Followers

Saturday, May 8, 2010

Tamrin Nuqaba' SMKA Wataniah Tahun 2010


Berjaya. Kalimah kejayaan bila perancangan susulan pelaksanaan selesai sempurna terlaksana. Bagaikan lama sudah terencana. Harapnya penglibatan semua terjelma. Memang begitu jadinya.

Kehadiran guru dan penceramah undangan menepati aturan tentatif terjadual, menambah keringanan tugasan bersama. Jika semua memahami, semua menyetujui, sepakat memberi khidmat dan tanggungjawab, perjalanan menjadi mudah dan senang dalam mesra dan senyuman.

Pilihan tarikh 6, 7 dan 8 Mei 2010, hujung minggu Jumaat dan Sabtu. 80 peserta. Pelajar terpilih, hebat akhlak, kualiti akademik, tinggi hasrat, cita-cita membangun, sahsiah diatur tapak hari ke hari bertunjangkan perubahan. Merekalah kader, merekalah harapan untuk membimbing ahli usrah pelajar lain. Tahniah!. Anda terpilih. Anda hebat.  Pengurusan cetuskan. Kami gerakkan. Anda laksanakan. Hasil dan kejayaan adalah milik bersama.

Tahniah Program BADANI ( Badan Dakwah dan Kerohanian ) atas kejayaan program ini. Laksanakan lagi sebegini seperti ini atau lainnya dengan pilihan pelaksanaan kejayaan yang berkualiti dan dikagumi.

Friday, May 7, 2010

Program Temu Murni Calon-Calon PMR dan SPM Tahun 2010


Paparan program pada 6 Mei 2010. Anjuran Jawatankuasa Program Kecemerlangan PMR dan Jawatankuasa Program Kecemerlangan SPM SMKA Wataniah Tahun 2010.

Thursday, May 6, 2010

Kem Celik Jawi SMKA Wataniah

Salam Ukhuwwah.

Kem Celik Jawi ini dianjurkan oleh Panitia Pendidikan Islam dan Jawatankuasa Penyelaras Tingkatan Satu. Tarikh 5 Mei 2010 dipilih. Semua pelajar Tingkatan 1 dilibatkan. Dewan Haji Abdul Latif sebagai lokasi utama. Melihat kepada kekurangan yang ada pada pelajar Tingkatan Satu tahun ini yang sangat kurang berkemampuan menguasai Jawi, maka kem ini dianjurkan. Terima Kasih buat semua ustaz dan ustazah. Juga buat Miss Murhaini, Penyelaras Tingkatan 1. Selamat Hari Guru, 10 hari lagi.

Wednesday, May 5, 2010

Karnival PPDa Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2009

 

Kami kalah dalam kemenangan. Hanya sembilan peserta sahaja. Sepatutnya 10 peserta dan ke atas. Tapi kami menggunapakai syarat lama tahun 2008 yang dibekalkan oleh PPD Besut. Pasukan lain sememangnya sudah mengetahui syarat baru ini. Sekalipun pegawai PPD Besut membuat bantahan atas kenyataan pengacara majlis membacakan syarat pertandingan pada awal pertandingan, segalanya sudah terlambat. Markah telahpun diberi kerana pasukan kita, giliran persembahannya adalah yang pertama.

Pasukan kami hanya mendapat tempat ke-enam. Walau apapun, ramai yang memuji pasukan ini kerana ' sedap dan hebat '. Kita kalah kerana masalah teknikal. Redha aje lah.

SMKA Tok Jiring sebagai lokasi pertandingan. SMT Terengganu, asrama tumpangan. 7 dan 8 Mei 2009, setahun berlalu. Hari ini, ( saya edit semula entry ini pada 7 Mei 2010 ). Saya dilantik sebagi Ketua Kontinjen Daerah Besut ke karnival ini. Seharian bertanding, malam tiba, pelajar SMKAWA tetap hebat. Hadir ke Masjid Wakaf Tembusu untuk sertai solat berjemaah dan ikuti kuliah maghrib. Rakan-rakan guru memuji sikap pelajar kita. Teguh rohani, mantap jiwa mereka. Saya tersenyum bila disua ungkapan sebegini. Saya sangat mengenali pelajar ini.

Mungkin kerana penat, saya tertidur di surau sekolah. Deruan kepak-kepak nyamuk menyinggahi kelopak telinga. Akhirnya tersedar, itu surau lama. Masih juga mencari anak-anak murid. Ke mana mereka ya?. Asrama, oh! tidak. Trauma mendengar perkataan itu.

Lokasi sekolah bersebelahan dengan airport Sultan Mahmud. Biarkanlah pelajar menonton tayangan langsung depan mata kapal terbang turun dan naik. Lihatlah sepuasnya. Alor Keladi mana ada airport.

Bila tersedar dari tidur. Rasa tak puas tidur. Karpet masjid SMT Terengganu ( masjid baru dan besar ) jadi hamparan empuk tiduran. Itulah lebih dan hebatnya seorang guru. Jam belum lagi 5 pagi, Bullah dan Mat Hanif tolong kejutkan. Ingat lagi perkataan ini, ' Cikgu, bangun cikgu. Kita buat tahajjud '. Ya ALlah. Kagumnya mempunyai pelajar sebegini. Solat Subuh berjemaah dipimpin oleh Syukur. Siap buat sujud Sajdah lagi.

