Followers

Sunday, April 25, 2010

Karnival Sukan dan Permainan SMKA Wataniah Tahun 2010

Salam Ukhuwwah.

Tahniah. Karnival hebat yang mendapat sokongan penyertaan yang ramai. Diadakan pada 24 April 2010 bertempat di Padang Permainan dan Dataran Asrama. Terima kasih Unit Sukan Sekolah.

Nasihat kepada yang ingin datang ke Mesir melalui agen


Alhamdulillah.. (artikel ini panjang, sila baca semua kerana dikhuatiri anda tersilap faham jika baca sesetengah. Dituju khas kepada sahabat-sahabat di Malaysia, dan ia tidak sesuai untuk pelajar-pelajar di Mesir memandangkan dijamah oleh suasana peperiksaan kerana dikhuatiri mengganggu emosi anda. Amaran keras: tidak sesuai untuk orang yang mempunyai emosi yang tinggi. Bacalah dengan tenang).

Setelah sekian lama memikirkan relevankah saya untuk menulis entry kali ini. Akhirnya saya gagahi jua keringat untuk menulis.

Maafkan saya ayah li (Prof Razali Nawawi) selaku pengasas Akademik Quran, Ummi Medic mesir dan pihak-pihak agen yang lain. Berat untuk menulis, tetapi bila memikirkan kesannya yang lebih berat, saya memohon petunjuk dariNYA untuk menulis. 

Tujuan entry ini bukannya hendak menjatuhkan sesiapa. Bukan juga untuk memecah-belahkan perpaduan. Bukan juga untuk mencari musuh. Tetapi ia atas kesedaran orang ramai termasuk saya berkenaan masalah ini. Ramai ibu-bapa yang menghubungi saya untuk meminta pendapat berkenaan pembelajaran dalam bidang sains kesihatan di Mesir terutama di Mansurah. 

Saya kira entry kali ini memberi penjelasan pada semua terutama yang akan datang pada musim hadapan. Nasihat pertama saya kepada yang ingin datang ke sini. Belajarlah betul-betul supaya kalian dapat keputusan yang cemerlang. Sekiranya berpeluang untuk mengambil bidang sains kesihatan di Malaysia, ambilah di sana. Saya kira ianya lebih baik. Sekiranya tidak berpeluang, cuba apply melalui JPA atau MARA untuk program ke timur tengah. Juga tidak berpeluang. Apply pula melalui Yayasan-yayasan negeri, kerana melalui yayasan-yayasan negeri peluang itu lebih mudah. 

Kepada anak-anak Kelantan mahupun mereka yang pernah bersekolah di sekolah Yayasan Islam Kelantan (YIK), peluang kalian amat terbuka luas, kerana kebiasaannya YIK mempunyai kouta yang banyak sedangkan yang datang tiap-tiap tahun tidak pernah memenuhi kouta itu. Mungkin cara yang terakhir ialah apply melalui Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). 

Cara-caranya boleh dilihat di sini. Antara kelebihan sekiranya kalian apply melalui apa yang saya sebutkan di atas ialah, sekiranya kalian diterima oleh badan-badan tersebut, secara automatic kalian diterima oleh University-university di Mesir. Tapi mungkin juga sedikit masalah, nama kalian mungkin lambat sedikit naik di Universiti, tetapi jangan risau pihak Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (JPMK) akan bertanggungjawab sepenuhnya ke atas kalian.

Yang kedua ialah kalian datang melalui jalan yang sah dan diiktiraf oleh kedua-dua KPT Malaysia dan Mesir, iaitu borang permohonan akan ditapis oleh KPT Malaysia kemudian akan dihantar melalui KPT Mesir, kemudian KPT Mesir lah berhak memutuskan kalian layak atau pun tidak untuk belajar di sini. Kemudian borang dan fail kalian akan diedarkan ke universiti-universiti di Mesir. 

Kepada yang apply terus melalui KPT Malaysia, kemungkinan surat kelayakan kemasukan kalian ke Universiti lewat. Mungkin sangat-sangat lewat. Saya sendiri tidak tahu mengapa dan perkara ini telah saya adukan kepada Dato’ KSU KPT sendiri. Sekiranya tidak berpeluang juga? Susah hendak dijawab. Hendak datang dengan AGEN? Juga susah hendak dijawab. Tapi secara jujurnya, jika adik saya yang sedang SPM tahun ini hendak datang dengan agen saya akan bantah. 

