Followers

Friday, January 7, 2011

PMR SMKA Wataniah Sangat Cemerlang

Salam Ukhuwwah.




Tahniah. Akhbar Berita Harian pada 6 Januari 2011 memuatkan satu sisipan khas terbitan Kerajaan Negeri Terengganu atas kejayaan cemerlang pelajar seluruh negeri.

Seramai 24 pelajar SMKA Wataniah yang mendapat 9A termuat dalamnya. Sekalipun begitu, ramai lagi yang cemerlang iaitu 8A : 20 orang, 7A : 25 orang, 6A : 20 orang, 5A : 21 orang, 4A : 20 orang, 3A : 6 orang, 2A : 5 orang, 1A : 7 orang dan 0A : 1 orang.

Gred Purata sekolah : 1.47 dan Peratus Lulus Semua Mata Pelajaran ( LSMP ) : 97.00 %.

SMKA Wataniah Terbilang Tahun 2015.

Thursday, January 6, 2011

Alahai Pandainya Dia..........

Salam Ukhuwwah.

" Hisshh! Tak payahlah belajar lagi. Saya umur macam awak ni dulu, ada anak dua orang dah. Belajar buat benda apa gok tua-tua ni. Asalkan ada kerja buat, padan dah ".

Itulah kata-kata perangsang yang saya terima dari seseorang. Peristiwa ini berlaku berbelas tahun dahulu di Pejabat Daerah Hulu Terengganu, Terengganu. Kisah benar ini berlaku bilamana saya ingin memohon masuk ke universiti. Menyambung pengajian peringkat ijazah. Iyalah. Mana memadai dengan gaji diploma.

Masa dulu-dulu, isi borang permohonan ke IPTA secara manual. Bukan online lagi. Borang permohonan pula mesti disahkan oleh pegawai pengurusan atau Kumpulan A. Saya ke Pejabat Daerah Hulu Terengganu untuk dapatkan tandatangan pegawai tersebut. Maklumlah, Kuala Berang merupakan bandar terdekat dengan kampungku. 

Sampai sahaja di pejabat tersebut, saya ke satu unit kerana banyak jabatan di situ. Lama menunggu. Kiranya hampir satu jam kerana pegawai ada tetamu katanya. Ramai juga pelajar-pelajar lain menunggu untuk tujuan yang sama. Tapi mereka semuanya lepasan SPM dan muda-muda lagi. Sedangkan aku pada usia 26 tahun baru ada timbul hasrat murni itu. Sudah tua tapi belum terlewat.

Tiba-tiba datang seseorang bertanyakan khabar dan tujuan. Saya sampaikan maksud dan tujuan datang ke pejabat. Ramahnya orang itu. Sangkaan saya pegawai besar di jabatan itu. 

Lalu terkeluarlah dari mulutnya , " Hisshh! Tak payahlah belajar lagi. Saya umur macam awak ni dulu, ada anak dua orang dah. Belajar buat benda apa gok tua-tua ni. Asalkan ada kerja buat, padan dah ".

Saya mempertahankan keinginan dan hasrat saya untuk sambung belajar lagi dengan macam-macam sebab dan alasan. Beliau tetap mengatakan tak perlu belajar lagi.

Entah macam mana terkeluar dari mulut ini soalan begini. " Encik ni kerja di jabatan ini, pegawai unit mana? ". Dia senyap dan terkedu seketika.

" Saya PAR je ". Dengan tersipu-sipu malu dan terus berlalu.

+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

Andainya aku mendengar nasihatnya pada hari itu, agaknya di mana aku pada hari ini. Aku pun berkata, " alahai pandainya dia............ ". Hebatnya bak motivator terbilang.

Dan PAR itu adalah Pembantu Am Rendah @ Budak Pejabat @ Peon.

Cerita ini bukan untuk menghinakan atau memperkecilkan sesiapa tapi perkongsian atas pengalaman diri.