Bila sarapan bersama, Arham, pemain conga mengadu telefon hilang di asrama. Ada juga guru pengiring mengadu hilang barang yang sama. Tak tahulah nak kata apa. Tapi kes ini, kami tak panjangkan.

Kami sudah menjangka, bila berada dalam majlis penutup di Dewan SMT Wakaf Tembusu, kami akan kalah. Benar dan tepat sekali telahan. Tempat ke-enam aje. Daerah Besut hanya Johan Dikir Barat dan akan mewakili Negeri Terengganu.

Kami beredar dan pulang ke SMKAWA dengan penuhan pengalaman dan lipatan kenangan. Adat bertanding memang begitu.

Ada yang bertanyakan, Cikgu kenapa rapat sangat dengan Mat Hanif dan Syukur. Entry ini adalah jawapannya. Saya menggagumi SMKA Wataniah. Juga menghayati lagu P.Ramlee, ' Di Mana Kan Ku Cari Ganti '.

Jumpa Lagi.

Sentiasa Berderau Dalam Ingatan

Salam Ukhuwwah

Pepatah mengatakan ' Tempat Jatuh Lagikan Dikenang, Inikan Pula Kenangan Bersama '. Entry kali ini akan memaparkan kenangan bersama pelajar SPM tahun 2009.  


Gambar ini tidak dipaparkan pada mana-mana tempat di sekolah. Terlupa sebenarnya untuk menjaja kejayaan ini.  Juga tercuai memuatkan dalam Ulya 09. Dinobatkan sebagai Johan Pertandingan Nasyid Karnival PPDa Peringkat Daerah Besut Tahun 2009 pada 27 April 2009 di SMK Permaisuri Nur Zahirah.


Nik Mohd Hanif Nik Soh diberi penghargaan oleh Pegawai PPD Besut untuk memimpin bacaan doa dalam majlis penutup.

 
Sabar menunggu pengumuman kejayaan. Kelihatan Sufriman, Abud dan Syukur. Membelakangi gambar ialah Zahiruddin.


Syukur dan Asyraf mewakili kumpulan menerima hadiah kemenangan dari Pegawai Khas PPDa, Pejabat Pelajaran Daerah Besut.

Sunday, May 2, 2010

'Ulya 09 Edisi 10

Salam Ukhuwwah.


29 April 2010, Khamis, saya diberikan sebuah Majalah Sekolah yang baru. Cantik ilustrasi rekacipta yang menarik. Isi yang memukau benak ilmu. Tahniah buat Editor, Nik Mardhiah dan Sidang Redaksi.
Ketebalan 230 muka surat. Banyak berita termuat. Bila muka surat dibelek-belek, saya terpegun pada dua paparan, muka surat 68 dan 69. Gaya penceritaan pengalaman Nik Mardhiah dan rakan yang lain.

Kejayaan peringkat daerah Besut bergelar Johan dalam Karnival Pendidikan Kaunseling Kerjaya Kategori Sketsa pada 6 Mei 2009 di SMK Nasiruddin Shah telah melarik kembali imbauan ingatan. 

Mewakili daerah Besut ke peringkat negeri Terengganu di UiTM Dungun pada 11 Mei 2009 sekalipun hanya tempat ke-empat diperolehi. Sungguhpun begitu, pengalaman ini sukar dicari. Tidak mampu ditemui di jalanan. Tiada siapa yang tahu, banyak pengorbanan diberikan. Jerih penat berjuang. Tiada yang mahukan kekalahan. Tapi ingatlah, ada lagi pasukan yang lebih baik dari kita.

Saya sebenarnya berbangga, kagum dan teruja dengan kehebatan pasukan sketsa ini. Terima kasih buat Nik Mardhiah, Farhan, Faris, Fakhrul, Syukur, Faizee, Ilyana, Hasmah, Hasbullah, Azam, Anisah dan Nurul Fatihah.

Saya sememangnya dekat dengan kalian. Terima kasih

Sunday, April 25, 2010

Karnival Sukan dan Permainan SMKA Wataniah Tahun 2010

Salam Ukhuwwah.

Tahniah. Karnival hebat yang mendapat sokongan penyertaan yang ramai. Diadakan pada 24 April 2010 bertempat di Padang Permainan dan Dataran Asrama. Terima kasih Unit Sukan Sekolah.

Nasihat kepada yang ingin datang ke Mesir melalui agen


Alhamdulillah.. (artikel ini panjang, sila baca semua kerana dikhuatiri anda tersilap faham jika baca sesetengah. Dituju khas kepada sahabat-sahabat di Malaysia, dan ia tidak sesuai untuk pelajar-pelajar di Mesir memandangkan dijamah oleh suasana peperiksaan kerana dikhuatiri mengganggu emosi anda. Amaran keras: tidak sesuai untuk orang yang mempunyai emosi yang tinggi. Bacalah dengan tenang).

Setelah sekian lama memikirkan relevankah saya untuk menulis entry kali ini. Akhirnya saya gagahi jua keringat untuk menulis.

Maafkan saya ayah li (Prof Razali Nawawi) selaku pengasas Akademik Quran, Ummi Medic mesir dan pihak-pihak agen yang lain. Berat untuk menulis, tetapi bila memikirkan kesannya yang lebih berat, saya memohon petunjuk dariNYA untuk menulis. 

Tujuan entry ini bukannya hendak menjatuhkan sesiapa. Bukan juga untuk memecah-belahkan perpaduan. Bukan juga untuk mencari musuh. Tetapi ia atas kesedaran orang ramai termasuk saya berkenaan masalah ini. Ramai ibu-bapa yang menghubungi saya untuk meminta pendapat berkenaan pembelajaran dalam bidang sains kesihatan di Mesir terutama di Mansurah. 

