Followers

Tuesday, April 30, 2013

Selamat Hari Pekerja...1 Mei 2013




Berjuanglah,
Sehingga malas itu malas dengan kamu,
Sehingga letih itu letih dengan kamu,
Sehingga penat itu penat dengan kamu..

Ketahuilah bahawa setiap zarah pengorbanan kita di atas jalan dakwah tarbiyah ini,
Dikira sebagai amalan kebaikan di sisi-Nya nanti,
Maka di manakah rugi?

Jangan disangka bahawa Allah tidak memandang kita ini,
Sesungguhnya Dialah Yang Maha Melihat,
Maha Mendengar,
Maha Adil,
dan tidak akan sesekali menzalimi..

Derap langkah yang menggegar,
Kita gegar jahiliyyah hingga menggeletar,
Biar kita berjuang penuh tegar,
Hingga jahiliyyah menjadi gentar..

Apa gunanya hidup sebagai Muslim,
Tetapi tidak menyebarkan Islam,
Apa guna dicaci agenda Kristianisasi,
Jika Muslim tidak menggerakkan agenda Ilahi bermula dari diri sendiri?

Maka hiduplah sebagai hamba,
Diri ini Ilahi punya,
Taat perintah-Nya jauhi larangan-Nya,
Kita duta-duta buat agama-Nya..

Berjuanglah,
Sehingga kegagalan itu gagal dengan kamu,
Sehingga kekalahan itu kalah dengan kamu,
Sehingga kemenangan pula menjadi milikmu...

Friday, March 22, 2013

Info Terkini SPM Tahun 2013

Salam Ukhuwwah.

Semakan dan Kemaskini Terakhir Untuk Paparan Ini Dibuat Pada 16 April 2013, Selasa, Jam 09.00 malam. 



Hari ini, 21 Mac 2013, keputusan telahpun diketahui. Tahniah saya ucapkan kepada semua. Ada yang berjaya dengan cemerlang. Tahniah buat 8 orang pelajar yang memperolehi keputusan semua A dalam mata pelajaran yang diambil. Yang tidak mendapat kejayaan cemerlang hari ini, insyaAllah kejayaan anda akan menyusul nanti pada peringkat akademik yang berbeza. Mungkin akan berjaya seperti Normadia binti Manaf. Pelajar STPM terbaik negara. Beliau juga bersekolah di SMKA Wataniah dua tahun lalu. Tahniah...

Saya perincikan di sini agenda perjalanan kita buat masa seketika yang ada. Saya aturkan begini. Untuk semua tanpa diskriminasi. Cuma saya minta anda datang awal seawal kita bermula acara pada jam 9.00 pagi. Saya paling tidak suka orang datang lambat. Biasanya, sesiapa yang lambat, dia cuai, dia leka, dia tidak ambil berat dan biasa ambil mudah. Untuk kali ini kita fikirkan tentang masa depan kita yang bermula di peringkat SPM kerana SPM itu adalah Sijil Penentu Masa depan kita.

1. Jadual Pertemuan Kita

(1). 22 Mac 2013, Jumaat, Jam 9.00 pagi hingga 12.00 tengah hari.
(2). 24 Mac 2013. Ahad, Jam 9.00 pagi hingga 12.30 tengah hari.
Berlarutan hingga jam 3.00 petang hari ini. Alhamdulillah. saya tiada darah tinggi.
(3). 25 Mac 2013. Isnin, Jam 9.00 pagi hingga 12.00 tengah hari.
Berlarutan hingga jam 2.00 petang hari ini.
  
Semua acara bertempat di Dewan Haji Abdul Latif, SMKA Wataniah.


Pastikan anda membawa buku ini. (rujuk dibawah). 



Juga pastikan bawa alat tulis, buku catatan dan SLIP PERIKSA.