Wednesday, January 5, 2011

Si Kaya Yang Kurus Si Miskin Yang Gemuk

Salam Ukhuwwah.

Hari ini adalah hari ketiga saya menghantar dan mengambil anak sulung ke dan dari sekolah. Wan Noor Fatihah Maisarah. Ditempatkan di Kelas 1 Cemerlang. 1C. Kelas terakhir kerana kata cikgunya, nama anak tercicir dan tiada dalam rekod pendaftaran. Tidak mengapalah, asalkan anak pandai menguasai ilmu dan berjaya dalam hidupnya.

Bukan itu cerita yang ingin saya paparkan dalam entri kali ini. Tapi ianya sebagai set induksi perencah cerita. Kisah sekolah rendah ini mengingatkan saya pada diri sendiri pada tahun 1982 dan 1983. Darjah 2 dan Darjah 3 di SK Bukit Perah, Ajil. Belajar pada sesi persekolahan petang. Setiap kali waktu rehat, saya akan ke perpustakaan sekolah mencari buku-buku untuk dibaca. Antara buku-bukunya ialah " Si Kaya Yang Kurus Si Miskin Yang Gemuk ".

Kisahnya begini, dalam sebuah kampung, tingggallah seorang kaya yang tersangat kaya. Tinggal bersama isteri dan dua anak. Malangnya, kesemua ahli keluarganya kurus kering melidi dan sering sakit. Sedangkan makanannya enak-enak. Pakaiannya mahal-mahal. Kenderaannya hebat-hebat. Tinggal pula dalam rumah besar.

Tinggal berjiran dan dipisahkan pagar rumahnya dengan satu keluarga yang sangat miskin. Isterinya seorang dan anaknya lapan. Makan pakainya tidak sempurna dan tinggal di rumah kecil lagi robek. Walhal begitu, tubuh badan mereka sihat dan gemuk pula. Hairan kan.

Sekalipun tinggal berjiran, Si Kaya tadi sangat kedekut sikapnya. Tiada juadah atau barangan bantuan yang pernah sampai ke rumah Si Miskin. Kehidupan Si Miskin menimbulkan rasa hairan pada tanggapan Si Kaya. Perkara ini membangkitkan kemarahan Si Kaya dan rasa tidak puas hati lalu Si Kaya membuat aduan kepada hakim. Setelah mendengar aduan Si Kaya, hakim yang bijaksini dan bijaksana itu membuat keputusan. " Esok aku akan memanggil Si Miskin pada jam 9.00 pagi dan kamu juga wajib hadir. Aku juga ingin mendengar jawapan Si Miskin. Tidak patut aku hanya menerima aduan kamu sedangkan aku masih lagi belum mendengar apa-apa jawapan dari Si Miskin. Tuduhan kamu perlu dibuktikan. Sila bawa saksi dan bukti-buktinya esok hari ".

Keesokkan harinya, Si Kaya dan Si Miskin beserta keluarga dan saksi masing-masing datang bertemu Hakim. Lalu Si Hakim pun meminta Si Kaya menyatakan apakah pertuduhannya terhadap Si Miskin. Kata Si Kaya ; " Wahai Tuan Hakim, Si Miskin ini orang baru di kampung ini. Hidupnya merempat dan menyusahkan kami sekeluarga. Rumahnya buruk lagi robek. Sakit mata kami memandang. Dia membina rumahnya ditepi pagar rumah kami kerana mereka ingin mencuri. Keluarga Si Miskin ini mencuri Tuan Hakim. Mereka mencuri bau masakan keluarga kami. Bau masakan untuk makanan keluarga saya telahpun habis dihidu oleh keluarga Si Miskin. Sedangkan kami hanya dapat memakan isi dan kuahnya sahaja. Bau masakan kami telah tiada lagi. Sebab itu badan mereka sihat dan gemuk-gemuk. Itu sahaja Tuan Hakim ".