Saya kira entry kali ini memberi penjelasan pada semua terutama yang akan datang pada musim hadapan. Nasihat pertama saya kepada yang ingin datang ke sini. Belajarlah betul-betul supaya kalian dapat keputusan yang cemerlang. Sekiranya berpeluang untuk mengambil bidang sains kesihatan di Malaysia, ambilah di sana. Saya kira ianya lebih baik. Sekiranya tidak berpeluang, cuba apply melalui JPA atau MARA untuk program ke timur tengah. Juga tidak berpeluang. Apply pula melalui Yayasan-yayasan negeri, kerana melalui yayasan-yayasan negeri peluang itu lebih mudah. 

Kepada anak-anak Kelantan mahupun mereka yang pernah bersekolah di sekolah Yayasan Islam Kelantan (YIK), peluang kalian amat terbuka luas, kerana kebiasaannya YIK mempunyai kouta yang banyak sedangkan yang datang tiap-tiap tahun tidak pernah memenuhi kouta itu. Mungkin cara yang terakhir ialah apply melalui Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). 

Cara-caranya boleh dilihat di sini. Antara kelebihan sekiranya kalian apply melalui apa yang saya sebutkan di atas ialah, sekiranya kalian diterima oleh badan-badan tersebut, secara automatic kalian diterima oleh University-university di Mesir. Tapi mungkin juga sedikit masalah, nama kalian mungkin lambat sedikit naik di Universiti, tetapi jangan risau pihak Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (JPMK) akan bertanggungjawab sepenuhnya ke atas kalian.

Yang kedua ialah kalian datang melalui jalan yang sah dan diiktiraf oleh kedua-dua KPT Malaysia dan Mesir, iaitu borang permohonan akan ditapis oleh KPT Malaysia kemudian akan dihantar melalui KPT Mesir, kemudian KPT Mesir lah berhak memutuskan kalian layak atau pun tidak untuk belajar di sini. Kemudian borang dan fail kalian akan diedarkan ke universiti-universiti di Mesir. 

Kepada yang apply terus melalui KPT Malaysia, kemungkinan surat kelayakan kemasukan kalian ke Universiti lewat. Mungkin sangat-sangat lewat. Saya sendiri tidak tahu mengapa dan perkara ini telah saya adukan kepada Dato’ KSU KPT sendiri. Sekiranya tidak berpeluang juga? Susah hendak dijawab. Hendak datang dengan AGEN? Juga susah hendak dijawab. Tapi secara jujurnya, jika adik saya yang sedang SPM tahun ini hendak datang dengan agen saya akan bantah. 

Nasihat saya yang kedua, jika kalian tidak berpeluang ke Mesir melalui jalan yang sah, cuba fikirkan kembali, mungkin bukan takdir kalian untuk belajar di Mesir. Takut-takut kalian memaksa diri kalian, atau dipaksa oleh ibu bapa kalian, akhirnya kalian memang tidak dapat meneruskan pembelajaran di sini. Bidang sains kesihatan ini bukannya benda yang mudah. Ia memerlukan kemampuan dan minat yang mendalam. Mungkin kalian diperlukan untuk tenaga kerja yang lain.

Nasihat saya yang ketiga. Yang betul-betul hendak datang juga, walaupun dengan agen. Datanglah. insyaAllah kalian selamat dan dapat belajar di sini. Ini bumi Mesir. Bumi barokah. Tetapi pilihlah agen yang betul-betul kalian percayai kewibawaannya. 

Jangan mudah percaya janji-janji manis agen. Jangan mudah tertipu dengan iklan-iklan mereka, sebaliknya kalian tanyalah pendapat-pendapat mereka yang datang dengan agen kerana mereka itu lebih mengetahui baik dan buruknya satu-satu agen. Ini mengelakkan anda ditimpa masalah dikemudian hari. Jangan tanya saya, sebab saya takut saya condong kepada sesuatu pihak dan tidak pada pihak yang lain. 

Nasihat saya yang keempat. Sekiranya kalian mempunyai masalah, sila lapor segera kepada agen yang membawa kalian ke sini. Dan pastikan agen tersebut memang betul-betul bertanggungjawab terhadap kalian. Jangan biarkan mereka lepas tangan begitu sahaja, yang mana akan membuatkan kalian merana kerana menanggung masalah sendirian dan lapor juga kepada persatuan ataupun pihak JPMK. Kalian ada hak untuk memaksa mereka kerana kalian adalah pelanggan mereka. Pastikan setiap sen yang kalian laburkan itu berbaloi. 

Ada satu kes junior saya, pergigian tahun 2 yang mana failnya tidak ada di Universiti, dia telah rujuk kepada agen yang dia sertai, tetapi tiada tindakan, akhirnya agen lain yang sanggup menolongnya. 

Nasihat saya yang kelima, khususnya kepada agen-agen, mungkin saya sudah menyebutnya kepada beberapa pengurusan agen. Jangan terlalu pentingkan duit. Ia saya tahu, anda bawa pelajar ke sini merupakan satu perniagaan. Dan menjadi adat perniagaan jika mahu untung. Tapi perlu ditekankan tanggungjawab anda sebagai peniaga juga ada. Terimalah pelajar-pelajar yang memenuhi criteria yang telah ditetapkan. Jangan ambil pelajar secara semborono sahaja. Mungkin sahaja anda menafikan. Itu terpulanglah. Tapi selaku yang bertanggungjawab untuk bidang sains kesihatan di Malaysia kelak, anda juga pasti menerima kesannya. Dan jika anda berani, dedahkan sahaja siapa yang datang melalui anda dan kelayakan mereka!