Saya sangat mengharapkan anda 
1). Membuat pengiraan markah anda berdasarkan meritokrasi terlebih dahulu.
2). Menyenaraikan 8 kursus pilihan berdasarkan minat dan kelayakan anda. Maksud saya 
     pencapaian bilangan A melalui keputusan.
(Sila rujuk muka surat akhir dan dua akhir Buku Panduan tersebut ).

Perlu diingatkan, saya minta anda senaraikan 8 pilihan berdasarkan minat, kelayakan, pilihan dan kehendak ibu bapa anda melalui perbincangan yang dibuat dengan mereka terlebih dahulu.

Saya paling pantang dan tidak suka pelajar yang datang membawa borang kosong dan minta saya senaraikan. Ayat biasanya berbunyi begini, "Cikgu tolong isikanlah untuk saya. Saya pun tak tahu minat saya apa dan minat untuk belajar dalam bidang apa". Itu ayat paling biasa. Tindakan itu seolah-olah meletak pisau di leher saya dan menyembelih saya. Bahaya kalau saya buat begitu. Nantilah saya akan terangkan sebab apa bila kita berjumpa nanti.

Saya perhatikan ada pelajar yang tidak tahu menilai erti pengorbanan diri berdasarkan keutamaan dan keperluan mendesak untuk masa depan. Bila dijemput untuk datang, ada yang berkata "Cikgu, boleh ke kalau saya tak nak mari". Apa lah yang saya boleh buat kalau anda tidak mahu datang. Tapi yang berfikiran matang, mereka ada berkata begini, "Terima kasih Cikgu sebab buat program ini untuk bimbing saya masuk U. Saya tahu Cikgu sepatutnya balik kampung". Baguslah kalau bersangka begitu walaupun hakikat sebenarnya saya sudah kenaling ketar kepala lutut sebab tesis saya belum siap dan laporan internship belum sudah. Tempoh masanya adalah 31 Mac 2013 ini. Itulah pengorbanan saya untuk anda.

Saya letakkan masa pertemuan tiga hari dan tiga kali. Lama tu masanya. Tak usahlah menelefon saya. Datanglah ke sekolah bertanyakan soalan itu. Simpan soalan-soalan anda untuk ditanyakan esok.

Saya mengajak anda merujuk kepada sumber ini. 

1). Laman web Jom Masuk U sebagai rujukan utama anda bagi mengemukakan Permohonan Kemasukan Ke IPTA / Politeknik Premier Sesi Akademik 2013/2014 Program Pengajian Lepasan SPM/Setaraf.


2). Laman mengemukakan permohonan anda. Masih dengan Jom Masuk U.

3). e-Panduan Permohonan Kemasukan ke IPTA.
https://online.mohe.gov.my/upu/emas/index_epanduan.php?pagefunc=epanduan

4). Senarai program/kursus yang ditawarkan.
https://online.mohe.gov.my/upu/emas/index_kod.php?pagefunc=epanduanKod&carian1=

5). Syarat khas program kemasukan ke IPTA.

https://online.mohe.gov.my/upu/emas/index_syarat.php


‎6). Sistem Semakan Syarat Kelayakan Program IPTA.


Sistem Semakan Syarat Khas Program ke IPTA (i-MAS-C-U) boleh digunakan untuk membuat semakan syarat bagi program yang ditawarkan pada semua IPTA di Malaysia.
Semakan boleh dibuat untuk program Asasi, Diploma dan Ijazah Sarjana Muda bagi Lepasan SPM 

7). e-Panduan Permohonan Kemasukan ke TEVT(Politeknik) & ILKA
https://online.mohe.gov.my/upu/vteilka/fepanduan/index.php?pagefunc=epanduan


Saya cuma dapat membimbing sekadar termampu. Itupun kalau ada yang sudi menerima. Secara ringkasnya, anda yang akan buat keputusan. Bincanglah dengan ibu bapa / penjaga anda. Jangan mudah menerima maklumat yang salah. Nanti akan tersalah dan terpesong.