Mana saksi-saksi yang menyokong Si Kaya, tanya Tuan Hakim. Lalu Si Leman Mulut Busuk mengangkat tangan sambil berkata, " Tuan Hakim, saya saksinya. Setiap kali waktu makan tengah hari saya seringkali melihat Si Miskin bersama ahli keluarganya makan tengah hari di serambi rumah mereka. Hanya nasi putih berlaukkan ikan masin dan kuah sayur pucuk ubi menjadi hidangan mereka. Akan tetapi jika isteri Si Kaya menggulai ayam, maka mereka mencuri menikmati baunya terlebih dahulu sambil mereka makan tengah hari. Mereka mencuri Tuan Hakim. Si Miskin dan keluarganya mesti dihukum ".

" Ohh! begitu ", kata Tuan Hakim. " Sekarang saya mahu mendengar jawapan dan pembelaan Si Miskin pula. " Begini Tuan Hakim. Benar Tuan Hakim. Kami orang miskin tapi kami tidak sejahat sebagaimana yang disangkakan. Kami tahu kami masih baru di kampung ini. Sungguhpun begitu, tanah dan rumah yang kami miliki adalah rumah kami. Kami bekerja sendiri untuk dapatkan wang untuk membeli. Kami tahu, kami miskin tapi tuduhan begitu terlalu berat untuk kami hadapi. Sukar untuk kami menerimanya. Si Kaya jangan menyangka semua orang miskin malas bekerja sebab itu mereka miskin. Alasan itu salah. Mereka tidak boleh menuduh kami sembarangan. Ahli keluarga kami sihat-sihat dan tidak berpenyakit mungkin kerana dalaman kami bersih. Kami tidak dengkikan orang. Kami tidak membenci dan busuk hati terhadap orang lain. Kami redha dengan rezeki yang ALlah berikan kepada kami. Saya mengakuinya Tuan Hakim. Bauan masakan dari rumah Si Kaya kami sekeluarga menghidunya. Ini kerana kami ada hidung. Mana mungkin dibina pagar atas udara untuk menghalang bauan masakan dari sampai ke rumah kami. Itu sahaja Tuan Hakim ".

" Saya faham dan jelas. Begini, saya melihat dalam kes ini, Si Miskin tidak bersalah.  Si Kaya sebenarnya yang bersalah. Si Kaya sepatutnya tidak busuk hati dan mudah menyangka buruk terhadap jirannya, Si Miskin. Dengan ini, saya sebagai Hakim menghukumkan bahawa Si Kaya mesti menghantar sepinggan lauk yang dimasaknya setiap hari kepada keluarga Si Miskin mengikut bilangan ahli keluarganya kerana kamu menyeksanya dengan bauan masakan lazat kamu sedangkan kamu tidak pernah menghantar ke rumahnya untuk dirasai oleh mereka. Kamu juga wahai Si Kaya, mulai hari ini, kamu hendaklah berada di masjid setiap waktu solat untuk Solat berjemaah ".

" Terima kasih Tuan Hakim. Saya menerima hukuman ini. Kini saya mulai sedar siapa saya sebenarnya. Saya banyak wang akan tetapi wang saya banyak dihabiskan untuk membeli ubat penyakit darah tinggi, kencing manis dan asma saya. Saya bertaubat Tuan Hakim. Kepada Si Miskin, saya minta maaf banyak-banyak atas segala yang telah berlaku . Maafkan saya ".

Panjang cerita saya ini. Itulah buku cerita yang selalu saya baca 29 tahun dahulu. Moga ianya jadi pengajaran buat kita semua.

Tunggu..... koleksi cerita saya selepas ini dengan tajuk " Pandainya Dia.......... " dan " Kerana Tidak Faham Bahasa Arab ".


Sampai jumpa lagi ya. Bye...

Friday, December 31, 2010

Kalau Semua Orang Pandai

Salam Ukhuwwah.

