Followers

Thursday, December 24, 2009

Tahniah Wataniah. Anda Sentiasa Hebat

Salam Ukhuwwah

Saya ucapkan tahniah kepada semua pelajar PMR SMKA Wataniah. Anda memang hebat. Hebat kerana 19 orang dapat 9A dan 30 orang dapat 8A. Ramai lagi yang dapat 7A dan ke bawah. Ramai juga yang gagal. Gred E Bahasa Arab. Ada yang gembira, ada ramai yang berduka. Gagal bukan bermakna ini adalah penamat kehidupan. PMR adalah pemula perjalanan. SPM ada dua tahun lagi. SPM medan sebenar.

Di sini, saya perturunkan gambar kenangan yang diambil sewaktu pengagihan keputusan PMR pagi tadi di Dewan Haji Abdul Latif, SMKA Wataniah.




Apa pun keputusan yang diperolehi sama ada kejayaan atau kegagalan, terimalah seadanya. Setiap ketentuan Ilahi adalah yang terbaik untuk anda. Allah tidak pernah menzalimi hamba-hamba-Nya walau sedikit pun.

Sekiranya anda memperolehi kejayaan sebagaimana yang diharapkan, bersyukurlah. Jangan lalai dan alpa kepada Pemberi kejayaan iaitu Allah. Jangan sombong serta lupa diri. Ingatlah bahawa anda tidak akan mendapat kejayaan itu tanpa usaha dan pengorbanan ibu bapa serta guru-guru. Berterima kasihlah kepada mereka kerana merealisasikan cita-cita anda.Tingkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah sebagai mensyukuri nikmat tersebut.

Seandainya keputusan anda tersasar dan  tidak seperti yang diidam-idamkan, janganlah terlalu bersedih. Itulah yang terbaik untuk anda daripada Allah SWT Yang Maha Bijaksana. PMR bukanlah segala-galanya. Jangan berputus asa kerana  peluang masih ada untuk anda. Jadikan kegagalan  ini sebagai pengajaran dan kumpulkan semangat dan kekuatan untuk mencapai kecemerlangan yang lebih bermakna iaitu SPM yang akan datang.

Kita mesti memahami bahawa kehidupan ini adalah medan ujian daripada Allah SWT. Kejayaan dan kegagalan adalah ujian daripadaNya untuk mengenalpasti amalan yang terbaik dari kalangan hamba-hamba-Nya. Firman Allah SWT dalam surah al-Mulk, ayat 2 yang bermaksud :
“ ( Dialah ) yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun”.

Sesiapa yang memahami hakikat ini maka sekiranya kejayaan yang diperolehi dia akan bersyukur dan meningkatkan keimanannya sebagai berterima kasih kepada-Nya. Sekiranya kegagalan yang dicatat maka hendaklah reda, bersabar dan tabah. Muhasabah dan ambil iktibar daripada kegagalan ini. Jangan berputus asa, jangan terlalu kecewa kerana ini adalah ujian Allah. Sesiapa yang bersabar dan redha, maka dia telah lulus ujian  di sisi Allah SWT.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : Orang mukmin sungguh mengkagumkan. Sesungguhnya urusannya sentiasa memberi kebaikan kepadanya. Ini tidak berlaku kecuali hanya kepada orang mukmin. Sekiranya dia mendapat kesenangan, dia bersyukur maka dia mendapat kebaikan. Sekiranya dia ditimpa kesusahan, dia bersabar maka dia juga mendapat kebaikan. (Riwayat Imam Muslim)

Sabda Rasulullah SAW ini patut dijadikan panduan dan pedoman kepada kita agar sentiasa menyedari bahawa setiap saat dan ketika kita sebenarnya berdepan dengan ujian dan cubaan daripada Allah SWT. Apa yang perlu kita lakukan ialah bersyukur bila mendapat nikmat dan redha serta bersabar bila ditimpa kesusahan. Dengan itu ganjaran pahala dan reda-Nya akan menjadi milik kita.
Post a Comment