Di sini, saya cadangkan untuk pemilihan dan membuat keputusan kepada Pendidikan Lanjutan Selepas SPM anda, telitilah dan buatlah permohonan sama ada secara online atau manual sebanyaknya. Nanti..... bila dah dapat, maka dapatlah kita buat pilihan mana yang terbaik.

Saya cadangkan juga, selain 
PERMOHONAN KEMASUKAN KE IPTA BAGI LEPASAN SPM / SETARAF AMBILAN JUN 2013 melalui Kementerian Pengajian Tinggi atau ringkasnya melalui BPKP,  Matrikulasi atau Kursus Perguruan Lepas SPM ( KPLSPM ), mohonlah juga kolej-kolej kerajaan negeri atau institusi teknikal berkaitan. 


Sebolehnya, cuba elakkan ke institusi swasta kerana saya percaya, pelajar SMKA Wataniah adalah dalam kalangan pelajar yang hebat.



Bagi yang meminati bidang Pendidikan, Pengajian Islam atau selainnya, mohonlah ke :-

1. Info Permohonan Kursus Perguruan Lepasan SPM ( KPLSPM 2013 ).

(Permohonan boleh dibuat mulai 22 Mac 2013 hingga 5 April 2013).


2. Permohonan kemasukan ke Institusi Pendidikan MARA (IPMa)
http://apponline.mara.gov.my/upimonline/PilihanPermohonan.aspx


3. Permohonan kemasukan ke Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah.


4. Permohonan kemasukan ke Kolej Universiti Insaniah Negeri Kedah.
http://www.insaniah.edu.my/main/


5. Permohonan kemasukan ke Kolej Pengajian Islam Johor (MARSAH) Negeri Johor.
 

7. Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor ( KUIS ) Negeri Selangor


8. Kolej Universiti Islam Melaka ( KUIM ) Melaka


9. Bagi pelajar Tingkatan 5 Ibnu Khaldun ( Reka Cipta ) atau pelajar Aliran Sains, saya cadangkan anda juga mohon masuk ke Kolej Universiti TATI ( TATiUC ). Sebuah kolej universiti  bawah Kerajaan Negeri Terengganu.


Klik :


10. Permohonan ke Program Diploma di Universiti Selangor (UNISEL). Bagi yang berminat untuk menjadi Guru Agama/Ustaz atau Ustazah, anda boleh mengemukakan permohonan dalam bidang Diploma Pendidikan (Pengajian Islam).

http://apply.unisel.edu.my/


11. Permohonan Mengikuti Pengajian di Institusi Pengajian Tinggi di Timur Tengah dalam Bidang Perubatan & Pengajian Islam di Mesir, Jordan dan Morocco.




12. Program Pra-Diploma Mengubah Destini Anak Bangsa (MDAB) Kepada Pelajar

Saya cadangkan kepada pelajar yang result SPMnya terlalu rendah. Contoh, dapat 2A dan ke bawah. Cuba mohon program pengajian ini. Setelah dilengkapkan borang, pastikan borang dihantar ke UiTM terdekat. Labelkan sudut atas kiri sampul surat dengan "PROGRAM MENGUBAH DESTINI ANAK BANGSA". Mohon dengan kadar segera.

Baca dan Muat Turun Borang



13. Bagi pelajar yang sudah tidak berminat lagi UNTUK MENERUSKAN PEMBELAJARAN dan PUNYAI KEINGINAN UNTUK BEKERJA, silalah buat permohonan secara online ke :-




14. Diploma Kejururawatan Selama 3 Tahun di Universiti Sains Malaysia (USM)




15. SPM Principles of Accounting Double Certification


Tajaan dan Biasiswa

Saya cadangkan pelajar yang cemerlang tetapi tidak mencapai tahap kecemerlangan sebenar, contohnya 8A+ dan ke atas dan berminat untuk dapatkan tajaan biasiswa. Cuba jengukkan diri ke Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera.