Nasihat saya yang keenam. Juga kepada agen. Jagalah kesatuan antara pelajar anda dengan mereka yang datang bukan melalui anda, samada agen lain atau tajaan lain. Jangan diadakan jurang antara mereka. Hormatilah persatuan yang telah sedia ada. Anda masuk ke tempat orang lalu berlaku biadap? Saya rasa jika rumah anda dimasuki seseorang yang mungkin anda juga tidak mengenalinya, dan orang itu berlaku biadap dengan anda. Mungkin jua anda terus marah kepadanya. Isu kesatuan adalah isu yang amat penting. Sebab itu kepada pelajar-pelajar tidak kira datang dengan apa, tidak kira tajaan mana, tidak kira negeri mana, kita adalah satu. 

Satu Malaysia, satu University dan yang paling penting adalah satu aqidah. Jauhi perpecahan kerana ia tidak bermanafaat sedikit pun. Dan lakukan sebaliknya untuk kebaikan bersama. Jika kita berpecah musuh akan ketawakan kita. Maka saya menyeru untuk kita gunakan medium PERUBATAN yang telah sekian lama wujud untuk membina kesatuan kita. Sebenarnya ada banyak lagi yang ingin saya tuliskan. Tetapi ini pun sudah mengambil masa yang lama. Masa yang terlalu mengekang. Tetapi terpaksa tulis untuk kepentingan saudara seagama dan sebangsa.

Mungkin sahaja ada pendapat yang menyokong kedatangan pelaja-pelajar sains kesihatan secara beramai-ramai bagi menyeimbangi peratusan melayu di dalam bidang ini di Malaysia. Mungkin mereka katakan bangsa cina di Taiwan dan bangsa india di India. Kalau macam itu saya sudah lama setuju, Cuma yang saya tidak setuju ialah penghantaran pelaja-pelajar ke mana-mana tempat, tidak kiralah di Mesir ke, Taiwan ke, India ke mestilah memenuhi prosedur yang telah ditetapkan. Melalui syarat yang telah KPT tetapkan. 

Ingat doktor ini fungsinya merawat penyakit. Jika tidak berkelayakan. Yang tidak sakit boleh jadi sakit, apatah lagi yang telah sakit. Mungkin nyawa anda juga terancam! Doktor ini buka perkara yang main-main atau yang suka-suka. Nyawa orang bukan seperti buah appel kata sahabat saya. Akhirnya, saya memohon maaf terutama kepada adik-adik yang telah datang dengan agen. Jika anda menyesal datang dengan agen, tunjukilah kekesalan itu dengan belajar dengan bersungguh-sungguh. Dan ianya bukan salah kalian 100% jika datang dengan agen. Mungkin jua salah KPT dan PERUBATAN yang tidak memberikan maklumat yang terperinci untuk datang ke sini, mungkin jua salah agen yang terlalu menjanjikan janji-janji manis kepada kalian sehingga kalian tertipu dan mungkin jua salah ibu bapa kalian yang terlalu cita-citakan kalian menjadi doctor. 

Saya juga memohon maaf kepada mana-mana pihak yang terasa. Bukan niat hendak menjatuhkan anda, tapi selaku yang bertanggungjawab menjelaskan kepada mereka yang bercita-cita ke Mesir tetapi tidak mempunyai gambaran yang jelas tentangnya. Saya tidak mahu saudara seagama terus menjadi mangsa. Ia juga atas permintaan adik-adik yang datang melalui agen yang tidak berapa berani untuk meluahkan apa yang mereka rasai. 

Buatlah sesuatu perkara yang mana dalam satu masa ia memberikan manafaat kepada anda dan orang lain. InsyaALLAH pahalanya besar. Sekiranya ada kenyataan saya di dalam entry kali ini menyalahi fakta, saya berlapang dada, dan sila betulkan. Ini adalah pendirian peribadi, dan tiada kena mengena dengan mana-mana pihak. 

by, izzatkamal izzat_kamal@yahoo.com +20112667273 wallahu'alam. 

saudara izzat kamal merupakan mantan pengerusi Persatuan Perubatan Cawangan Mansurah. Sekarang berada di tahun 4. Sudah berkahwin."

Friday, April 23, 2010

Program Nilai Minat Jaya Kecemerlangan Tingkatan Tiga

Salam Ukhuwwah.

Tarikh 22 April 2010 dimanfaatkan separuh hari pembelajaran untuk mempertemukan semua pelajar Tingkatan 3 seramai 150 pelajar dengan Kaunselor. Mereka akan menduduki peperiksaan PMR tahun ini. Demi kejayaan bersama. Untuk menilai kebolehan dan kemampuan pelajar, maka program ini diadakan.


Dua ujian diberikan kepada pelajar, Inventori Belajar dan Ujian Minat Kerjaya. Interpretasi dibuat secara umum. Dapatan mendapati tahap belajar mereka berada tahap sederhana. Lonjakan kesungguhan perlu dibuat oleh semua pihak yang berkepentingan di sekolah untuk melihat mereka cemerlang dengan 9A dalam PMR nanti.