Nasihat saya yang kedua, jika kalian tidak berpeluang ke Mesir melalui jalan yang sah, cuba fikirkan kembali, mungkin bukan takdir kalian untuk belajar di Mesir. Takut-takut kalian memaksa diri kalian, atau dipaksa oleh ibu bapa kalian, akhirnya kalian memang tidak dapat meneruskan pembelajaran di sini. Bidang sains kesihatan ini bukannya benda yang mudah. Ia memerlukan kemampuan dan minat yang mendalam. Mungkin kalian diperlukan untuk tenaga kerja yang lain.

Nasihat saya yang ketiga. Yang betul-betul hendak datang juga, walaupun dengan agen. Datanglah. insyaAllah kalian selamat dan dapat belajar di sini. Ini bumi Mesir. Bumi barokah. Tetapi pilihlah agen yang betul-betul kalian percayai kewibawaannya. 

Jangan mudah percaya janji-janji manis agen. Jangan mudah tertipu dengan iklan-iklan mereka, sebaliknya kalian tanyalah pendapat-pendapat mereka yang datang dengan agen kerana mereka itu lebih mengetahui baik dan buruknya satu-satu agen. Ini mengelakkan anda ditimpa masalah dikemudian hari. Jangan tanya saya, sebab saya takut saya condong kepada sesuatu pihak dan tidak pada pihak yang lain. 

Nasihat saya yang keempat. Sekiranya kalian mempunyai masalah, sila lapor segera kepada agen yang membawa kalian ke sini. Dan pastikan agen tersebut memang betul-betul bertanggungjawab terhadap kalian. Jangan biarkan mereka lepas tangan begitu sahaja, yang mana akan membuatkan kalian merana kerana menanggung masalah sendirian dan lapor juga kepada persatuan ataupun pihak JPMK. Kalian ada hak untuk memaksa mereka kerana kalian adalah pelanggan mereka. Pastikan setiap sen yang kalian laburkan itu berbaloi. 

Ada satu kes junior saya, pergigian tahun 2 yang mana failnya tidak ada di Universiti, dia telah rujuk kepada agen yang dia sertai, tetapi tiada tindakan, akhirnya agen lain yang sanggup menolongnya. 

Nasihat saya yang kelima, khususnya kepada agen-agen, mungkin saya sudah menyebutnya kepada beberapa pengurusan agen. Jangan terlalu pentingkan duit. Ia saya tahu, anda bawa pelajar ke sini merupakan satu perniagaan. Dan menjadi adat perniagaan jika mahu untung. Tapi perlu ditekankan tanggungjawab anda sebagai peniaga juga ada. Terimalah pelajar-pelajar yang memenuhi criteria yang telah ditetapkan. Jangan ambil pelajar secara semborono sahaja. Mungkin sahaja anda menafikan. Itu terpulanglah. Tapi selaku yang bertanggungjawab untuk bidang sains kesihatan di Malaysia kelak, anda juga pasti menerima kesannya. Dan jika anda berani, dedahkan sahaja siapa yang datang melalui anda dan kelayakan mereka!

Nasihat saya yang keenam. Juga kepada agen. Jagalah kesatuan antara pelajar anda dengan mereka yang datang bukan melalui anda, samada agen lain atau tajaan lain. Jangan diadakan jurang antara mereka. Hormatilah persatuan yang telah sedia ada. Anda masuk ke tempat orang lalu berlaku biadap? Saya rasa jika rumah anda dimasuki seseorang yang mungkin anda juga tidak mengenalinya, dan orang itu berlaku biadap dengan anda. Mungkin jua anda terus marah kepadanya. Isu kesatuan adalah isu yang amat penting. Sebab itu kepada pelajar-pelajar tidak kira datang dengan apa, tidak kira tajaan mana, tidak kira negeri mana, kita adalah satu. 

Satu Malaysia, satu University dan yang paling penting adalah satu aqidah. Jauhi perpecahan kerana ia tidak bermanafaat sedikit pun. Dan lakukan sebaliknya untuk kebaikan bersama. Jika kita berpecah musuh akan ketawakan kita. Maka saya menyeru untuk kita gunakan medium PERUBATAN yang telah sekian lama wujud untuk membina kesatuan kita. Sebenarnya ada banyak lagi yang ingin saya tuliskan. Tetapi ini pun sudah mengambil masa yang lama. Masa yang terlalu mengekang. Tetapi terpaksa tulis untuk kepentingan saudara seagama dan sebangsa.