http://www.penerajuedu.com/Peneraju-Tunas-Potensi-BM.php


Pengenalan Kepada Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera
Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera merupakan satu inisiatif di bawah Hala Tuju Ekonomi Bumiputera yang dilancarkan oleh TERAJU di bawah Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri yang bertumpu untuk mengukuhkan pembinaan keupayaan Bumiputera secara sejagat dan berterusan. Antara objektif Yayasan ini termasuk meningkatkan kualiti, kuantiti dan keberkesanan bakat-bakat Bumiputera sejajar dengan usaha Kerajaan dalam menaiktaraf Malaysia ke arah negara berpendapatan tinggi melalui pendidikan akademik dan juga vokasional. Tugas Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera adalah untuk memastikan bahawa keupayaan dan kepakaran bakat-bakat Bumiputera akan terus membangun untuk berdaya saing secara kompetitif di peringkat global.
Misi
  • Menyediakan peluang pendidikan berkualiti kepada Bumiputera
  • Mendidik dan membangun bakat Bumiputera ke potensi tertinggi
  • Menjalin usahasama dan melengkapi pihak yang berkepentingan dalam mencapai agenda Bumiputera
  • Transformasi keupayaan Bumiputera ke arah pekerjaan yang menjana pendapatan tinggi
Kumpulan Sasaran
  • Bakat-bakat Bumiputera berpotensi tinggi
  • Golongan yang dari kelompok 40% ke bawah (yang akan dipertimbangkan untuk bidang bukan akademik)
  • Golongan yang memerlukan peluang kedua
  • Golongan yang dari persekitaran yang mencabar
Tarikh tutup tujuh (7) hari selepas SPM diumumkan



2. Tajaan Biasiswa Yayasan Khazanah


3. Biasiswa Yayasan Tenaga Nasional 2013



4. Program Pinjaman Pelajaran MARA



5. Permohonan Tajaan JPA Tahun 2013 Kepada Pelajar Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia 2012 Di Bawah Program Khas (Jerman, Perancis, Jepun Dan Korea).
Permohonan ini dibuka mulai 23 Mac 2013 .

http://esilav2.jpa.gov.my/




6.  Biasiswa Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin Bagi Sesi Pengajian 2013/2014 - Yayasan Terengganu


7. Permohonan Hadiah Kecemerlangan  Yayasan Terengganu 2013 bagi pelajar kelulusan SPM 2012

Borang-borang yang telah lengkap dan sempurna diisi hendaklah dikembalikan ke Pejabat Yayasan Terengganu selepas  keputusan  peperiksaan  diumumkan  atau  tidaklewat 4 April 2013.


8. Program Biasiswa Pendidikan PETRONAS
PETRONAS sekali lagi menawarkan penajaan pendidikan peringkat universiti kepada calon-calon SPM 2012 di dalam bidang-bidang khusus berkaitan industri minyak dan gas di Universiti Teknologi PETRONAS dan universiti-universiti luar negara.
Permohonan dipelawa daripada calon-calon yang memiliki latarbelakang pencapaian akademik yang cemerlang di samping mempunyai sifat kepimpinan yang terbukti melalui penglibatan aktif di dalam aktiviti-aktiviti kokurikulum, sosial serta kesukarelawanan.
 Sila layari :




Pelajar SPM boleh memohon Jawatan Kosong yang ada mengikut keperluan.


10. Dasar Penajaan JPA Bagi Tahun 2013

Sukacita Dimaklumkan, Bahawa Dasar Penajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Bagi Tahun 2012 Akan Diumumkan Mulai 9 April 2012 Melalui Laman Web Jabatan Ini. Sebarang Maklum Balas Berkaitan, Sila Hubungi Talian 03-8885 3704 Atau Layari Laman Web eSilav2 Bagi Mendapatkan Maklumat Selanjutnya. http://esilav2.jpa.gov.my/


11. Scholarships


Laman Web penuh dengan maklumat lengkap tajaan / biasiswa pelajaran.