" Kalau semua orang pandai, cikgu pun tak boleh makan ikan, tak ada orang yang nak ke laut ( jadi nelayan ), tak ada orang yang nak menoreh getah dan tak ada pula orang yang nak tanam sayur. Cikgu pun tak boleh makan sayur. Tak apa lah cikgu, rezeki saya setakat tu. Lagipun saya tak lih gi ( tidak berjaya ) dalam SPM. Saya berjaya ikut cara lain ". 

Itulah luahan bekas pelajar saya di sekolah lama dahulu. Peristiwa ni berlaku dalam tahun 2007 di Pasar Kampung Raja, Besut, bilamana saya menyapa Arif ( bukan nama sebenar ). Seorang pelajar yang agak nakal tapi tidak jahat. Kurang berjaya dalam pelajaran sewaktu di alam persekolahan dulu. Mungkin kerana beliau dari latar belakang keluarga yang kurang menitikberatkan pendidikan. Juga dari taraf sosio ekonomi keluarga yang rendah.

Betul kata Arif. Jika semua orang pandai maka tiada pula orang yang bodoh. Jika semua orang bodoh, maka tiada pula yang pandai.

Sepanjang tempoh masa menjadi pendidik, saya berpendapat juga ingin berpandangan, pada saya, secara kebiasaannya pelajar yang pintar, cerdik akademik bilamana mereka berjaya. Mereka akan mengelak untuk bersua muka dengan gurunya ketika terserempak di jalanan. Tapi..... bagi pelajar yang nakal dan tidak pandai dalam pelajaran masa di alam persekolahan dulu, mereka bila berjumpa dan bertemu dengan guru mereka, dari jauh sudah memanggil nama guru-guru mereka untuk bertukar cerita dan bertemu mata. Mungkin telahan saya kurang tepat, tapi keadaan begini biasa saya temui dan berlaku kepada saya. Ada benarnya...

Jawapan Arif begitu kerana soalan yang dibangkitkan oleh saya. " Arif habis SPM dulu sambung belajar ke mana ?'. Bila Arif menjawab begitu, saya rasa saya sudah buat silap kerana melupai siapa Arif dulu. Dan pada masa itu. Arif sedang berniaga ikan.

Dan kebetulannya, saya pun memang nak beli ikan. Pada hari itu, ikan yang dibeli sedikit sahaja kerana saya cuma tinggal tiga beranak sahaja. Buat apa beli banyak-banyak. Ikan free yang banyak dibawa balik. Tak nak ambil, takut menghampakan Arif kerana menolak pemberiannya. Itupun setelah berkali-kali menolak pemberiannya. Ikan tenggiri besar seeokor. Agaknya beratnya tiga kilo. Kalau sekilo RM 20.00, kiralah berapa. Ada lagi ikan besar seekor dan ikan-ikan kecil lain.

" Ambillah cikgu ikan ni. Saya beri hadiah kepada cikgu. Jasa cikgu ajar dan jaga saya di asrama , saya tak dapat balas. Saya akan ingat sampai bila-bila ". Itulah kali pertama dan terakhir pergi beli ikan kat pasar tu. Seganlah takut dapat ikan free lagi. Bimbang berjumpa Arif lagi .

Saya mendoakan agar Arif berjaya dengan kerjayanya.

Friday, December 24, 2010

Makan Angin Bersama Pelajar SPM Ke Kuala Lumpur dan Melaka

Salam Ukhuwwah.
















Aktiviti selepas peperiksaan SPM. Kiranya lepas tensionlah. Kami ke Kuala Lumpur dan Melaka pada 20 hingga 24 Disember 2010. Di Kuala Lumpur, singgah Solat Subuh di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta. Kemudian ke Sunway Piramid. Asalnya nak ke Sunway Lagoon, tapi mahal sangat tiket masuk, RM 54.00 seorang. Mahal sangat. Putrajaya menjadi tempat persinggahan sebelum bertolak ke Melaka.