Mungkin sahaja ada pendapat yang menyokong kedatangan pelaja-pelajar sains kesihatan secara beramai-ramai bagi menyeimbangi peratusan melayu di dalam bidang ini di Malaysia. Mungkin mereka katakan bangsa cina di Taiwan dan bangsa india di India. Kalau macam itu saya sudah lama setuju, Cuma yang saya tidak setuju ialah penghantaran pelaja-pelajar ke mana-mana tempat, tidak kiralah di Mesir ke, Taiwan ke, India ke mestilah memenuhi prosedur yang telah ditetapkan. Melalui syarat yang telah KPT tetapkan. 

Ingat doktor ini fungsinya merawat penyakit. Jika tidak berkelayakan. Yang tidak sakit boleh jadi sakit, apatah lagi yang telah sakit. Mungkin nyawa anda juga terancam! Doktor ini buka perkara yang main-main atau yang suka-suka. Nyawa orang bukan seperti buah appel kata sahabat saya. Akhirnya, saya memohon maaf terutama kepada adik-adik yang telah datang dengan agen. Jika anda menyesal datang dengan agen, tunjukilah kekesalan itu dengan belajar dengan bersungguh-sungguh. Dan ianya bukan salah kalian 100% jika datang dengan agen. Mungkin jua salah KPT dan PERUBATAN yang tidak memberikan maklumat yang terperinci untuk datang ke sini, mungkin jua salah agen yang terlalu menjanjikan janji-janji manis kepada kalian sehingga kalian tertipu dan mungkin jua salah ibu bapa kalian yang terlalu cita-citakan kalian menjadi doctor. 

Saya juga memohon maaf kepada mana-mana pihak yang terasa. Bukan niat hendak menjatuhkan anda, tapi selaku yang bertanggungjawab menjelaskan kepada mereka yang bercita-cita ke Mesir tetapi tidak mempunyai gambaran yang jelas tentangnya. Saya tidak mahu saudara seagama terus menjadi mangsa. Ia juga atas permintaan adik-adik yang datang melalui agen yang tidak berapa berani untuk meluahkan apa yang mereka rasai. 

Buatlah sesuatu perkara yang mana dalam satu masa ia memberikan manafaat kepada anda dan orang lain. InsyaALLAH pahalanya besar. Sekiranya ada kenyataan saya di dalam entry kali ini menyalahi fakta, saya berlapang dada, dan sila betulkan. Ini adalah pendirian peribadi, dan tiada kena mengena dengan mana-mana pihak. 

by, izzatkamal izzat_kamal@yahoo.com +20112667273 wallahu'alam. 

saudara izzat kamal merupakan mantan pengerusi Persatuan Perubatan Cawangan Mansurah. Sekarang berada di tahun 4. Sudah berkahwin."

Friday, April 23, 2010

Program Nilai Minat Jaya Kecemerlangan Tingkatan Tiga

Salam Ukhuwwah.

Tarikh 22 April 2010 dimanfaatkan separuh hari pembelajaran untuk mempertemukan semua pelajar Tingkatan 3 seramai 150 pelajar dengan Kaunselor. Mereka akan menduduki peperiksaan PMR tahun ini. Demi kejayaan bersama. Untuk menilai kebolehan dan kemampuan pelajar, maka program ini diadakan.


Dua ujian diberikan kepada pelajar, Inventori Belajar dan Ujian Minat Kerjaya. Interpretasi dibuat secara umum. Dapatan mendapati tahap belajar mereka berada tahap sederhana. Lonjakan kesungguhan perlu dibuat oleh semua pihak yang berkepentingan di sekolah untuk melihat mereka cemerlang dengan 9A dalam PMR nanti.

Saturday, April 17, 2010

Tidak Tertanggung Rindu Ini

Mengingati tarikh ini, 16 April dan 17 April pasti akan menjengah rasa pilu, berombak syahdu dan titisan air mata hiba. Siapa tahu?. Siapa dapat meneka?. Rasa kehilangan yang berpanjangan tidak akan ketemui noktah kepastian.