12. Portal Rasmi Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Cuba rujuk di link/capaian web ini untuk ikuti perkembangan tentang tajaan/biasiswa MARA mulai awal bulan April nanti.




Selamat Berjaya.

Saya doakan kejayaan sentiasa berpihak kepada anda, pelajar SMKA Wataniah.
SMKA Wataniah Terbilang Ke Arah Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT)

Thursday, March 21, 2013

SPM Tahun 2012 SMKA Wataniah Terbaik

Tahniah dan Syabas. Pelajar Straight A's SPM SMKA Wataniah tahun 2012. Antum memang hebat.

Dari atas kiri ke kanan. 

Nabihah binti Ramli (7A+,3A,1A-), Nur Syafiqah binti Romeli (6A+,2A,3A-), 
Farah Farzana binti Abdullah (5A+,3A,3A-), Zakuan bin Abdul Ghani (5A+,5A,1A-), 
Nurul Athirah binti Muhd Zani (4A+,3A,4A-), Noor Aliffa Rasheeda binti Nazmi (3A+,6A,2A-), Siti Nursharifah Hafizah binti Manzolkifli (3A+,5A,3A-) & Ainur Awanis binti Mohd Badiazaman (2A+,6A,3A-)





Wednesday, December 19, 2012

Kecemerlangan Berterusan PMR SMKA Wataniah Tahun 2012


Salam Ukhuwwah.


Saya mulakan tulisan ini menyebut Alhamdulillah atas pencapaian ini. Tahniah dan Terima Kasih kepada semua pendidik kerana telah sehabis daya memberikan tunjuk ajar sehinggakan membuahkan kecemerlangan ini. Syabas diucapkan buat semua pelajar PMR SMKA Wataniah Tahun 2012. Antum teruskan kecemerlangan berterusan dengan pencapaian terhebat sebegini.

Rumusannya begini :
9A - 24 orang
8A - 32 orang
7A - 54 orang
6A - 18 orang
5A - 16 orang
4A - 18 orang
3A - 10 orang
2A - 7 orang
1A - 1 orang
0A - tiada






Paparan menarik sekitar program dapat disaksikan di sini. Tapi sebelum itu, saya hanya paparkan gambar yang "menjadi" sahaja. Yang lain... tidak memberikan kerjasama untuk bergambar.

Terima Kasih Semua

Monday, November 19, 2012

Paparan Disatukan


Salam Ukhuwwah.

Saya mulakan tuturkata bicara kali ini dengan kalimah AlhamduliLlah. Lama sungguh tidak saya pedulikan ruang ini. Saya hanya ada sedikit masa dan yang sedikit itu saya terpaksa agih-agihkan dengan pengisian bermanfaat untuk diri dan perjalanan saya yang masih jauh (jika Allah izinkan). Hanya Allah yang Maha Berkuasa atas segala  ketentuan sekalipun perjalanan kita disekat, dihalang tapi... jika Allah tidak mengizinkan, maka ianya tak akan menjadi. Jauh sekali saya mengelamun ya...

Hari ini keputusan UPSR dah diumumkan. Agak kecewa juga bila Negeri Terengganu dah jatuh tempat ke nombor 3. Tahniah Kelantan dan Selangor. Johan dan naib johan kecemerlangan UPSR negara bagi tahun 2012. Ada yang mengandaikan pelbagai alasan sebab apa jatuh. Ramai yang berkata kerana e-book dan net book. Saya tidak tahu dan tidak mahu mengandaikan begitu. Lagipun result tahun ini lewat dua minggu dari biasa. Kebiasaannya akan diumumkan pada hari akhir persekolahan. Pelik sangat-sangat kali ini. Banyak komentar dalam FB. Saya tak nak panjangkan tapi tunggulah ulasan dalam surat khabar esok.