Melaka, kami round Banda Hilir, Zoo Melaka dan ke A Famosa Water World. Seronok jugalah main air. Tiket RM 27.00 je. Ok lah tu. 

Penyertaan majoriti dari Tingkatan 5 Ibnu Rusyd. 35 pelajar dan 3 guru. Kiranya........... inilah aktiviti terakhir mereka sebelum meninggalkan SMKA Wataniah. Lepas ni, akan bergelar X-SMKAWA. Tahniah dan terima kasih buat semua.

Saturday, December 11, 2010

10 Tabiat Rosakkan Otak


1. Tidak mengambil sarapan pagi

• Apabila seseorang tidak mengambil sarapan pagi, paras gula dalam darah akan menjadi rendah. Ini akan mengakibatkan kekurangan bekalan nutrisi pada otak dan menjadikannya kurang aktif.

2. Terlebih makan

• Ia akan membebankan pembuluh darah otak dan mengurangkan kuasa mental otak.

3. Perokok

• Asap rokok akan mengakibatkan sel-sel otak terjejas atau terbakar dan boleh mengakibatkan penyakit ‘Alzheimer’.

4. Penggunaan gula yang berlebihan

• Pengambilan gula secara berlebihan akan mengganggu penyerapan protein dan nutrisi. Selain daripada itu, ia akan mengganggu perkembangan otak yang sihat.

5. Pencemaran udara

• Otak adalah pengguna oksigen terbesar dalam badan manusia. Pencemaran udara boleh menyebabkan pengurangan bekalan oksigen ke otak dan keaktifan otak.

6. Terlebih tidur

• Tidur adalah bagus untuk merehatkan otak tetapi masa tidur yang panjang boleh mengakibatkan sel-sel otak kita mati.

7. Menutup muka ketika tidur

• Tidur sambil menutup muka akan mengakibatkan otak menerima lebih banyak karbon dioksida berbanding oksigen dan ini akan membawa kerosakan kepada otak.

8. Membiarkan otak bekerja semasa kita berada di dalam keadaan kurang sihat

• Bekerja semasa anda kurang sihat boleh mengurangkan keberkesanan otak dan juga membawa kerosakan kepada sel-sel otak.

9. Kurang berimiginasi
• Berfikir adalah satu cara terbaik untuk melatih otak kita. Kurangnya berimiginasi boleh menyebabkan tahap kecerdasan/keaktifan otak menurun.

10. Jarang berfikir
• Jarang berfikir akan menyebabkan otak kita kurang aktif. Oleh itu, perbincangan yang membina boleh menambah keberkesanan kecerdasan otak kita.

Thursday, December 2, 2010

Jumpa di Majlis Reunion X-Syariah KUSZA Batch 1997-2000

Salam Ukhuwwah.


Esok adalah pertemuan bersama rakan-rakan sekelas sewaktu mengikuti pengajian peringkat Diploma di Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin ( KUSZA ) dalam Diploma Pengajian Islam (Syariah).

4 Disember 2010. Jam 11.00 pagi bertempat di Sumai Hotel, Batu Buruk, Kuala Terengganu. InsyaAllah, sebagaimana dirancangkan, tiga tenaga pengajar telah memberikan persetujuan awal untuk hadir bersama isteri masing-masing. Terima kasih buat Ustaz Haji Wan Abdullah bin Wan Salleh, Ustaz Mohamad bin Embong dan Ustaz Mohamad Ali. Ustaz Abdul Halim bin Awang, kini Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Terengganu, yang pernah menjadi penyelia tesis saya tidak dapat menghadirkan diri kerana punyai komitmen lain.

Rasa terhutang budi buat rakan, Ustazah Noorhayati Muhammad, Ustaz Rostam dan Cikgu Haslizani ( Sarjan ) atas komitmen antum, susah payah mengatur, akhirnya program ini dapat diatur dengan baik. InsyaALlah jumpa esok.