Saturday, April 17, 2010

Tidak Tertanggung Rindu Ini

Mengingati tarikh ini, 16 April dan 17 April pasti akan menjengah rasa pilu, berombak syahdu dan titisan air mata hiba. Siapa tahu?. Siapa dapat meneka?. Rasa kehilangan yang berpanjangan tidak akan ketemui noktah kepastian.

Masa kan berlalu. Mana mungkin dapat diputarkan roda masa. Sembilan tahun terasa cepat beransur pergi. Masih mengingati dan tidak akan lupa sampai bila-bila.

Pada tika ini, tangan ini menadah ; " Ya Allah, hati ini terlalu rindu, diri ini terlalu sepi, hidup terasa kosong tak berisi. Hebatnya erti kasih dan makna rindu. Ya Allah, Engkau ampunkan dosa ibuku, ya Allah. Hari ini telah sembilan tahun ibu hamba-Mu ini pergi. Ya Allah, pertemukanlah kami nanti dalam syurga-Mu ya Allah. Tempatkanlah ibuku bersama " golongan yang telah Engkau janjikan ".

Pada hari ini, genap masa dan cukuplah hitungan hari berlalu, sembilan tahun ibu meninggalkan kami.

Ibu, depan mata ini sentiasa melihat. Payahnya hidup ibu. Balik dari kebun, kekadang menoreh getah, ada tikanya mengangkut buah kelapa sawit, seringkali menjunjung pisang dan ubi untuk jajaan jualan.  Banyak masa juga " mencari arang ". Satu guni enam ringgit masa itu. Berpanasan bahang api. Kaki kehitaman. Susahnya mencari duit untuk saraan keluarga. Hidup kita susah ibu.

Ibu, anak-anak ibu tidak pinta untuk dilahirkan dalam kemiskinan. Siapa mahu hidup ini susah dan dihina orang. Semua itu kerana satu perkataan, jauh mendalam siratan  maknanya, miskin. 

Pada masa itu, ibu selalu berpesan, " Anak-anak, belajarlah bersungguh-sungguh kerana pelajaranlah mampu mengubah kehidupan kita ". Ibu bukan pakar motivasi. Juga bukan konsultan dibayar. Tapi itulah ibu. Kata-katanya menyentuh jiwa, sangat menyentap perasaan dan memotivasikan tindakan.

Terngiang-ngiang kata doktor, ibu anda seorang yang terlalu banyak berfikir. Stresnya tinggi. Tekanan hidup sangat hebat. Tiada cukup rehat. Itulah puncanya ibu anda terkena stroke dan heart attack.

Takut sangat bila mendengar, RM 24,000.00 diperlukan untuk pembedahan. Ibu bertambah runsing. Anak-anak tiada keruan. Di mana hendak dicari nilai itu. Banyaknya. Kita orang miskin. Kita tidak mampu. Kos pembedahan katanya. Akhirnya, belum sempat hidup diteruskan, ibu pergi untuk penghidupan abadi. Tidak sanggup melihat kesakitan ibu. Tidak tertanggung derita ibu.

" Ya Allah, jika kehidupan ibu lebih baik, maka panjangkanlah dan sihatkanlah ibu. Jika pemergian adalah terlebih baik di sisi-Mu, kami redha ya Allah. Kami redha ya Allah ".

Ibu, saya berjanji akan menjaga amanah ini sebaiknya. Adik-adik adalah kesayangan saya. Meskipun masa sudah mengubah sayang mereka tapi kasih tetap dalam jagaan berpanjangan. " Buat adik-adik, Wan Mohd Rozi, Wan Hazimah dan Wan Mohd Zaidi, ingatlah bahawa ibu kita telah pergi ". Kasih ibu tiada pengganti.
Ingatlah!, setiap hari adalah Hari Ibu.

Thursday, April 8, 2010

Jiwa seorang guru

Oleh : yusri wahab

Dunia guru tidak menjanjikan kemewahan dan kesenangan hidup. Namun apa yang diperolehi oleh seorang guru ialah mendapat ganjaran yang baik oleh Allah S.W.T, jika segala ilmu yang diberikan oleh guru adalah dari hatinya yang ikhlas.

Kepayahan menjadi seorang guru adalah kepayahan untuk membentuk jiwa insan yang dapat menggunakan ilmunya ke arah kebaikan. Kadangkala terdetik di fikiran saya apakah perasaan seorang guru jika melihat anak muridnya menjadi penjenayah, perasuah, sesat dalam beragama dan lain-lain perkara negatif. Begitulah peritnya menjadi guru kerana guru seharusnya mempunyai perasaan yang mendalam terhadap apa yang telah disumbangkannya dan juga setiap kegagalannya dalam membentuk insan. 

Tidakkah seorang guru itu merasa sedih apabila melihat anak muridnya gagal untuk menjalani kehidupan ini dengan sempurna, terpaksa bersusah payah bekerja sehingga ke larut malam untuk menyara keluarga. Jika tidak mahu keadaan ini terjadi , seorang guru haruslah berusaha bersungguh-sungguh dan penuh iltizam untuk memastikan bahawa tidak ada seorang pun pelajarnya gagal dalam pelajarannya dan juga memastikan bahawa tahap akademik sahaja masih tidak mencukupi untuk seorang pelajar mengharungi kehidupan ini. 

Di sinilah peranan seorang guru dengan memberi nasihat dan teguran kepada pelajarnya. Jiwa yang besar harus disuntik kepada setiap pelajar untuk menjadikan mereka tidak mudah patah semangat dan sentiasa berusaha untuk mencapai kejayaan.