Ok.... ayuh kita saksikan aktiviti yang berlalu tapi cuba saya kumpul dan satukan dalam ruangan ini. Untuk penelitian. Mungkin juga untuk rujukan. Atau mungkin untuk lepaskan kerinduan. Ya...... rasa rindu kepada SMKA Wataniah. Itulah luahan yang banyak saya terima melalui SMS, Message, FB dan lisan. "Kami dari jauh ni, (maksud saya oversea lah), kalau nak tahu apa-apa perkembangan tentang SMKA Wataniah, mesti akan tengok blog cikgu. Tapi kenapa lama sudah tidak diupdate?". Terima kasih kerana memanfaatkan blog ini.....

Saya mulakan dengan.....

1. 20 September 2012 ( Khamis ) - Program Sayang Disayang Pra-Peperiksaan Awam.
Program ini dianjurkan khusus oleh Program Kecemerlangan Pra-Peperiksaan yang diketuai oleh Ustaz Kasim bin Awang selaku Pengurus Program yang juga GKMP Pendidikan Islam & Bahasa Arab. Khusus untuk mempertemukan warga pendidik dengan penjaga pelajar Tingkatan 1, 2 & 4.



2. 23 September 2012 ( Ahad ) - Majlis Penyampaian Net Book 1Malaysia.
Anjuran Pejabat Pelajaran Daerah Besut. Diadakan di Dewan Terbuka Pusat Khidmat ADUN Hulu Besut. Jam 2.00 hingga 4.30 petang. SMKA Wataniah menghantar pelajar terpilih seramai hampir 150 orang. (Maafkan saya.... saya terlupa bilangan tepat berapakah bilangannya). Tahniah bagi pelajar yang dapat. Katanya nilai sebuah Net Book 1Malaysia ini adalah 1k.


3. 1 Oktober 2012 ( Isnin ) - Majlis Jamuan Tahunan Badan Pengawas Sekolah.
Acara tahunan. Makanan sedap dan terima kasih kepada penganjur kerana sudi jemput saya hadir. Dipenuhi dengan penyampaian hadiah dan penghargaan. Tahniah....





4. 7 Oktober 2012 ( Ahad ) - Kunjungi Karnival Keusahawanan dan Kemahiran MARA 2012.
SMKA Wataniah diundang menyertai program ini yang diadakan di IKM Besut, Alor Lintang. Kami hadir bersama 40 pelajar Tingkatan 4. Satu hari penuh dengan informasi dan pengalaman. Bimbingan untuk kerjaya pilihan masa depan. Terima kasih.



5. 11 Oktober 2012 ( Khamis ) - Penggambaran Adik Nurussyahamah Taqiah oleh JAKIM.
Penggambaran dibuat sekitar kawasan sekolah. Antara lokasi pilihan ialah di Bilik Unit Bimbingan dan Kaunseling dan Bilik KKQ dan lain-lain. Beliau merupakan Juara Program Realiti TV Adik-Adikku Musim Ketiga JAKIM dan RTM Tahun 2012 dan menggondol tempat ketiga Pertandingan Tilawah Al-Quran Kanak-kanak Peringkat Antarabangsa Doha, Qatar Tahun 2011.



6. 16 Oktober 2012 ( Selasa ) - Hari Tamat Peperiksaan PMR.
Tahniah... Dah berakhir peperiksaan. Semoga memperolehi 9A semasa result diumumkan pada penghujung Disember nanti. InsyaAllah...



7. 22 Oktober 2012 ( Isnin ) - Majlis Graduasi SMKA Wataniah Kali Ke-4 Tahun 2012.
Tahniah buat 138 pelajar SPM tahun ini. Selamat Bergraduasi. Semoga dapat universiti belaka tahun depan. Amin... Tetamu Khas ialah Yang Berbahagia Tuan Haji Wahid bin Setia, Timbalan Pengarah Pengurusan Institusi Pendidikan Agama, Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pelajaran Malaysia.