Bersama kita memeriahkan majlis esok. Setelah 10 tahun berlalu, kini kita bertemu. Datang bersama suami/isteri, anak-anak dan keluarga masing-masing.

Semoga Allah memberkati majlis ini dan memberikan keselamatan perjalanan pergi dan balik. Amin...

Tuesday, November 23, 2010

Selamat Berjuang Buat Semua Anak Didik SPM

Salam Ukhuwwah.

Saya doakan SEMUA pelajar SPM tahun 2010 seramai 145 orang dapat menjawab peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bermula hari ini, 23 November hingga 20 Disember 2010 dengan baik dan tenang. Juga doa dan harapannya antum akan mendapat keputusan terbaik dan cemerlang. Insyaallah.

Jagalah kesihatan dan keselamatan diri. Berdoalah sentiasa. Ingat Allah sentiasa. Mulakan menjawab dengan Bismillah dan kesudahannya dengan Alhamdulillah.

Fasilitator Kem Bahasa Melayu Sekolah-sekolah Menengah Peringkat Negeri Terengganu 2010

Salam Ukhuwwah.

Alhamdulillah. Sempurna sudah satu amanah yang diberikan oleh Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu. Dua jam mengendalikan slot Ice Breaking. Program anjuran Unit Ko-Akademik, Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu. Program diadakan pada 22 November 2010. Jam 8.30 hingga 10.30 malam. Tempatnya di Demong Beach Resort, Bukit Keluang, Besut. Peserta dari seluruh Negeri Terengganu seramai 45 orang. Terpilih dari kalangan pelajar terbaik PMR peringkat negeri. Mereka akan berkursus mulai 22 hingga 25 November 2010.

Senang dan mudahnya mendidik pelajar pandai. Mereka mudah faham dan senang ikut apa yang diajar. Kuat penumpuan mereka. Segalanya mudah. Terima kasih.



Raya Haji Di Kampung. Meriahnya

Salam Ukhuwwah.


Program Lawatan Bermaklumat Pelajar Tingkatan 3 Ke Taman Tamadun Islam

Salam Ukhuwwah.

Program Selepas PMR ini telah dirancang lama iaitu pada 3 November 2010. Tapi malangnya, ianya terpaksa ditangguhkan ke tarikh 15 November 2010, Isnin, hari terakhir persekolahan bagi tahun 2010 ini. Penangguhan ini kerana bas terpaksa diberikan kepada team SMKAWA yang menyertai Program Pasca PMR anjuran PPD Besut tempohari. Disertai oleh 38 pelajar dengan 16 lelaki dan 22 perempuan.



Dua Majlis Penting Program Kecemerlangan SPM Dalam Sehari

Salam Ukhuwwah.

14 November 2010. Ahad. Jam 11.00 pagi hingga 2.15 petang. Majlis Izin Ilmu Pelajar SPM Tahun 2010. Kami guru SMKAWA mengizinkan dan redha atas apa yang kami ajar dan didik sejak dan selama mana kamu berada di SMKAWA sehingga bila-bila lah. Senang cerita. Tahniah buat semua.





14 November 2010. Ahad. Jam 6.45 petang hingga 10.30 malam. Majlis Solat Hajat Perdana Pelajar SPM SMKA Wataniah Tahun 2010. Tahniah buat Cikgu Rashid kerana membawa datang seorang penceramah hebat, Al-Fadhil Ustaz Mohd Khairul Ikhwan bin Mohd Zaki. Awalnya, runsing juga takut kalau ibu bapa pulang awal selepas solat hajat. Tapi kehadiran penceramah mampu menceriakan keadaan dengan penyampaian terhebat. Lain kali boleh jemput lagi untuk program keagamaan. Rugi siapa yang tidak hadir ke program ini. Terima kasih buat YB Nawi bin Mohamad, ADUN Hulu Besut, semua AJK PIBG dan ibu bapa yang hadir.