Sumber : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0303&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_10.htm
Naik Tol? Naik Elektrik?
Cuaca panas, orang panas
Oleh : Zaini
Hassan
DENGAR
kata tol nak naik lagi? Tarif elektrik pun? Benarkah? Rakyat sudah cukup
terbeban dengan apa yang mereka tanggung sekarang. Jika hidup di bandar
semuanya wang. Kadangkala wang dihabiskan begitu sahaja tanpa sedar.
Cukai
itu dan ini, caj itu dan ini, parking sini dan sana hingga masuk tandas pun
wang.
Roda
kereta masuk lubang (yang bercambah-cambah atas jalan di KL) pun kena wang. Rim
kereta bengkok kena tukar atau baiki. Di kedai tayar, pekedai letak harga ikut
suka dan itu tidak masuk cukai perkhidmatan dan kerajaan lagi. Bukan salah
pemandu yang membayar road tax apabila rimnya bengkok, tetapi salahnya ialah
kepada majlis perbandaran yang tidak tampal lubang itu.
Pergi
makan di restoran sekarang pun kena cukai yang bukan-bukan. Minggu lepas, saya
dan dua rakan makan di sebuah restoran, makan bukan apa sangat - tapi cajnya
melampau, cukainya dalam resit RM10! Tak masuk akal.
Berkereta
untuk ke tempat kerja setiap hari seperti berperang. Jalan sesak teruk sangat.
Oleh kerana jalan kerajaan atau jalan percuma terlalulah sesak, pemandu
lazimnya cari jalan lain iaitu dengan masuk pintu tol. Maka kenalah bayar tol.
Setiap
hari saya membayar RM5.20 pergi balik dari Shah Alam ke Kuala Lumpur melalui
Tol Pantai. Memanglah selesa dan cepat. Tapi kerana sudah bosan menggunakan
lebuh raya Persekutuan, maka terpaksalah bayar tol.
Tol
adalah satu keperluan untuk penduduk bandar. Wang yang mereka belanjakan setiap
bulan untuk tol terlalu banyak. Itu tidak kira lagi jika perjalanannya banyak
berulang-alik. Setiap kali bayar tol, jika secara Smart Tag wang habis tak
terasa. Jika bayar di pondok tol, hati sakit kerana kita yang berkata ‘terima
kasih’ kepada pekerja tol yang menolong mengambil duit kita.
Dia
tak kata apa-apa pun – adalah seorang dua ucap terima kasih kat kita.
Namun
perjalanan ke destinasi terpaksa diteruskan. Kerja untuk mengisi perut dan
menampung wang tol terpaksa dicari. Selagi hayat dikandung badan, itulah
rutinnya.
Minggu
lalu, kita semua gelisah – sudahlah tidur malam rimas kerana cuaca panas akibat
peralihan monsun – dengar kata tarif elektrik pula nak naik. Lagi panaslah
kita.
Beritanya
disiarkan dalam akhbar mengatakan menterinya akan membawa cadangan itu ke dalam
Kabinet. Namun, dalam mesyuarat Kabinet minggu lalu, dengar kata cadangan itu
ditangguhkan.
‘‘Ditangguhkan?”
Mungkinkah kerajaan bertimbang rasa kerana ramai yang pakai aircond dalam musim
panas ini. Maka, tidak adillah tarif itu dinaikkan sekarang.
Apa
pun cadangan itu masih ditangguhkan. Lambat-laun ia akan naik juga. TNB memberi
alasan macam- macam - kos mereka meningkat. Harga dunia arang batu naik, harga
gas naik dan macam-macam lagi naik.
Begitu
juga dengan tol. Kerajaan memberi alasan terikat dengan perjanjian konsesi.
Dikhabarkan jika kerajaan tidak naik ikut masa yang ditetapkan (tiga tahun
sekali) maka kerajaan terpaksa tanggung pampasan yang besar kepada pemegang
konsesi.