8. 31 Oktober 2012 ( Rabu ) - Mesyuarat Jawatankuasa Operasi Payung SMKA Wataniah Tahun 2012.
Kami bermesyuarat untuk persediaan kemungkinan berlaku sebarang kemungkinan semasa peperiksaan SPM tahun 2012 ini berlangsung. Dipengerusikan oleh YB Haji Nawi Mohamad, YDP PIBG SMKA Wataniah. Dihadiri oleh AJK PIBG, wakil Polis, wakil JPAM dan wakil Pejabat Kesihatan Daerah Besut, guru, pemimpin masyarakat setempat dan kakitangan sekolah.




9. 4 November 2012 ( Ahad ) - Majlis Izin Ilmu Pelajar SPM Tahun 2012.
Kami merestui segala ilmu kami. Kami maafkan segala terkhilaf lalu. Semoga kalian lulus cemerlang.



10. 7 November 2012 ( Rabu ) - Majlis Penutup Program Pasca PMR SMKA Wataniah Tahun 2012.
Program ini bermula sejak 16 Oktober 2012 seusai peperiksaan tamat. Kehadiran dan sambutan penyertaan yang sangat menggalakkan. Banyak pertandingan berlangsung. Hadiah juga banyak. Tahniah. Jumpa lagi di Tingkatan 4 awal Januari nanti. Sebelum tu, kita juga akan bersama menunggu keputusan PMR. Semoga berjaya.



11. 8 November 2012 ( Khamis ) - Hari Akhir Persekolahan Tahun 2012.
Selamat bercuti mulai 9 November 2012 hingga 31 Disember 2012.Taklimat dari pihak pengurusan sekolah. Nampak tu, Cikgu Wahed begitu semangat berpesan kepada anak-anak agar sentiasa beringat dan berwaspada sepanjang cuti akhir tahun persekolahan ini.



12. 8 November 2012 ( Khamis ) - Penyampaian Bantuan KWAPM.
Tahniah buat yang dapat bantuan ini. Besar nilainya RM300.00 seorang. Ramai juga yang dapat tapi angkanya tak perlulah diberitahu. Semuanya dari Tingkatan 1. Nak kawal anak-anak Tingkatan 1 ni tak lah sukar sangat kerana masih kecil dan acara bahagi pitis pula. Lagi lah senang. Semua orang akan berdisiplin kerana "Wang Adalah Sumber Motivasi Terbaik Dalam Hidup Kita".



13. 8 November 2012 ( Khamis ) - Jamuan Akhir Tahun Kelab Warga SMKA Wataniah.
Restoren Gemilang Kampung Raja lokasinya. Masa jam 12.30 hingga 3.00 petang. Makanan sedap juga. Berselera makan hari tu. Semoga majlis sebegini mampu mempertautkan ukhuwwah sesama kita.



14. 12 November 2012 ( Isnin ) - Kursus LADAP SMKA Wataniah Siri 2 Tahun 2012.
Dua hari berlangsung kursus ini. Ahad, 11 November 2012. Saya terpilih dalam Group 2, maka kena hadir pada hari Isnin. Tahniah buat Cikgu Zurinawati sebagai penceramah dan juga buat Ustaz Kasim Awang sebagai penganjur.


Terima Kasih.

Friday, November 2, 2012

Selamat Menempuhi Peperiksaan SPM Tahun 2012



Salam Ukhuwwah.


Selamat Menempuhi Peperiksaan SPM Tahun 2012 Buat Anak-anak SMKA Wataniah Seramai 137 orang. Ingat ya!. SPM itu "Sijil Permulaan Masa" Depan Kita. Kita Buat Yang Terhabis Baik Untuk Kita. Saya Doakan Antum Semua Berjaya Dengan Cemerlang.