Masa kan berlalu. Mana mungkin dapat diputarkan roda masa. Sembilan tahun terasa cepat beransur pergi. Masih mengingati dan tidak akan lupa sampai bila-bila.

Pada tika ini, tangan ini menadah ; " Ya Allah, hati ini terlalu rindu, diri ini terlalu sepi, hidup terasa kosong tak berisi. Hebatnya erti kasih dan makna rindu. Ya Allah, Engkau ampunkan dosa ibuku, ya Allah. Hari ini telah sembilan tahun ibu hamba-Mu ini pergi. Ya Allah, pertemukanlah kami nanti dalam syurga-Mu ya Allah. Tempatkanlah ibuku bersama " golongan yang telah Engkau janjikan ".

Pada hari ini, genap masa dan cukuplah hitungan hari berlalu, sembilan tahun ibu meninggalkan kami.

Ibu, depan mata ini sentiasa melihat. Payahnya hidup ibu. Balik dari kebun, kekadang menoreh getah, ada tikanya mengangkut buah kelapa sawit, seringkali menjunjung pisang dan ubi untuk jajaan jualan.  Banyak masa juga " mencari arang ". Satu guni enam ringgit masa itu. Berpanasan bahang api. Kaki kehitaman. Susahnya mencari duit untuk saraan keluarga. Hidup kita susah ibu.

Ibu, anak-anak ibu tidak pinta untuk dilahirkan dalam kemiskinan. Siapa mahu hidup ini susah dan dihina orang. Semua itu kerana satu perkataan, jauh mendalam siratan  maknanya, miskin. 

Pada masa itu, ibu selalu berpesan, " Anak-anak, belajarlah bersungguh-sungguh kerana pelajaranlah mampu mengubah kehidupan kita ". Ibu bukan pakar motivasi. Juga bukan konsultan dibayar. Tapi itulah ibu. Kata-katanya menyentuh jiwa, sangat menyentap perasaan dan memotivasikan tindakan.

Terngiang-ngiang kata doktor, ibu anda seorang yang terlalu banyak berfikir. Stresnya tinggi. Tekanan hidup sangat hebat. Tiada cukup rehat. Itulah puncanya ibu anda terkena stroke dan heart attack.

Takut sangat bila mendengar, RM 24,000.00 diperlukan untuk pembedahan. Ibu bertambah runsing. Anak-anak tiada keruan. Di mana hendak dicari nilai itu. Banyaknya. Kita orang miskin. Kita tidak mampu. Kos pembedahan katanya. Akhirnya, belum sempat hidup diteruskan, ibu pergi untuk penghidupan abadi. Tidak sanggup melihat kesakitan ibu. Tidak tertanggung derita ibu.

" Ya Allah, jika kehidupan ibu lebih baik, maka panjangkanlah dan sihatkanlah ibu. Jika pemergian adalah terlebih baik di sisi-Mu, kami redha ya Allah. Kami redha ya Allah ".

Ibu, saya berjanji akan menjaga amanah ini sebaiknya. Adik-adik adalah kesayangan saya. Meskipun masa sudah mengubah sayang mereka tapi kasih tetap dalam jagaan berpanjangan. " Buat adik-adik, Wan Mohd Rozi, Wan Hazimah dan Wan Mohd Zaidi, ingatlah bahawa ibu kita telah pergi ". Kasih ibu tiada pengganti.
Ingatlah!, setiap hari adalah Hari Ibu.

Thursday, April 8, 2010

Jiwa seorang guru

Oleh : yusri wahab

Dunia guru tidak menjanjikan kemewahan dan kesenangan hidup. Namun apa yang diperolehi oleh seorang guru ialah mendapat ganjaran yang baik oleh Allah S.W.T, jika segala ilmu yang diberikan oleh guru adalah dari hatinya yang ikhlas.

Kepayahan menjadi seorang guru adalah kepayahan untuk membentuk jiwa insan yang dapat menggunakan ilmunya ke arah kebaikan. Kadangkala terdetik di fikiran saya apakah perasaan seorang guru jika melihat anak muridnya menjadi penjenayah, perasuah, sesat dalam beragama dan lain-lain perkara negatif. Begitulah peritnya menjadi guru kerana guru seharusnya mempunyai perasaan yang mendalam terhadap apa yang telah disumbangkannya dan juga setiap kegagalannya dalam membentuk insan. 

