lawatan bermaklumat atau program lawatan sambil belajar ke merata-rata tempat yang diinginkan untuk anak-anak pelajar. Juga seperti Cikgu Rohana dan Cikgu Ramlah buat pada tahun 1985, menetapkan bahawa hanya pelajar yang tidak pernah ke Bandar Kuala Terengganu sahaja yang dibenarkan untuk menyertai rombongan. Maka aku kini pun berbuat perkara yang sama, mensyaratkan hanya pelajar yang tidak pernah mengunjungi lokasi lawatan sahaja yang boleh ikut serta.

" Cikgu... terima kasih kerana bawa kami ke sini. Dalam umur hidup saya, inilah kali pertama saya datang ke sini... Biasanya saya hanya lihat dalam surat khabar dan tengok tv . Comel tempat ni cikgu... Terima kasih cikgu ". Penghargaan untuk saya?. Saya gembira dengan kata-kata ini. Itulah bicara anak didikku dan itulah juga luahan kata-kata aku kepada Cikgu Rohana dan Cikgu Ramlah tahun 1985 dulu, sama seperti bicara itu.

Besar nilainya bagi seorang pelajar yang seperti aku dulunya diberi peluang untuk turut serta. Kini aku dapat lihat sendiri apa yang berlaku kepada anak-anak didik aku di SMKA Wataniah. Jika melihat ada kalangan mereka yang keseorangan menjauhkan diri dari keramaian kawan-kawan. Aku faham kerana mereka tiada bekalan tupperware nasi berlaukkan ikan goreng dan air kosong, malu agaknya untuk membawanya, tapi sekadar sedikit wang bekalan buat menunaikan hasrat mencapai hasrat, impian dan keinginan diri seperti aku dulunya. Aku faham sangat. Sudah masak dengan tingkah mereka. Dan aku sekadar membelek helaian kertas mencari warna merah untuk dihulurkan. Keberatan menerima dan aku memaksanya.

Susah dulu lain caranya. Orang Susah Berbicara, Orang Miskin Berkata-kata...Berilah Peluang Kepada Mereka?. Jangan hanya kita sudah biasa, kita akan kata : " Apalah yang ada di situ, tak ada manfaat langsung?. 

Muzium Negeri di Bukit Cherong Lanjut, shopping di Bumi Supermarket dan kunjungi Pantai Pandak Chendering bagi aku anak seorang penoreh getah yang tidak pernah ada peluang ke tempat seperti itu akan mengenanginya sehingga kini sekalipun 28 tahun telahpun berlalu. Aku akan sentiasa mengingatinya. Aku kenangi jasa cikgu. Terima kasih cikgu.

Aku mohon maaf. Salam Ramadan.

Post a Comment