Sunday, April 4, 2010

Peringatan / Persediaan Untuk Menghadiri Temu Duga Biasiswa

Peringatan / Persediaan Untuk Menghadiri Temu Duga Biasiswa

Sumber  :  http://www.bumigemilang.com/

Beberapa peringatan / persediaan untuk menghadiri temu duga Biasiswa adalah seperti berikut :

1.   Be punctual  :  Harus tiba di pusat temu duga 30 minit lebih awal.

2.   Berpakaian formal dan kemas.

3.   Membuat ‘first impression’ yang baik apabila melangkah masuk ke bilik temu duga. Mesti ada ‘eye contact’ dengan panel temu duga.

4.   Gaya berjalan :  Berjalan dengan penuh yakin, badan tegak, wajah berseri dan mata memandang ke hadapan.

5.   Tunjukkan keikhlasan dan keyakinan diri semasa berjabat tangan (firm handshake) dengan penemu duga (jika diminta).

6.   Temu duga dijalankan secara berkumpulan, biasanya di sebuah bilik. Calon akan diminta untuk memperkenalkan diri.  Pelbagai jenis soalan akan ditanya. Biasanya calon diminta menjawab secara spontan.
Panjang masa temu duga tidak tetap, ada yang lebih panjang dan ada pula yang lebih pendek, bergantung pada panel penemu duga.  Oleh itu, calon dinasihati supaya mempersiapkan diri dengan butiran peribadi yang dapat memperkenalkan diri dengan baik.

7.   Semasa membuat perbincangan dalam kumpulan, semangat bekerjasama dan semangat berpasukan mesti diamalkan.  Calon yang ‘dominant’ dalam sesuatu kumpulan kadangkala tidak disenangi oleh panel penemu duga.  Bertutur dengan bahasa yang  senang difahami.  Gunakan suara yang jelas dan bertutur dengan sopan.  Perkongsian fakta atau hasil perbincangan antara semua ahli dalam kumpulan mesti dibuat. Setiap ahli kumpulan harus diberi peluang untuk bertutur. Semua ahli kumpulan mesti saling membantu demi kebaikan bersama.

8.   Tunjukkan penghargaan anda terhadap panel penemu duga.  Berterima kasih kepada panel penemu duga secara ikhlas apabila temu duga tamat.

9.   Anggap temu duga yang akan dihadiri sebagai satu proses yang akan mencerahkan peluang anda untuk berjaya dalam permohonan Biasiswa.

10.  Yakinkan diri bahawa anda akan menunjukkan prestasi yang baik dalam temu duga Biasiswa kali ini.
Semoga Berjaya.

All the best.   Good Luck !

Saturday, April 3, 2010

Saya Juga Ingin Berpesan

Salam Ukhuwwah.

Beberapa hari yang lalu, saya didatangi oleh beberapa orang pelajar. Ada juga yang menelefon bertanyakan satu soalan mudah. Tapi jauh hitungannya. Payah perkiraannya. Jenuh mencari jawapan. Telahan agakan saya sebelum ini, ternoktah bilamana ada yang sudi bertanya. Saya sudah bersedia. Saya telah lama menanti. Akhirnya kata mereka, " Cikgu, apa pendapat cikgu kalau saya hendak melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di luar negara? ".

Tidak Menghalang

Kita kena faham kedudukan kewangan keluarga kita. Jika kita mendapat tajaan kerajaan seperti JPA atau MARA atau mungkin tajaan/biasiswa pihak yang berkepentingan. Anda lah manusia yang paling rugi jika tidak menerimanya. Dari puluhan ribu yang cemerlang dalam pelajaran, kita salah seorang yang berjaya ditawarkan biasiswa. Sebenarnya kitalah manusia paling beruntung. Pertama, cemerlang dalam peperiksaan. Kedua, berjaya mendapat tajaan menyambung pelajaran. Inilah bukannya persoalan bagi perbincangan ini. Saya gusarkan, jika anda sudah kurang berkemampuan untuk berjaya cemerlang dalam peperiksaan peringkat SPM. Contoh mudah, hanya dapat 6A sahaja. Subjek Sains Tulen hanya dapat Gred B, tetapi beria-ia untuk menyambung pelajaran dalam bidang perubatan. Luar negara pula. Fikirkanlah...

Unjurkan Perkiraan

Saya dapat mengesan dua syarikat yang tak akan saya sebut nama keduanya, giat dan aktif mencari pelajar untuk menawarkan tempat ke luar negara terutamanya dalam bidang perubatan dan pergigian. Kita kena faham dan wajib tahu. Jangan kita mudah ditunduki dengan maklumat yang tidak tepat. Satu-satu perniagaan bermatlamatkan keuntungan. Mana ada orang buka kedai tapi tidak mahu untung besar atau untung kadar ciput sahaja. Hebat mempromosi, jenuh dan rancak mengiklan, tujuannya adalah untuk mencari pelanggan. Bila dapat ramai pelanggan maka di situlah punca keuntungan. Makin ramai sertai, maka banyaklah untungnya. Bukan tujuan saya berkata begini untuk menyekat rezeki orang. Niat saya tidak adapun ke arah itu. Cuma saya sekadar ingin berpesan kepada anak-anak didik di SMKA Wataniah. Beringatlah!!!.