Ikut
perjanjiannya tol kena naik setiap tiga tahun sekali. Jika kerajaan tidak
naikkannya, mungkin atas alasan politik atau desakan rakyat, maka kerajaan
terpaksa tanggung RM200 juta setahun atau RM600 juta bagi tiga tahun pertama.
Jika tahun ke-4 tidak naik juga kerajaan terpaksa tanggung RM400 juta setahun
atau RM1.2 bilion bagi tempoh tiga tahun itu. Jika tahun ke-7 tidak juga naik
ia akan menjadi RM600 juta atau RM1.8 bilion untuk tiga tahun itu.
Memanglah
jika dikaji betul-betul syarikat PLUS juga kepunyaan kerajaan secara tidak
langsung. Bak kata orang, ‘keluar poket kanan, masuk poket kiri’. Tetapi itu
semua tidak dikira. PLUS terus mencatatkan keuntungan berbilion-bilion.
Namun,
itulah alasannya sehinggalah Menteri Kerja Raya ketika itu, S. Samy Vellu
diberi jolokan Samy Tol kerana mahu menjaga kepentingan kerajaan bagi
mengelakkan ia membayar pampasan yang besar itu.
Kini
Shaziman pula kena menghadapinya. Jangan nanti dia pun orang panggil Shaziman
Tol sudahlah. Terma perjanjian itu jika tidak silap akan berkuat kuasa sehingga
pada 2038. Ada 28 tahun lagi.
Apapun
kerajaan berada dalam dilema. Tak naik pun tak boleh, naik pun tak kena. Jadi
semuanya serba tak kena.
Penduduk
yang tinggal di Puncak Alam dan kawasan perumahan sekitarnya, ikut Jalan Batu
Arang dari Shah Alam memberitahu saya mereka amat bengang kerana jalan untuk ke
Shah Alam terlalu sesak setiap pagi.
Namun
semuanya lega apabila akhbar Utusan Malaysia menyiapkan berita baru-baru ini
bahawa satu jalan susur akan dibuat di simpang tiga berhampiran Lebuh Raya
Guthrie. Mereka cukup gembira dan bersyukur. Tapi mereka kemudian difahamkan
susur yang tengah dibuat itu bukannya percuma.
Mereka
akan dikenakan tol? Hati yang sejuk dikhabarkan bergelora kembali.
Semalam,
keluar satu lagi berita gembira? Kerajaan akan membuat satu lagi lebuh raya
untuk kemudahan rakyat jelata dari Banting ke Taiping. Akhbar The New Straits
Times menyediakan petanya sekali. Ia akan menjadi laluan alternatif kepada
Lebuh Raya Utara-Selatan PLUS. Harga projek dianggarkan antara RM5 bilion dan
RM6 bilion.
Setakat
ini tidak pasti ia akan bertol atau tidak. Tapi seorang pegawai di Kementerian
Kerja Raya memberitahu saya: ‘‘Eh... mestilah bertol”.
Namun,
sekali lagi semua berita ini ada suka, ada duka. Berita pembangunan seperti itu
boleh juga menjadi backfire atau makan tuan jika tidak ditangani dengan betul.
Terutama jika rakyatnya akan menghadapi pilihan raya. Jika kerajaan itu kuat
dan perkasa, dan rakyatnya mempunyai perkapita yang tinggi mungkin tidak
menjadi masalah, tapi jika tidak...?
Rakyat
sebenarnya gelisah dengan berita seumpama ini. Saya masih teringat apabila
kerajaan menaikkan harga petrol sebanyak 78 sen daripada RM1.92 kepada RM2.70
pada Jun 2008. Saya kebetulan berada dalam sidang akhbar itu. Kami semua
‘terkejut beruk’ kerana naiknya terlalu tinggi.
Apa
sekalipun, kita sudah lupa itu semua. Setiap hari kita mesti mengisi minyak
untuk menghidupkan kenderaan masing-masing. Hidup harus diteruskan. Wang harus
dicari bagi menampung keperluan termasuk membayar tol, isi minyak dan membaiki
rim yang bengkok!
No comments:
Post a Comment