Dunia guru tidak
menjanjikan kemewahan dan kesenangan hidup. Namun apa yang diperolehi
oleh seorang guru ialah mendapat ganjaran yang baik oleh Allah S.W.T,
jika segala ilmu yang diberikan oleh guru adalah dari hatinya yang
ikhlas.
Kepayahan menjadi seorang guru adalah kepayahan
untuk membentuk jiwa insan yang dapat menggunakan ilmunya ke arah
kebaikan. Kadangkala terdetik di fikiran saya apakah perasaan seorang
guru jika melihat anak muridnya menjadi penjenayah, perasuah, sesat dalam
beragama dan lain-lain perkara negatif. Begitulah peritnya menjadi guru
kerana guru seharusnya mempunyai perasaan yang mendalam terhadap apa yang
telah disumbangkannya dan juga setiap kegagalannya dalam membentuk
insan.
Tidakkah seorang guru itu merasa sedih apabila melihat anak
muridnya gagal untuk menjalani kehidupan ini dengan sempurna, terpaksa
bersusah payah bekerja sehingga ke larut malam untuk menyara keluarga.
Jika tidak mahu keadaan ini terjadi , seorang guru haruslah berusaha
bersungguh-sungguh dan penuh iltizam untuk memastikan bahawa tidak ada
seorang pun pelajarnya gagal dalam pelajarannya dan juga memastikan
bahawa tahap akademik sahaja masih tidak mencukupi untuk seorang pelajar
mengharungi kehidupan ini.
Di sinilah peranan seorang guru dengan
memberi nasihat dan teguran kepada pelajarnya. Jiwa yang besar harus disuntik kepada setiap pelajar untuk menjadikan mereka tidak mudah patah
semangat dan sentiasa berusaha untuk mencapai kejayaan.
No comments:
Post a Comment