Jika Kita Kaya

Ketahuilah. Kos belajar di luar negara sangat besar. Lima atau enam tahun di sana, memerlukan wang yang besar. Cubalah kira kan kosnya. Tambang kapal terbang dah RM 1500.00 sehala. Makan minum dan tempat tinggal, mahu RM 500.00 sebulan. Itu tidak termasuk kos yuran pengajian. Anda dijanjikan setahun untuk buktikan yang anda berjaya mendapat CGPA 3.00 dan ke atas. Baru BOLEH/LAYAK memohon tajaan/biasiswa JPA. Ingat perkataan BARU. Belum tentu dapat kan?. Dan..... bayangkan jika anda tak dapatpun CGPA 3.00 setelah setahun belajar di luar negara dengan tanggungan sendiri ( sila baca dengan tanggunggan ibu bapa anda ). Bagaimanakah nasib anda nanti?. Sila jawab sendiri...

Yuran Pengajian

Siapa akan tolong bayar yuran pengajian kepada kita?. Saya pernah mendapat tahu, jika seseorang pelajar melanjutkan pelajaran atas tajaan JPA ke Russia dalam bidang perubatan, maka kerajaan terpaksa membelanjakan RM 1 juta keseluruhan kos pengajian pelajar tersebut sehingga tamat belajar termasuk tiket kapal terbang, makan minum dan tempat tinggal. ( Jika saya tersalah maklumat ini, pohon betulkan ). Dah lama saya dengar maklumat ini bila hadir satu program pendidikan. Jika kita pergi ke luar negara atas tajaan sendiri, tak tahulah saya nak kata apa. Anda memang hebat!.

Jangan Bila Terhantuk Baru Terngadah

Pesan orang tua-tua, " Beringat sebelum kena, jika terkena pasti menyesal tak sudah ". Masa itu, segalanya sudah terlambat. " Terlajak perahu boleh diundur, terlajak tindakan, timbul sesalan berpanjangan ". " Hidup ini sangat indah. Lakarilah sejarah kehidupan dengan panorama keindahan ". Jangan kita lakari kehidupan dengan contengan masalah yang sengaja kita ada-adakan. Jangan sesekali malu untuk bertanya. Malu bertanya, anda akan tersesat arah. 

Sekian. Jumpa lagi di lain bicara.

Monday, March 29, 2010

Kunjungi Karnival Pendidikan MARA 2010

Salam Ukhuwwah.

Kesempatan yang ada, peluang yang terbuka dan kemudahan yang tersedia kami rebutgunakan sebaiknya pada 28 Mac 2010 ke Terengganu Trade Centre (TTC). Hakikatnya, penglibatan kali ini diberi kepada 5 Ibnu Baitar dan sepuluh pemimpin Kelab Bimbingan dan Kaunseling (BDK) dan PRS sekolah. Tujuh putera dan tiga puluh puteri. Segalanya percuma. Pendedahan awal memungkinkan mereka berkemampuan mengenali peluang dalam dunia pendidikan lanjutan tinggalan alam sekolah peringkat menengah mereka penghujung tahun ini. Jika tidak banyak, sedikit pun tidak mengapa dari tidak mendapat apa-apa. Penyertaan yang mampu menjayakan falsafah dan peribahasa Melayu ' Jauh Perjalanan Luas Pemandangan '. Mulanya berbaring, meniarap, bergulingan, merangkak, bertatih, berdiri, berjalan dan berlari. Semuanya adalah revolusi kehidupan insan sebelum kenal erti kejayaan dalam penghidupan. Sakit jika terjatuh. Perit lagi jika terluka. Jika ada yang memahami, mereka akan mengubati dan membaluti luka-luka itu. Tetapi... jarang sangat kita jumpai mereka yang sudi dan ikhlas merawati. Itulah realiti diri... Buat mereka yang memahami kepayahan diri mengubati, ucapkanlah terima kasih. Katakanlah, saya kini sudah mengerti...

Saturday, March 27, 2010

Tarikh Penting Kemasukan Ke IPTA Tahun 2010

Salam Ukhuwwah.

Perhatian kepada semua pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) tahun 2009 yang memohon kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bagi tahun 2010, tarikh tutup permohonon dalam talian ialah pada 30 Mac 2010.

Pemohon lepasan SPM dan setaraf boleh membuat semakan panggilan temuduga mulai 7 April 2010, manakala pemohon lepasan STPM boleh membuat semakan mulai 14 April 2010 melalui laman  web http://upu.mohe.gov.my.

Bagi pemohon program pengajian pendidikan untuk Program Pengajian Lepasan STPM atau setaraf (Ijazah Pertama), semakan panggilan Ujian MedSI boleh dilakukan mulai 15 April 2010 melalui laman web http://www.mpm.edu.my

Bagi sebarang pertanyaan, pemohon boleh menghubungi talian am 03-8883 5801, 03-8883 5802 dan 03-8883 5858 atau e-mel upu@mohe.gov.my.

Tuesday, March 16, 2010

Tika Saya Berbicara


Salam Ukhuwwah.

Saya susun kesepuluh jari-jemari ini, lahirnya, cetusannya dan gerak nalurinya dari hati setelah minda terdetik berfikir sejenak. Bukan seketika yang masanya sangat terhad dan ruangnya sempit. Bukan kabur atau suram, tapi jelas. Kalau kiranya ada kedapatan saya tidak mampu penuhkan permintaan anak-anak murid atau orang yang berkepentingan memang sangat perlukan bantuan atau bimbingan.