Sunday, September 23, 2012

Majlis Bimbingan Pengisian Permohonan Ke Program Matrikulasi Kementerian Pelajaran Malaysia Sesi 2012/2013


Salam Ukhuwwah.


Inilah rutin tahunan kami di Unit Bimbingan dan Kaunseling. Saya memilih 13 September 2012, Khamis, jam 8.15 pagi hingga berlangsung dua jam. Kali ini, taklimat pengisian, panduan pemilihan, kelebihan pengajian, peluang dan harapan, kesenangan dan kesulitan..... janganlah datangnya kepayahan. Inilah peluang pertama. Saya satukah kalimah pendidikan " Peluang Pendidikan Lanjutan Selepas SPM ".

Saya tahu... mereka tidak puashati tentang peluang lain yang ada. Yang ingin mereka rebuti selepas ini. Saya faham... Tapi tunggulah biar dapat result SPM sebenar. Masa itu kita akan berbicara panjang, menyusun strategi dan mengatur tapak-tapak peluang. Buat yang terbaik untuk SPM anda. InsyaAllah...

Pesan saya untuk anak-anak SPM... " Apa yang kita buat hari ini, menentukan ke mana kita?, Siapa kita? dan di mana kita? pada masa akan datang ".

Banyak lagi yang sedang menunggu.... bakal menyusul IPTA, KPLSPM, Luar Negara atau SPA dan lain-lain.

Buat yang terbaik untuk diri kita. Untuk siapa?. Untuk diri kita. Ya..... untuk diri kita sendiri.

Wednesday, September 19, 2012

Program Lawatan Bermaklumat Pelajar Tingkatan Dua Ke Cameron Highlands

Salam Ukhuwwah






Kali ini tiba giliran pelajar Tingkatan 2 berprogram. Saya hadir memenuhi hasrat Cikgu Rohana Che Abas, Penyelaras Program Kecemerlangan Tingkatan Dua sebagai Guru Pengiring bersama Cikgu Ruzifah Jusoh. Sungguhpun pilihan tarikh diatur pada 4, 5 & 6 September 2012, Selasa, Rabu dan Khamis, tapi... kami terpaksa akur untuk berprogram di lokasi ini hanya untuk dua hari sahaja. Selasa dan Rabu dengan jadual yang padat dengan semua aturan lokasi kunjungan dilawati. Kecuali di Multichop Shops.Itupun kerana ditutup. Sebab?.. ya. sebabnya bas sekolah pihak jabatan akan gunakan untuk program lebih penting pada Khamisnya.

" Jangan samakan kepayahan kita dengan kesenangan orang? ". Saya sentiasa ingat kata-kata ini. Kata-kata seorang ayah kepada saya. Mungkin orang sudah terbiasa senang dan kita sentiasa mengulit kepayahan. Mungkin dalam serba-serbi. Mungkin dalam semua sekalipun tidak belaka.

Saya diruntun emosi dengan gelagat " Rusa Masuk Kampung ". Anak-anak ini dipilih kerana mereka belum pernah menjejak kaki di sini. Sungguhpun usia mereka menginjak dewasa. Mungkin kerana tiada peluang. Juga mungkin tiada keperluan. Susah untuk dinyatakan...

" Cikgu... terima kasih kerana bawa kami ke sini. Dalam umur hidup saya, inilah kali pertama saya datang ke sini... Biasanya saya hanya lihat surat khabar dan tengok tv . Comel tempat ni cikgu... Terima kasih cikgu ". Penghargaan untuk saya?. Saya gembira dengan kata-kata ini.







Sunday, September 2, 2012

Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri SMKA Wataniah


Salam Ukhuwwah.

Sambutan ini telah diadakan pada 30 Ogos 2012, Khamis, Jam 7.30 pagi hingga 2.00 petang. Bertempat di Dataran Iltizam.









Terima Kasih