Salam Ukhuwwah.
Saya susun kesepuluh jari-jemari ini, lahirnya, cetusannya dan gerak nalurinya dari hati setelah minda terdetik berfikir sejenak. Bukan seketika yang masanya sangat terhad dan ruangnya sempit. Bukan kabur atau suram, tapi jelas. Kalau kiranya ada kedapatan saya tidak mampu penuhkan permintaan anak-anak murid atau orang yang berkepentingan memang sangat perlukan bantuan atau bimbingan.
Saya juga manusia biasa. Punyai perasaan, punyai keinginan, punyai ketidakcukupan, punyai kesilapan, punyai kesalahan. Tapi hati dan hasrat saya, saya ingin lihat anak-anak pelajar saya berjaya. Masa depan mereka dibimbing. Bukan bias berdasarkan gender. Bukan mementingkan rupa. Jauh sekali inginlebihkan kepada mereka yang berkepentingan. Saya ikhlas membantu.
Saya juga ada anak. Saya juga mengharapkan suatu hari nanti, anak saya akan dibimbing dan dibantu oleh guru-guru mereka. Saya cuba ikhlaskan diri. Bukan mencari nama. Bukan mencari kedudukan. Bukan mencari ganjaran. Dalam kehidupan ini, saya sudah miliki sedikit kelebihan yang ALLah pinjamkan. Syukur AlhamduliLlah.
Saya tidak faham karenah segelintir manusia. Kita kena faham. Kena sematkan dalam akal bahawa kita kena dahulukan orang yang terdahulu datang daripada kita. Jangan kita tunjukkan ego dan kesombongan kita. Jauh sekali, jangan mencaci pertolongan dan pemberian orang. Jangan menghina memperlekehkan pemberian orang.
Saya sentiasa ingat pesanan guru saya. PENTINGKAN YANG TERPENTING KERANA YANG TERPENTING LEBIH PENTING DARI YANG PENTING.
Doakanlah saya dan keluarga saya. InsyaALlah, zaujah saya akan masuk Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu pada 19 Mac 2010 dan akan menjalani pembedahan ( caesarian ) anak kami yang ketiga pada 21 Mac 2010. Cadangan namanya, Wan Muhammad Fawwaz Wajdi. Lelaki kerana sudah di ' scan ' sebelum ini. Anak adalah anugerah dan amanah ALLah. Kalau ada kesempatan, buatlah solat hajat dan doakanlah untuk saya. Itulah hasrat yang saya pinta dari mereka yang bersimpati. Dari mereka yang memahami. Dari mereka yang mengerti faham akan lanjutan landasan perjalanan diri ini.
Buat anak-anak murid Cikgu, Cikgu sentiasa doakan anda sentiasa berjaya dan menjadi orang berjaya dalam hidup. Pesanan Cikgu, ' Walau setinggi mana kita berada, jangan sekali-kali kita lupa untuk menjenguk asal kita. Walau sejauh mana kita sudah berjalan, jangan sekali-kali kita lupa untuk menoleh ke belakang, asal mula kita '.
Terima kasih buat semua. Terima kasih.
No comments:
Post a Comment