Saya juga manusia biasa. Punyai perasaan, punyai keinginan, punyai ketidakcukupan, punyai kesilapan, punyai kesalahan. Tapi hati dan hasrat saya, saya ingin lihat anak-anak pelajar saya berjaya. Masa depan mereka dibimbing. Bukan bias berdasarkan gender. Bukan mementingkan rupa. Jauh sekali inginlebihkan kepada mereka yang berkepentingan. Saya ikhlas membantu.

Saya juga ada anak. Saya juga mengharapkan suatu hari nanti, anak saya akan dibimbing dan dibantu oleh guru-guru mereka. Saya cuba ikhlaskan diri. Bukan mencari nama. Bukan mencari kedudukan. Bukan mencari ganjaran. Dalam kehidupan ini, saya sudah miliki sedikit kelebihan yang ALLah pinjamkan. Syukur AlhamduliLlah.

Saya tidak faham karenah segelintir manusia. Kita kena faham. Kena sematkan dalam akal bahawa kita kena dahulukan orang yang terdahulu datang daripada kita. Jangan kita tunjukkan ego dan kesombongan kita. Jauh sekali, jangan mencaci pertolongan dan pemberian orang. Jangan menghina memperlekehkan pemberian orang.

Saya sentiasa ingat pesanan guru saya. PENTINGKAN YANG TERPENTING KERANA YANG TERPENTING LEBIH PENTING DARI YANG PENTING.

Doakanlah saya dan keluarga saya. InsyaALlah, zaujah saya akan masuk Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu pada 19 Mac 2010 dan akan menjalani pembedahan ( caesarian ) anak kami yang ketiga pada 21 Mac 2010. Cadangan namanya, Wan Muhammad Fawwaz Wajdi. Lelaki kerana sudah di ' scan ' sebelum ini. Anak adalah anugerah dan amanah ALLah. Kalau ada kesempatan, buatlah solat hajat dan doakanlah untuk saya. Itulah hasrat yang saya pinta dari mereka yang bersimpati. Dari mereka yang memahami. Dari mereka yang mengerti faham akan lanjutan landasan perjalanan diri ini.

Buat anak-anak murid Cikgu, Cikgu sentiasa doakan anda sentiasa berjaya dan menjadi orang berjaya dalam hidup. Pesanan Cikgu, ' Walau setinggi mana kita berada, jangan sekali-kali  kita lupa untuk menjenguk asal kita. Walau sejauh mana kita sudah berjalan, jangan sekali-kali kita lupa untuk menoleh ke belakang, asal mula kita '.

Terima kasih buat semua. Terima kasih.  

Monday, March 15, 2010

Lawatan Ke Karnival Pengajian Tinggi Negara 2010 ( Jom Masuk U ) di Kota Bharu

Salam Ukhuwwah.

AlhamduliLlah. Tahun ni SMKA Wataniah diundang lagi. Kami berkesempatan mengunjungi karnival ini pada 13 Mac 2010.  40 orang satu bas. Semuanya dari Tingkatan 5. Tahun lepas kami ke Universiti Malaysia Pahang ( UMP ), Gambang. Dewan yang sangat besar. dan luas lagi selesa Tapi tahun ni, teruk sangat. Dewan kecil, kawalan tidak terurus. Arah masuk pintu utama dengan 2 orang guard sahaja. Haluan masuk / keluar tidak terjaga. Merimaskan. Mungkin juga kerana ianya diadakan di pusat bandar. Tapi yang pastinya, orang Kelantan minat dan cintakan ilmu. Buktinya, saya juga pernah belajar di Maahad Muhammadi Lelaki suatu ketika dahulu. Saya sangat tahu keadaan ini. Bukan kerana kedua orang tua asalnya dari Kelantan. Tapi..... ramai pegawai besar di Putrajaya dan Kuala Lumpur asalnya mereka dari Kelantan. Ramai mahasiswa universiti, juga dari Kelantan. Kuatnya mereka menguasai ilmu. Seantero alam tahu cerita ini.

Kaum Hawa memang dah menguasai ilmu. Tahniah Tingkatan 5 Ibnu Qayyim

Orang kuat Kelab Bimbingan dan Kaunseling ( BDK ), Adilah dan Farahani

SMKA Wataniah turut diundang ke Karnival Pendidikan MARA di Kuala Terengganu pada 28 Mac 2010. Satu peluang keemasan buat pelajar SPM Tahun 2009 untuk dapatkan ilmu / pendedahan ke IPTA bawah kendalian MARA. Tapi kali ini, Unit Bimbingan dan Kaunseling akan beri peluang kepada pelajar dari Tingkatan 5 Tahun 2010 yang lain pula. Pemimpin Kelab Bimbingan dan Kaunseling ( BDK ) dan PRS tetap diutamakan.

Thursday, March 11, 2010

Majlis Sekalung Penghargaan SPM Tahun 2009

Salam Ukhuwwah.

Tahniah. SMKA Wataniah terbilang. Peningkatan dan lonjakan berlaku lagi dalam SPM Tahun 2009 yang telah diumumkan pada 11 Mac 2010. Pencapaian peratusan lulus keseluruhan bertambah. Seorang pelajar mendapat keputusan A dalam semua mata pelajaran.  Tahniah Izzah Ilyani. Enam lagi mendapat 8A. Program anjuran Jawatankuasa Projek Kecemerlangan SPM dan Unit Bimbingan dan Kaunseling. Tahniah. Perempuan semua tahun ni yang cemerlang. Lelaki entah ke mana. Jom Masuk U.

Paparan gambar menarik.