Followers

Tuesday, October 12, 2010

Dari ALlah Kita Datang dan Kepada ALlah Jua Kita Pasti Akan Kembali

Salam Ukhuwwah.


Tanggal 10 Oktober 2010, ketika masih lagi di sekolah meneruskan kerja, jam 12.30 p.m. saya menerima satu sms,  " Pak Man telah kembali ke RahmatuLlah sekejap tadi di Hospital Kuala Terengganu ". Ringkas mesejnya.

Saya terduduk seketika. Ya ALlah benarkah berita ini. Saya sahkan dengan adik. " Tak apa aku balik kejap lagi ". Terus saya pulang ke rumah. Solat Zohor dan terus memandu pulang membawa Wafi sebagai teman. 130 KM jarak perjalanannya.

Jam 4.00 petang, tiba di kampung dan jenazah telahpun sedia sampai di Balai Sah ( Surau ). Selesai Solat Asar, jenazah disembahyangkan dan disemadikan di Tanah Perkuburan Kampung Tok Gebok. 

Ramai yang berebut untuk berada dalam liang. Tidak mengapalah. Saya hanya berada di atas membantu untuk perkhidmatan terakhir buat Pak Man. Mengaut tanah buat memenuhi ruang liang. Saling bekerjasama dengan rakan-rakan sekampung.

Malamnya sempat bertahlil. Esoknya, pagi-pagi lagi sudah pulang ke Besut. Masuk kerja semula sekalipun lewat tiba di sekolah.

Masih ingat lagi, pertemuan pada malam raya Aidilfitri baru-baru ini. Beria-ia benar Pak Man mengajak ke rumahnya setelah sama-sama berjemaah di Balai Sah. Lewat pulang ke rumah malam tu. Ingatnya jam hampir 11.00 malam.

Banyak perkara yang dibualkan. Juga sehelai kain pelikat hadiah buat Pak Man tanda kenangan abadi. Itulah pertemuan dan perbualan terakhir. Banyak perkara yang dikongsikan. Beliau banyak memahami kami. Setelah kehilangan ibu, sembilan tahun yang lalu... kepada Pak Man lah tempat kami mengadu. Kata-kata perangsang buat bekalan kami adik beradik.

Ingat lagi kata-kata ini, " Noor, maafkanlah ko Pak Man banyak-banyak. Pak Man pun sakit lo ning. Takut-takut lepas ni tak jumpa dah. Pak Man pun tua dah. Bila lagi nak tukar balik kerja di kampung. Tak dok orang yang boleh dibuat Tok Imam di Bukit Ara ni ".

Dan..... sememangnya kita sudah tidak akan berjumpa lagi selepas ini.

Bukannya kami punyai ikatan kekeluargaan, tapi sudah mengenali beliau sejak saya mulai mengenal huruf tika menjengah alam persekolahan. Tinggal berjiran. Dan kami bersaudara kerana seagama. Beliau juga sebagai bapa. Suka duka kehidupan banyak dikongsikan bersama.

Siapa mampu menyekat air mata ini dari mengalir?. Siapa mampu menyeka mata merah berair yang bergenang memenuhi kelopak ini?. Siapa yang akan mengalunkan azan di Balai Sah Bukit Ara selepas ini?... dan siapa-siapa. Banyak perkara yang difikirkan.

Sesungguhnya setelah lima hari sakit dan berada dalam wad, Pak Man kembali kepada-Nya dengan mudah. Orang baik mudah perginya.

Pada hari ini saya berdoa menadah tangan, " Ya ALlah!, Ampunkanlah segala dosa Pak Man, kurniakanlah rahmat-Mu kepadanya, kasihanilah beliau dan berikanlah kemaafan-Mu ya ALlah kepada Pak Man. Tempatkanlah beliau ke dalam Syurga-Mu ... Amin ".

No comments: