Followers

Friday, December 30, 2011

Datang dan Pergi.............. dan Berlalulah Pergi Lagi

Salam Ukhuwwah

Walau setinggi mana ilmu kita, walau seluas mana pengalaman kita dan walau secekap mana kemahiran kita, kita tidak akan terlepas dari berlaku silap dan berbuat  salah.

Dalam suatu sistem sosial yang adil, kita perlukan suatu ruang kehidupan yang makmur, tidaknya payah. Kita sentiasa mengharapkan kemudahan melingkari kita. Kita sentiasa dibasuh ingatan kita kepada pembuktian pasti dari Allah : “ Sesungguhnya setiap kepayahan, kesulitan dan kesukaran akan pasti disusuli dengan kemudahan dan kesenangan ”.

Kita tidak mengharapkan untuk makan dalam pinggan emas, minum menggunakan gelas emas. Memakan makanan lazat dan mahal-mahal, tapi cukuplah jika kita dapat menyuap ke mulut kita sedikit makanan dan meminum sedikit air tawar kosong buat menegakkan tulang-temulang sekadar untuk beribadah kepada Allah. Cukuplah jika kita dapat duduk bersila atas lantai kayu buruk sementara memamah makanan agar tidak dikata orang tiada nilai sopan “ makan sambil berdiri ”. Biarlah keadaan kita itu untuk sekalipun tidak seselesa tetamu VVIP di majlis, tapi harapnya kehadiran kita dijeling seketika sekalipun tidak lama.

Tahun 2011 kian berlabuh pergi. Muncul kini 2012. Kita lalui setahun itu dengan pengalaman berguna. Memaknakan kefahaman kita bahawa “ umur kita makin bertambah dan usia kita makin berkurang ”. Sesekali kita terduduk seketika dan berkata : “ kenapa masalah ini terkena kepada kita? ”. Itulah muhasabah. Sukar untuk kita mencari kilauan disebalik suram lakonan alam. Jika ada sedikit cahaya yang terpancar, kita sepatutnya tahu bahawa ianya muncul dalam keadaan terpaksa kerana ianya hanya dibuat-buat. “ Terpaksa mengikut urus bukannya menongkah arus ”.

Semua dalam kalangan kita sentiasa mengharapkan untung nasib kehidupan yang menggembirakan. Baik yang waras mahupun yang gila. Tingkah laku yang merujuk kepada perasaan, pemikiran dan tindakan tampak manusia memberi makna bahawa manusia pasti akan terkesan kepada sistem fizikal sekitarnya. Dalam ilmu psikologi sosial, kita akan lalui lima belas taktik yang biasa digunakan untuk mengubah tingkah laku orang lain dalam kehidupan seharian. Mungkin kita melaluinya tanpa menyedarinya satu persatu. Ada yang menggunakan ilmu kemahiran, tawar menawar dan ada yang melanggar norma prinsip manusia Muslim atau jelasnya munafiq serta melanggar adab bertutur. Dan ramai yang mengampu kerana ingin mencapai ruang personal diri sekalipun rakan-rakan sekeliling menanggapinya sudah melimpah ruah sehingga mencemari wajah bersih berselindung nipisan alatan kosmetik mungkin.

Tahun-tahun sudah juga kita mengesani ramai yang suka sangat melanggar wilayah privasi personal. Sesepatutnya adilkah jika kita menghakimi seseorang tanpa kita mendengar hujjah pembelaan diri darinya terlebih dahulu sebelum menghukum seseorang sebaliknya lantas menghukum dengan hanya berpaksikan pandangan dan pendapat musuh yang sememangnya tidak sealiran mungkin kerana iri hati, dengki atau busuk hati terhadapnya sedari dulu, kini dan selamanya, sedangkan kita adalah hakim yang baru mendapat jawatan dan bukanlah hukama' terbilang seperti sesepatutnya.
 
Sekalipun begitu….. Selamat Tahun Baru 2012, Selamat Bertugas walau di mana kita ditugaskan dan Selamat Menerima Gaji Baru SBPA. Bermuhasabah untuk menjadi manusia baik, cakna kepada suasana dan sesekali jengahlah kehidupan golongan pijakan tapak kuasa pinjaman Allah seketika. Jumpa lagi di tahun 2012.
Post a Comment