Tidakkah seorang guru itu merasa sedih apabila melihat anak muridnya gagal untuk menjalani kehidupan ini dengan sempurna, terpaksa bersusah payah bekerja sehingga ke larut malam untuk menyara keluarga. Jika tidak mahu keadaan ini terjadi , seorang guru haruslah berusaha bersungguh-sungguh dan penuh iltizam untuk memastikan bahawa tidak ada seorang pun pelajarnya gagal dalam pelajarannya dan juga memastikan bahawa tahap akademik sahaja masih tidak mencukupi untuk seorang pelajar mengharungi kehidupan ini. 

Di sinilah peranan seorang guru dengan memberi nasihat dan teguran kepada pelajarnya. Jiwa yang besar harus disuntik kepada setiap pelajar untuk menjadikan mereka tidak mudah patah semangat dan sentiasa berusaha untuk mencapai kejayaan.

Sunday, April 4, 2010

Peringatan / Persediaan Untuk Menghadiri Temu Duga Biasiswa

Peringatan / Persediaan Untuk Menghadiri Temu Duga Biasiswa

Sumber  :  http://www.bumigemilang.com/

Beberapa peringatan / persediaan untuk menghadiri temu duga Biasiswa adalah seperti berikut :

1.   Be punctual  :  Harus tiba di pusat temu duga 30 minit lebih awal.

2.   Berpakaian formal dan kemas.

3.   Membuat ‘first impression’ yang baik apabila melangkah masuk ke bilik temu duga. Mesti ada ‘eye contact’ dengan panel temu duga.

4.   Gaya berjalan :  Berjalan dengan penuh yakin, badan tegak, wajah berseri dan mata memandang ke hadapan.

5.   Tunjukkan keikhlasan dan keyakinan diri semasa berjabat tangan (firm handshake) dengan penemu duga (jika diminta).

6.   Temu duga dijalankan secara berkumpulan, biasanya di sebuah bilik. Calon akan diminta untuk memperkenalkan diri.  Pelbagai jenis soalan akan ditanya. Biasanya calon diminta menjawab secara spontan.
Panjang masa temu duga tidak tetap, ada yang lebih panjang dan ada pula yang lebih pendek, bergantung pada panel penemu duga.  Oleh itu, calon dinasihati supaya mempersiapkan diri dengan butiran peribadi yang dapat memperkenalkan diri dengan baik.

7.   Semasa membuat perbincangan dalam kumpulan, semangat bekerjasama dan semangat berpasukan mesti diamalkan.  Calon yang ‘dominant’ dalam sesuatu kumpulan kadangkala tidak disenangi oleh panel penemu duga.  Bertutur dengan bahasa yang  senang difahami.  Gunakan suara yang jelas dan bertutur dengan sopan.  Perkongsian fakta atau hasil perbincangan antara semua ahli dalam kumpulan mesti dibuat. Setiap ahli kumpulan harus diberi peluang untuk bertutur. Semua ahli kumpulan mesti saling membantu demi kebaikan bersama.

8.   Tunjukkan penghargaan anda terhadap panel penemu duga.  Berterima kasih kepada panel penemu duga secara ikhlas apabila temu duga tamat.

9.   Anggap temu duga yang akan dihadiri sebagai satu proses yang akan mencerahkan peluang anda untuk berjaya dalam permohonan Biasiswa.

10.  Yakinkan diri bahawa anda akan menunjukkan prestasi yang baik dalam temu duga Biasiswa kali ini.
Semoga Berjaya.

All the best.   Good Luck !

Saturday, April 3, 2010

Saya Juga Ingin Berpesan

Salam Ukhuwwah.

Beberapa hari yang lalu, saya didatangi oleh beberapa orang pelajar. Ada juga yang menelefon bertanyakan satu soalan mudah. Tapi jauh hitungannya. Payah perkiraannya. Jenuh mencari jawapan. Telahan agakan saya sebelum ini, ternoktah bilamana ada yang sudi bertanya. Saya sudah bersedia. Saya telah lama menanti. Akhirnya kata mereka, " Cikgu, apa pendapat cikgu kalau saya hendak melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di luar negara? ".

Tidak Menghalang

Kita kena faham kedudukan kewangan keluarga kita. Jika kita mendapat tajaan kerajaan seperti JPA atau MARA atau mungkin tajaan/biasiswa pihak yang berkepentingan. Anda lah manusia yang paling rugi jika tidak menerimanya. Dari puluhan ribu yang cemerlang dalam pelajaran, kita salah seorang yang berjaya ditawarkan biasiswa. Sebenarnya kitalah manusia paling beruntung. Pertama, cemerlang dalam peperiksaan. Kedua, berjaya mendapat tajaan menyambung pelajaran. Inilah bukannya persoalan bagi perbincangan ini. Saya gusarkan, jika anda sudah kurang berkemampuan untuk berjaya cemerlang dalam peperiksaan peringkat SPM. Contoh mudah, hanya dapat 6A sahaja. Subjek Sains Tulen hanya dapat Gred B, tetapi beria-ia untuk menyambung pelajaran dalam bidang perubatan. Luar negara pula. Fikirkanlah...

Unjurkan Perkiraan

Saya dapat mengesan dua syarikat yang tak akan saya sebut nama keduanya, giat dan aktif mencari pelajar untuk menawarkan tempat ke luar negara terutamanya dalam bidang perubatan dan pergigian. Kita kena faham dan wajib tahu. Jangan kita mudah ditunduki dengan maklumat yang tidak tepat. Satu-satu perniagaan bermatlamatkan keuntungan. Mana ada orang buka kedai tapi tidak mahu untung besar atau untung kadar ciput sahaja. Hebat mempromosi, jenuh dan rancak mengiklan, tujuannya adalah untuk mencari pelanggan. Bila dapat ramai pelanggan maka di situlah punca keuntungan. Makin ramai sertai, maka banyaklah untungnya. Bukan tujuan saya berkata begini untuk menyekat rezeki orang. Niat saya tidak adapun ke arah itu. Cuma saya sekadar ingin berpesan kepada anak-anak didik di SMKA Wataniah. Beringatlah!!!.

Jika Kita Kaya

Ketahuilah. Kos belajar di luar negara sangat besar. Lima atau enam tahun di sana, memerlukan wang yang besar. Cubalah kira kan kosnya. Tambang kapal terbang dah RM 1500.00 sehala. Makan minum dan tempat tinggal, mahu RM 500.00 sebulan. Itu tidak termasuk kos yuran pengajian. Anda dijanjikan setahun untuk buktikan yang anda berjaya mendapat CGPA 3.00 dan ke atas. Baru BOLEH/LAYAK memohon tajaan/biasiswa JPA. Ingat perkataan BARU. Belum tentu dapat kan?. Dan..... bayangkan jika anda tak dapatpun CGPA 3.00 setelah setahun belajar di luar negara dengan tanggungan sendiri ( sila baca dengan tanggunggan ibu bapa anda ). Bagaimanakah nasib anda nanti?. Sila jawab sendiri...

Yuran Pengajian

Siapa akan tolong bayar yuran pengajian kepada kita?. Saya pernah mendapat tahu, jika seseorang pelajar melanjutkan pelajaran atas tajaan JPA ke Russia dalam bidang perubatan, maka kerajaan terpaksa membelanjakan RM 1 juta keseluruhan kos pengajian pelajar tersebut sehingga tamat belajar termasuk tiket kapal terbang, makan minum dan tempat tinggal. ( Jika saya tersalah maklumat ini, pohon betulkan ). Dah lama saya dengar maklumat ini bila hadir satu program pendidikan. Jika kita pergi ke luar negara atas tajaan sendiri, tak tahulah saya nak kata apa. Anda memang hebat!.

Jangan Bila Terhantuk Baru Terngadah

Pesan orang tua-tua, " Beringat sebelum kena, jika terkena pasti menyesal tak sudah ". Masa itu, segalanya sudah terlambat. " Terlajak perahu boleh diundur, terlajak tindakan, timbul sesalan berpanjangan ". " Hidup ini sangat indah. Lakarilah sejarah kehidupan dengan panorama keindahan ". Jangan kita lakari kehidupan dengan contengan masalah yang sengaja kita ada-adakan. Jangan sesekali malu untuk bertanya. Malu bertanya, anda akan tersesat arah. 

Sekian. Jumpa lagi di lain bicara.